Thursday, September 29, 2011

Lambaian Ka'abah


۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Panggilan haji telah tiba lagi...
menunaikan ibadah panggilan baituLLAH..
Tanah suci Makkah, Ya Makkah tul Mukarramah..

InsyaAllah, pada 4hb Oktober ini, bonda saya Che Jah bt Hj Omar akan naik flight pukul 4 pm dari lapangan terbang Pengkalan Chepa ke KLIA. 5hb Oktober pukul 5 am pula akan naik flight dari KLIA ke Madinah. Turut bersama bonda ialah Ayah NGah dan MAk Ngah sekali. Inilah kali pertama seumur hidup bonda saya akan naik kapal terbang. Tentu bonda berdebar-debar dengan perasaan bercampur baur untuk pergi menunaikan haji di tanah suci Makkah. Kalau di Kelantan, jika ada sesiapa akan pergi ke Makkah, orang-orang kampung, saudara mara akan datang ziarah mengucapkan selamat dan bermaafan. Anak-anak juga akan balik kampung menemui ibubapa yang akan berangkat ke tanah suci. Tapi saya tak dapat pulang kerana suami ada pepeiksaan penting pada 3hb oktober. InsyaAllah kami akan menemui bonda di KLIA sebelum bonda berangkat ke Madinah. Saya mendoakan bonda mendapat haji yang mabrur ameen..

Saturday, September 10, 2011

Kisah Nabi Daud dengan seekor katak


۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Pada suatu masa, Nabi Daud a.s keluar ke pesisir untuk beribadat dan apabila telah genap setahun, dia berdoa : "Ya Rabbi ya Tuhanku, telah bengkok belakangku dan lemah mataku serta kering air mataku, tetapi aku belum juga mengetahui bagaimana nasibku".

Maka Allah swt telah memerintahkan seekor katak untuk menjawab doa Nabi Daud a.s. itu, lalu katak itu berkata: "Hai Nabi Allah, apakah anda mengungkit pada Tuhan ibadatmu yang setahun? Demi Allah yang mengutusmu menjadi Nabi , saya di hutan ini selama tiga puluh tahun atau enam puluh tahun bertasbih, bertahmid kepada Allah, sedangkan persediaanku tetap gementar kerana takutkan Tuhanku".

Maka menangislah Nabi Daud a.s Ada riwayat yang mengatakan kejadian ini juga pernah terjadi pada Nabi Musa a.s sesudah peristiwa pembunuhan yang tidak disengajakan olehnya.



Kisah di atas saya petik daripada kitab Syarah Al-Hikam jilid 1. Memang benar bahawa semua makhluk Allah yang ada di sekeliling kita tidak berhenti bertasbih dan memuji Allah. Cuma kita sebagai manusia yang tidak memahami dan tidak mampu menafsirkannya. Nah, andai saja haiwan, tumbuh-tumbuhan, batu-batuan, bulan bintang sentiasa tidak bosan beribadat kepada Allah, kenapa pula kita mudah merasa jemu atau cepat berpuas hati dengan amal ibadat yang telah kita lakukan? Semoga kita terselamat daripada godaan syaitan yang cuba menghalang kita daripada beribadat kepada Allah swt. ameen..

Firman Allah: al-Isra'(17.44):

"Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun".

Thursday, September 08, 2011

Thabit Ibn Qais R.A

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Apa khabar sahabat-sahabat sekalian? Moga-moga, saya, anda dan kita semua berada dalam lingkaran Iman yang mengikat hati-hati kita untuk mencintai Allah S.W.T.

Kali ini, saya ingin berkongsi cerita mengenai sahabat Rasulullah S.A.W iaitu Thabit ibn Qais R.A. Kenalkah kamu akan sahabat Nabi S.A.W ini?

Ya? Tidak?

Walau apa pun jawapannya, tidak mengapa. Sebelum kita bermula, marilah sama-sama kita menghayati ayat suci al-Quran ini:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepada baginda dengan suara yang keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap yang lain, nanti (pahala) segala amalmu bisa terhapus sedangkan kamu tidak menyedari." (Surah al-Hujurat:2)

Sahabat-sahabat sekalian, Thabit bin Qais R.A amat terkesan dengan firman Allah S.W.T ini. Beliau terkenal sebagai seorang yang bersuara lantang. Kerana itu, setiap kali beliau solat secara berjemaah di Masjid Nabawi, beliau akan mengelak daripada bertemu dengan Rasulullah S.A.W.

