Sunday, December 12, 2010

Sedekah


(sumber gambar: http://kaospadusi.wordpress.com/)

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Saya teringat kepada seorang sahabat karib saya semasa belajar di universiti dahulu. Mempunyai sahabat sepertinya membuatkan hidup saya terasa sangat lapang pada ketika itu. Ketika saya susah dan bersedih, dialah tempat saya berkongsi perasaan. Kami selalu ke surau bersama-sama, keluar makan bersama-sama dan selalu outing bersama. Namun dalam banyak sifat-sifat baiknya itu, saya paling terkesan kepada sifatnya yang amat pemurah. Jika makan di luar, belum sempat saya mahu membayar dia sudah keluarkan duitnya untuk belanja saya. Pendek kata, tangannya memang cepat kalau bab-bab beri sedekah.

Jika mendengar tentang ceramah berkenaan sedekah ni memang point ustaz-ustaz sama je iaitu untuk rajin bersedekah ni kita perlukan latihan. Kita perlu lawan rasa bakhil dalam diri dan rasa takut duit habis. Semua orang tahu amalan bersedekah itu mulia tetapi untuk mengamalkannya terasa berat jika kita jarang buat. Sebagai latihan, kita boleh sumbangkan sedikit duit ke dalam tabung setiap kali pergi ke masjid atau surau. InsyaAllah lama kelamaan memberi sedekah menjadi suatu kelaziman dalam diri sampaikan kita rasa macam tak best kalau tidak memberi sedekah. Ia bertukar menjadi suatu amalan yang memberi kepuasan andai dapat memberi dan sudah pasti memberi dengan rasa keseronokan tanpa paksaan itu adalah terbit dari buah keikhlasan.

Sikap suka memberi ni tak semestinya kita memberi sedekah dalam bentuk wang. Memberi senyuman yang manis juga sedekah. Ada seorang hamba Allah ni dia suka membeli dan mengumpul telekung solat. Telekung ni berbagai jenis sulam dan jenis kain. Sudah hampir penuh almari koleksi telekungnya. InsyaAllah suatu hari nanti saya akan memberitahu hamba Allah ni, alangkah banyaknya pahala jika satu atau dua pasang telekung ni diwakafkan di surau atau masjid. Jika dikumpul dan tak digunakan pun, tiada faedahnya.

Sebenarnya untuk bersedekah ni mudah sangat. Cuma kita kadang-kadang tidak terfikir. Semasa saya kecil-kecil dulu, kalau ada orang memberi coklat atau gula-gula kepada saya, rasa bukan main seronok lagi. Cubalah suatu hari kita membeli sedikit makanan dan air dan kemudian kita berikan kepada kanak-kanak yang sedang bermain di tepi jalan. Tentu seronok kanak-kanak tersebut kerana mereka tentunya kelaparan dan dahaga selepas letih bermain. Alhamdulillah andai ramai yang berlumba menjadi kaya raya dan kemudian sentiasa bersedekah. Alkisah ada seorang hamba Allah yang kaya (businessman) di kampung saya. Keluarganya selalu membuat jamuan makan dan mengundang penduduk kampung. Penduduk kampung merasa kenyang dan tentunya akan mendoakan kesejahteraan buat orang kaya tersebut. Penduduk kampung pun selalu mendapat sumbangan daripada orang kaya untuk memajukan surau, membeli jersi bola untuk remaja-remaja di kampung dan lain-lain sumbangan lagi. Bagusnya ada orang kaya yang begini namun tidak bermakna kita yang tidak kaya ini tidak perlu bersedekah. Yang penting ialah keikhlasan kerana Allah menilai dari niat dan keikhlasan hati kita. Wallahu'alam.

Hadith berkenaan kelebihan bersedekah (source):

Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya)" (HR Bukhari).


Huraian:
1. Selain daripada sedekah wajib iaitu zakat harta, zakat fitrah dan sebagainya, umat Islam umumnya digalakkan memberi sedekah sunat sebagai tanda bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.

2. Setiap pemberian sedekah akan diberikan ganjaran pahala sekiranya dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata. Bahkan fadhilat atau kelebihan bersedekah adalah meliputi dunia dan akhirat.

3. Faedah sedekah di dunia adalah seperti seseorang itu akan dimurahkan rezekinya oleh Allah, terhindar daripada bala bencana, dipanjangkan umur, mencegah daripada kematian yang buruk di mana orang yang selalu bersedekah akan dilindungi daripada ditimpa kemalangan yang menyebabkan kematian dalam keadaan yang ngeri atau mati dalam keadaan tidak beriman (su’ul khatimah) kerana sedekah itu sebenarnya membawa rahmat di samping menghapuskan sifat sombong, takbur dan menunjuk-nunjuk dengan pemberiannya.

4. Manakala faedahnya di akhirat pula ialah seseorang itu akan mendapat naungan daripada panas terik di padang Mahsyar dan mendapat pendinding daripada api neraka.

No comments :

Post a Comment

Komentar anda amat dihargai, terima kasih.