Wednesday, March 17, 2010

Muslim contoh


۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞
Ada satu malam, saya mendengar satu sedutan ceramah dari vcd. Sejak bergelar ibu, memang saya tak pernah sempat untuk menonton apa-apa cerita dalam vcd dari awal hingga habis. Biasanya hanya sempat untuk menonton samada permulaan cerita atau pertengahan cerita ataupun akhir cerita. Ustaz tersebut memberitahu, "Ramai orang yang bisa memberikan contoh, tapi tak ramai orang yang bisa dijadikan contoh". Betul kata ustaz tu.

Memang kita tahu hanya Rasulullah saw saja yang maksum dan merupakan uswatun hasanah. Namun saya percaya ramai daripada kita yang dahagakan sosok model yang paling tidak, bisa menjadi inspirasi dalam kehidupan seharian. Bila mana melihat orang itu, kita jadi termotivasi untuk beramal dan semakin cinta pada Allah dan Rasul. Lihatlah betapa hebatnya impak kehadiran seorang tokoh islam yang besar ke Malaysia baru-baru ini iaitu Sheikh Yusof Al-Qaradhawi. Bgimana kehadirannya bisa menarik ribuan rakyat tak kira tua atau muda membanjiri majlis ceramahnya. Sosok yang bisa dijadikan contoh kerana kecerdikannya, kewibawaannya sebagai seorang ulama' besar dan sangat tinggi ilmunya. Jika seorang kanak-kanak banyak menonton rancangan seperti power rangers, batman, ultraman dsbginya, maka kanak-kanak itu menjadikan heronya sebagai idola kerana mengkagumi akan kehebatan sang hero cerita-cerita tersebut. Jika seorang remaja pula, dia menjadikan artis-artis pujaan sebagai idola dan ikutannya. Setiap lapisan manusia dari kanak-kanak hingga ke dewasa senantiasa mencari sesuatu untuk digemari dan diikuti. Oleh sebab itu kita dianjurkan untuk bersahabat dengan orang-orang yang soleh kerana mereka bisa menjadi sumber inspirasi untuk kita supaya lebih rajin beramal.

Siapa pula kita untuk menjadi contoh dan dijadikan contoh? Jika kita sebagai ibubapa, mahu tak mahu kita mesti menjadi contoh untuk anak-anak. Menjadi role model untuk mereka dalam membentuk akhlak mulia dan beramal soleh. Namun dalam lingkungan keluarga dan masyarakat, mesti terdetik di hati, "Aku ni memang la nampak alim, berpakaian menutup aurat, tapi sebenarnya aku tak layak pun untuk menjadi contoh dan dijadikan contoh kepada orang lain". Itu detik hati kita tapi tanpa sedar ketrampilan kita yang bersifat islami di mata masyarakat menjadi perhatian mereka. Mereka ini boleh jadi orang islam sendiri yang kurang memahami agama islam dengan jelas ataupun mereka yang bukan beragama islam. Mereka melihat dan menilai adakah akhlak kita ini selari dengan ajaran islam itu sendiri dan mereka suka untuk mengambil kita sebagai contoh malah dengan akhlak kita yang baik, menjadi asbab kepada mereka untuk terbuka pintu hati untuk memeluk agama islam. Dalam sesetengah perkara, orang bukan islam malah lebih baik berbanding dengan orang islam itu sendiri. Contohnya dari segi pemurahnya mereka dalam menghantar bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa bencana alam, dari segi amalan kebersihan lihat saja tandas-tandas awam di negara barat dan rumah-rumah mereka yang rapi dan kemas, sangat berdisiplin, sukakan ilmu dan sebagainya. Menurut suami saya yang pernah menjejakkan kaki ke Australia, di sana susah hendak melihat ada sampah di tepi-tepi jalan. Jika ada pejalan kaki ingin melintas jalan, secara automatik pemandu kereta akan memberhentikan kereta bagi memberi laluan kepada pelintas jalan. Jadi, bagaimana kita mahu menarik orang bukan islam masuk islam jika mereka sendiri jauh lebih baik perilakunya berbanding dengan orang islam sendiri?

(pic source)
Kesimpulan yang ingin saya buat ialah, sebagai orang islam yang berketrampilan islami, kita sepatutnya menjaga akhlak sebaik mungkin selari dengan ajaran islam kerana kita membawa imej islam, masyarakat mahu melihat dan mencontohi sesuatu yang baik daripada kita. Cara kita bercakap tidak sombong. Murah dengan senyuman. Ramah-tamah. Cepat menghulurkan bantuan, suka memberi derma, bermasyarakat dan sebagainya. Saya juga menyeru pada diri saya sendirilah terutamanya kerana kita masing-masing mari tanya diri kita sendiri sudah sejauh manakah kita mencontohi akhlak Rasulullah saw? Jawapannya anda tahu sendiri. Sama-sama kita memperbaiki diri agar akhlak kita menjadi lebih baik dan bisa menjadi contoh kepada orang lain di luar sana.

No comments :

Post a Comment

Komentar anda amat dihargai, terima kasih.