Sunday, April 25, 2010
Bercinta hingga ke syurga
۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞
Di zaman Rasulullah ada seorang wanita yang sangat membenci baginda Rasulullah saw. Dia ialah isteri kepada Abu Lahab iaitu Ummu Jamil. Ummu Jamil merupakan seorang wanita yang berpengaruh di ketika itu. Dia juga merupakan seorang isteri yang sangat mendokong suaminya dalam setiap tindak tanduk dan kepercayaannya. Ada suatu kisah juga mengatakan Ummu Jamil ini sering menaburkan duri di jalanan yang selalu dilalui oleh Rasulullah saw. Disebabkan itu dia menjadi penolong kepada hukuman dan balasan terhadap suaminya sebagaimana Allah berfirman dalam ayat 4 surah Al-Lahab bahawa dia membawa kayu bakar yang mana kayu-kayu yang diangkatnya menjadi pembakar suaminya di akhirat dan dia juga akan dilakukan seperti itu juga, dibakar dalam neraka. Di lehernya, terdapat rantai yang tersimpul daripada Al Masad, rantai besi yang panas.
Begitulah kisah cinta Abu Lahab dan Ummu Jamil. Mereka setia, saling bahu membahu memusuhi ajaran islam dan mereka bercinta hingga ke neraka. Begitu mendokongnya Ummu Jamil terhadap perjuangan suaminya sehingga dia begitu gigih turut serta mencari jalan untuk menghancurkan umat islam di ketika itu. Berbalik kepada era kita pada hari ini, islam tetap dan masih mempunyai musuh dan dimusuhi. Tentera-tentera musuh pada hari ini juga bisa saja di belakang mereka punya wanita-wanita (para isteri)yang bertindak sehebat Ummu jamil dalam menyokong perjuangan suami-suami mereka untuk menghancurkan islam malah mereka berganding bahu,kaki,tangan dan semuanya untuk menghancurkan islam. Jadi kita para isteri juga perlu berusaha untuk menjadi pendokong tegar suami kita seperti mana isteri-isteri Rasulullah saw Siti Khadijah dan Siti Aisyah, juga isteri-isteri pejuang yang telah dulu menjadi mujahid fi sabilillah..
Untuk menjadi isteri yang kuat mendokong suami dalam dakwah haruslah suami yang terlebih dahulu terkedepan dalam segala hal dalam dakwah. Jika suami lemah, lesu, tidak begitu berminat untuk melibatkan diri dalam barisan dakwah, tidak cuba memberi kefahaman kepada isteri tentang jalan dakwahnya, tidak mengajak isterinya turut serta dalam program-program dakwah, maka sokongan isteri kepadanya akan kurang dan hambar. Keserasian dan kesepaduan antara suami isteri dalam gerak kerja dakwah itu perlu agar prestasi suami lebih mencapai tahap optimum dalam setiap tindak tanduknya. Marilah kita mendokong penuh kerja-kerja dakwah suami kita. Akhirul kalam, semoga kita dan suami dapat bercinta hingga ke syurga...ameen.
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment
Komentar anda amat dihargai, terima kasih.