Saturday, April 10, 2010

Permata yang bersinar



۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

“Aku menyintaimu kerana AGAMA yang ada padamu, Jika kau hilangkan AGAMA dalam dirimu, hilanglah CINTAku padamu..” (Imam Nawawi)

Ada sesetengah muslimah yang apabila sesudah mendirikan rumah tangga, ia bertukar personaliti. Sedikit demi sedikit mengalami perubahan daripada peribadi dirinya yg sebenar. Jika perubahan itu merupakan hal yang positif, maka itu merupakan satu hal yang baik. Namun jika ia berubah kepada arah yang negatif, maka ia amatlah mengecewakan. Antara ciri yang positif yang ada dalam diri saya sebelum saya menikah dan alhamdulillah kekal hingga sekarang ialah saya suka berkawan dan suka mencari kawan walaupun keadaan diri terbatas. Namun, kawan yg saya cari selepas mengenal tarbiyah tentunya tidak sama dengan kawan yg dicari sebelum mengenal tarbiyah. Ada sesetengah muslimah yang setelah menikah, ia mengasingkan dirinya hingga sukar untuk dihubungi rakan-rakan lain. Ia menjadi pasif, tidak berkembang, tidak mengambil tahu dunia luar dan malas bergerak.

Seorang isteri kepada pendakwah tidak seharusnya begitu. Pernikahan kita kerana agama seharusnya mendampakkan kesan positif kepada orang lain. Jika seorang muslimah itu seorang yang aktif berdakwah sebelum menikah, kenapa setelah menikah bintangnya yang bersinar menjadi malap? Kenapa ia seperti tidak bersemangat malah kedengaran seperti tiada keceriaan di setiap bait tutur katanya...

Mencintai suami dan rumah tangga tidak bererti kita harus berubah malah ekspresi cinta kepada suami biarlah memberi kesan yang positif kepada diri kita sendiri dan kepada dakwah. Mencintai seseorang sepatutnya menjadikan diri kita lebih berkembang dan lebih produktif. Bukannya menjadikan diri kita makin lemah, lesu dan mundur. Lihatlah ekspresi cinta Siti Khadijah r.a dan Aisyah r.a kepada Rasulullah saw. Keperibadian mereka memberi kesan yang besar terhadap dakwah Rasulullah.

Tugas mengembang dakwah bukan tugas lelaki semata-mata. Ia juga merupakan amanah yang terletak di bahu seorang muslimah. Siapakah yang akan mengajak kaum wanita ke jalan Allah selain kaum wanita itu sendiri? Marilah kita sama-sama mengembankan potensi diri demi islam menjadi sebutir permata yang bersinar. Peringatan untuk diri sendiri terutamanya.

p/s: ukhti, aku merindui senyuman dan gelak tawamu...

No comments :

Post a Comment

Komentar anda amat dihargai, terima kasih.