Thursday, April 19, 2012

Kepulangan seorang hamba kepada Tuhannya

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Setiap yang bernyawa pasti akan mati juga akhirnya. Kita hanyalah makhluk Allah yang lemah, pabila tiba masanya, Allah akan menjemput kita pulang. Marilah kita sama-sama buat bekalan untuk menuju ke "perkampungan abadi". Semoga roh atuk dicucuri rahmat ameen.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan jasa - A Tribute to Tuan Guru Hj. Salleh
Posted by Farhan al-Banna

Atuk saya, Arbain bin Hassan atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Haji Salleh, merupakan seorang petani (pesawah) sekaligus seorang Tuan Guru yang mengajar agama di serata negeri Selangor. Bahkan, menjelang saat-saat akhir kehidupannya pun, beliau masih sempat ke kebun serta masih sempat mengajar di masjid, biarpun dalam keadaan beransuh lemah dan semakin keletihan.



Saya masih ingat, ketika saya masih di sekolah rendah, saya sudah terdedah dengan dunia politik lantaran Atuk merupakan calon pilihanraya untuk beberapa kawasan (kawasan bertukar-tukar) mewakili tiket PAS. Pilihanraya terakhir yang ditandinginya ialah pada tahun 1995. Menjelang zaman Reformasi, Atuk sudah tidak lagi aktif di bidang politik.

Namun, beliau masih meneruskan khidmat baktinya sebagai AJK Dewan Ulamak PAS Selangor untuk beberapa tahun selepas itu. Barangkali itulah sebabnya, tatkala saya berkunjung ke klinik Dr. Rani (sekarang ADUN Meru sekaligus Pesuruhjaya PAS Selangor) di zaman student dahulu, tatkala ibu saya bertanya kepada Dr. Rani “Doktor kenal kot ayah dia ni..” maka Dr. Rani akan menjawab; “kenal, apa tak kenal… Tok dia pun saya kenal. Tuan Guru Haji Salleh kan?” begitulah risalah perjuangan menemukan mereka. Alhamdulillah, sebagai penghargaan kepada sumbang-bakti beliau semasa masih aktif di dalam PAS, Pihak Dewan Ulamak PAS Selangor telah menganugerahkannya anugerah “Tokoh Ulamak” untuk tahun 2009.

Wajar, tatkala jasad beliau hendak disemadikan pada hari Selasa lepas (17 April 2012) –sehari selepas kewafatannya pada hari sebelumnya- “sungaian” manusia (kurang sedikit daripada “lautan”) membajiri rumah dan suraunya. Terdetik rasa hiba di hati melihatkan bukti “sumbangannya” pada ummah ini. Masakan tidak, bagi insan yang tidak punya harta dan kuasa apa-apa, tentunya sumbang-baktinyalah yang telah menggerakkan kaki mereka untuk turut sama mengiringi jasadnya, dan hati mereka untuk mendoakannya.

Sayang, cucunya yang seorang ini tidak memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang bisa dipelajari daripadanya. Sayang, cucunya yang seorang ini tidak mampu “mewarisi” kewarakan dan kealimannya, hingga tak mampu mem”bangun” manusia seperti yang telah ia lakukan.

Moga Allah mengampuni dan merahmati Atuk dan Tuan Guru kami, dan menempatkannya di tempat yang terpuji, seperti “riang” dan tenangnya wajah beliau saat menghadap Rabbul Izzati….

sumber:http://farhan-albanna.blogspot.com/

No comments :

Post a Comment

Komentar anda amat dihargai, terima kasih.