Beliau khuatir, suaranya yang lantang dan tinggi daripada suara Rasulullah S.A.W akan menyebabkan amalannya terhapus dan menjadi ahli Neraka. Masya-Allah, sungguh hebat keimanan Thabit bin Qais R.A.

Rasulullah S.A.W merupakan manusia yang paling baik akhlaknya. Baginda mengambil berat, kasih dan sayang akan sahabat-sahabatnya. Baginda hairan kerana sudah lama baginda tidak bertemu dengan Thabit bin Qais R.A.

Lalu Baginda Rasulullah S.A.W bertanya kepada sahabat-sahabat yang lain, "Ke manakah Thabit ibn Qais? Sudah lama aku tidak bertemu dengannya."

Sahabat-sahabat baginda menjawab, Thabit bin Qais R.A mengelak untuk berjumpa dengan Rasulullah S.A.W kerana takut meninggikan suara dan bersuara kasar dengan Nabi. Kerana itu, Thabit akan menjadi ahli Neraka.

Rasulullah S.A.W berkata, "Sesungguhnya dia (Thabit) ialah ahli Syurga. Bukan ahli Neraka."

Thabit ibn Qais R.A berperanan sebagai pemidato dan jurucakap bagi Rasulullah S.A.W. Suaranya yang lantang dan pandai berpidato menjadikan beliau sesuai menggalas tugas tersebut. Ini juga menjadikan bukti bahawa Rasulullah S.A.W bijak menggunakan kekuatan sahabat-sahabat baginda pada tempatnya. Hasilnya, Islam menjadi perkasa dan tersebar luas ke pelusuk dunia.

Thabit bin Qais R.A mati syahid sepertimana yang Rasulullah janjikan kepada beliau. Thabit ibn Qais R.A syahid dalam peperangan memerangi Musailamah al-Kazzab semasa pemerintahan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq R.A.

Beliaulah satu-satunya sahabat yang memberikan wasiat setelah beliau meninggal dunia. Beliau mendatangi sahabat yang lain melalui mimpi dan menyampaikan wasiatnya.

Kesimpulan

Kita telah melihat bagaimana peribadi hebat sahabat Rasulullah S.A.W yakni Thabit. Beliau mempunyai ketaqwaan yang tinggi. Beliau dan juga sahabat-sahabat baginda yang lain begitu patuh dengan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah S.A.W. Lihatlah, Thabit ibn Qais R.A. Beliau sanggup meminggirkan diri daripada bertemu kekasih Allah, kerana takut menjadi ahli Neraka.

Kedua, kita juga jelas bahawa Rasulullah S.A.W begitu sayang akan sahabat-sahabat baginda. Baginda mengambil berat akan mereka. Jika mereka tidak kelihatan di depan mata Rasulullah, Rasulullah S.A.W pasti bertanya. Ini menunjukkan keprihatinan Rasulullah.

Sungguh indah peribadimu ya Rasulullah. Allahumma Solli 'Ala Muhammad.

-Artikel Iluvislam.com
http://www.iluvislam.com/inspirasi/tokoh/3577-thabit-ibn-qais-ra.html

Wednesday, September 07, 2011

Erti sabar




۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Hari ini saya menulis sesuatu kepada seseorang. Bolehlah diklasifikasikan sebagai nasihat. Walaupun diri sendiri kadang kala lintang pukang, tetapi ada masanya kita perlu menasihati mereka yang memerlukan kata-kata sokongan. Untuk menunggu diri sendiri betul-betul sempurna baru boleh menasihatkan orang lain itu tak akan bisa terjadi.

"Sabar itu ertinya kamu tak mengadu pada seseorang,tak bergantung pada sesuatu sebab,
tak membenci adanya musibah ataupun menyenangi hilangnya."
~(Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani r.a.)


Tingginya maqam saya andai dapat praktikkan erti sabar seperti yang diistilahkan oleh Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani r.a. :). Semasa pulang beraya ke kampung halaman baru-baru ini, tiada satu pun gambar yang saya ambil kerana terlupa dek sibuk melayan karenah dua orang anak. Letih dan memeningkan kepala. Tapi keseronokkan berada di kampung mengatasi segalanya. Wajah kampung masih terbayang di ruang mata. Gambar-gambar di atas ialah di sebelah rumah ibu saya yang dirakam oleh adik. Anak-anak sedara sibuk mengutip kulat sisir yang tumbuh atas batang kayu mati. Kulat sisir sedap digoreng atau dimasak lemak. Andai panjang umur, insyaAllah boleh menikmati susana di kampung lagi.