Monday, August 15, 2011

Qaryah Ramadhan



۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Alhamdulillah, hari ini sudah 15 Ramadhan, sudah separuh bulan kita berpuasa. Bagaimana agaknya momentum iman kita setakat ini? Adakah semakin bertambah darjah ketaqwaan atau fikiran kita sesak memikirkan rancangan-rancangan sewaktu hari raya nanti? Semoga Allah memudahkan urusan kita untuk merebut ganjaran-ganjaran dalam bulan yang mulia ini insyaAllah.

Ramadhan tahun ini, anak-anak saya lebih aktif daripada biasa. Ujian buat diri seorang ibu. Kita perlukan lebih banyak kesabaran untuk menghadapi karenah anak-anak. Apatah lagi ini bulan yang mendidik diri untuk lebih bersabar dalam menghadapi ujian. Dalam bulan Ramadhan, ibadah kita lebih banyak dari kebiasaan dan kita berasa lebih dekat dengan Allah. Jika kita tidak sabar dalam bulan ini, bagaimana untuk menghadapi ujian-ujian di bulan yang lain nanti?

Ramadhan tahun ini, ibu saya cukup gembira kerana dapat berbuka puasa secara percuma beramai-ramai dalam program "Qaryah Ramadhan" anjuran kerajaan negeri Kelantan. Memang seronok tidak perlu bersusah payah memasak malah apa yang lebih bermakna Ramadhan kali ini lebih 'terisi" dengan pelbagai ibadah. Tahun-tahun yang sudah, ibu saya tidak dapat pergi, tapi kali ini, adik-adik yang ada di rumah berpeluang membawa ibu ke sana. Tempat solat terawih di sediakan penghawa dingin memberikan keselesaan kepada para jemaah yang bersolat.



Gambar:Seorang atheis yang duduk di sebelah ibu saya turut menyertai iftar


Gambar: Kelihatan dari tempat program, Bazaar Tok Guru kubah hijau) yang baru siap


Gambar: Turut hadir, manusia tertinggi di dunia, Hijaz Ahmed, 28 thn from Pakistan, tinggi 8 kaki 4 inci

Kebanyakan dari kita tidak menghadapi masalah kekurangan makanan. Ujian kita ialah bukan kekurangan makanan dan air dalam bulan Ramadhan seperti di Somalia tetapi ujian kita ialah terlalu banyak makanan dan pelbagai jenis minuman yang senang diperolehi hingga mengundang pembaziran apabila nafsu mengatasi keimanan. Bulan Ramadhan dijadikan pesta makanan. Memetik daripada akhbar berita minggu semalam,

"Laporan Gulfnews.com memetik, pelayan dan tukang masak di beberapa hotel terkemuka di Dubai memeberitahu setiap orang yang berbuka melalui pakej bufet membazirkan sekurang-kurangnya tiga hingga empat kilogram (kg) makanan sehari".


Pengarah Urusan Agensi Alam Sekitar Abu Dhabi, Abdul Nasser Al-Shamsi, memberitahu sepanjang Ramadhan tahun lalu, 500 tan makanan dibuang di ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu. Statistik di negara berkenaan juga menunujukkan satu pertiga atau 34 peratus sisa buangan di UAE adalah sisa makanan.


Di negara-negara kaya makanan-makanan dibazirkan, di negara miskin, rakyatnya mengalami kebuluran pula. Alangkah baiknya negara yang kaya ini menderma sedikit kekayaan mereka kepada negara-negara miskin ini. Dunia sudah tiba ke penghujungnya. Kemanusiaan kian menipis. Yang menebal dalam diri ialah sifat kebendaan. Semoga dalam bulan yang mulia ini, kita dapat meneutralkan kembali fitrah kita yang asalnya suci. Sama-sama kita perbanyakkan memohon keampunan daripada Allah swt di atas dosa-dosa yang telah kita lakukan dan banyakkan bersedekah kerana sedekah itu memadamkan kemurkaan Allah swt. Wassalam.

No comments :

Post a Comment

Komentar anda amat dihargai, terima kasih.