Tuesday, October 13, 2009

Nikah jangan tak nikah..



۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞
Setelah pasangan teruna dan dara sudah bersedia untuk menikah, namun masalah wang hantarn pula yang menjadi dilema di pihak bakal pengantin lelaki. Tidak dinafikan, ramai pasangan yang menunda-nunda majlis perkahwinan kerana masalah wang hantaran ini hingga mengundang kejadian-kejadian yang tidak diingini.

Di Kelantan, wang hantaran menjadi hak milik penuh/mutlak pengantin perempuan. Duit hantaran itu tidak boleh diguna pakai oleh keluarga untuk membuat kenduri. Beruntung juga menjadi 'mek kelate' ni :-). Semasa saya berkahwin dulu, saya tidak mempunyai duit langsung kerana masih belajar. Segala perbelanjaan majlis pernikahan saya ditanggung penuh oleh keluarga terutama ibu dan wali saya iaitu abang saya sendiri. Saudara mara juga membantu menyediakan kelengkapan kenduri. Majlis pernikahan saya juga sangat sederhana kerana disekalikan dengan kenduri abang. Kami juga hanya menjemput saudara-mara dan jiran tetangga yg dekat serta sahabat2 saya. Alhamdulillah walaupun sederhana, majlis pernikahan saya dan suami berjalan lancar.

Di luar Kelantan, wang hantaran oleh pengantin lelaki diguna sepenuhnya untuk membuat kenduri. Jika pihak keluarga sebelah perempuan bercadang untuk membuat kenduri secara besar-besaran, maka besarlah wang hantaran akan dikenakan. Jadi, ini tentu membebankan pihak lelaki. Usia di kala lelaki dalam lingkungan 20-an berapa sangatlah duit simpanan mereka. Jadi ibubapa pihak perempuan harus rasional dalam meletakkan duit hantaran ini. Untuk itu, sebagai kesimpulan dari saya, buatlah kenduri secara sederhana saja. Sebenarnya boleh jika kita mahu, tapi kalau kita ikut trend masyarakat sekarang yg ingin serba moden, kelainan, mewah dan 'grand', modal kenduri tentulah tinggi. Fikirkan juga pasangan pengantin baru ini akan memulakan alam rumahtangga selepas itu yang tentunya memerlukan sejumlah wang.

Wang hantaran bukan suatu beban
Mei 8, 2007

Utusan Malaysia 8 Mei 2007


Wang hantaran bukan suatu beban
Pendapat

PERHUBUNGAN uda dan dara yang berjalan lancar berserta dengan strategi yang terancang akhirnya menemukan jalan buntu apabila wang hantaran menjadi puncanya. Wang hantaran adalah tinggi dan di luar kemampuan lelaki untuk mengadakannya.

Sama ada benar atau tidak, satu ketika dulu wang hantaran ini merupakan pra- syarat kepada calon lelaki disukai atau tidak oleh emak mertuanya.Walaupun anda mencintai pasangan anda separuh mati, kalau ibu bapa tidak berkenan, ia dimanipulasikan dari segi wang hantaran ini.

Wang hantaran ini adakalanya dijadikan prestij sesebuah keluarga.Tapi tidak semua menjadikannya prestij sebegitu. Ada ibu bapa mengambil tindakan yang rasional kerana tidak mahu dilabelkan seperti ‘menjual anak’ sewaktu menetapkan wang hantaran perkahwinan.

Hubungan antara lelaki dan perempuan berjalan seperti biasa dan atas fakta wang hantaran ini, perkahwinan yang dirancangkan itu menjadi tertangguh.Bukan hanya tertangguh tetapi putus di tengah jalan ataupun menjuruskan kejadian-kejadian yang tidak diingini.

Mungkin di dalam penetapan wang hantaran ini, ibu bapa berdasarkan kepada faktor semasa di mana harga barang-barang semakin naik dan wang hantaran juga turut naik.

Kita tidak memikirkan tentang kemampuan pasangan gadis itu. Lelaki yang mendirikan rumah tangga biasanya di sekitar lingkungan dua puluhan atau di penghujungnya. Kemampuannya dari segi ekonomi adalah terbatas.Mereka juga terikat dengan komitmen keluarga dan diri sendiri.

Sudah sampai masanya, kaedah yang bersesuaian perlu dicari untuk memudahkan cara. Apa salahnya kita lakukan sesuatu majlis itu secara sederhana dengan menikahkan pasangan tersebut di masjid dan membuat kenduri dua atau tiga khemah bagi menghebahkan kepada kaum keluarga yang terdekat bahawa pasangan tersebut telah berkahwin.

Kita harus memikirkan kehidupan pasangan ini selepas melangsungkan perkahwinan.

Mereka akan membina hidup baru yang juga memerlukan wang.Kalaulah semasa menyediakan wang hantaran dan belanja perkahwinan dilakukan secara berhutang, bukankah ini akan menyulitkan mereka di kemudian hari?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr.Abdullah Md.Zin di dalam satu kenyataan di Mingguan Malaysia menasihatkan masyarakat Islam di negara ini tidak menjadikan wang hantaran sebagai satu beban dan mendatangkan masalah kepada bakal pengantin.

Kekeluargaan

Saya berpendapat, banyak kriteria-kriteria lain yang perlu dilihat selain wang hantaran, seperti tingkah laku pasangan termasuk di dalam hubungan inter-personal kekeluargaan bersama ipar duai kelak.

Teguran ini diberikan bagi mengelakkan kelewatan dalam mendirikan rumah tangga di kalangan gadis yang menjuruskan kepada lebih ramai lagi anak dara tua.

Bukan itu sahaja, kekangan daripada masalah wang hantaran ini boleh membiakkan penyakit sosial seperti bersekedudukan, zina dan status membujang di kalangan lelaki akan meningkat.

Dalam mengatasi masalah ini,sudah sampai masanya untuk merujuk kepada kehendak Islam di mana kesudian golongan wanita untuk diterima menjadi isteri adalah satu penghargaan atas kesanggupan mereka menjaga anak dan suami.

Mungkin ada pihak yang menjadi keliru dengan mengambil asas perkiraan di dalam sesuatu majlis perkahwinan mengikut kehendak semasa bukan kepada asas kehendak Islam yang diperkatakan.

Lagipun kita semakin bimbang sekiranya teguran ini diperlekehkan oleh masyarakat Islam, ia akan menjadi lebih ramai pasangan yang memelihara anak angkat dan menyusukan sendiri dengan bantuan suntikan hormon bagi memudahkan penyusuan. Ini adalah semata-mata untuk menemankan mereka semasa kesunyian kerana kesukaran mendapatkan lelaki untuk dijadikan calun suami.

Teguran daripada pak menteri itu seharus dilihat dari segi positifnya, khususnya di dalam mengukuhkan institusi kekeluargaan di kalangan masyarakat Islam. Pada masa yang sama lelaki juga harus menunjukkan kewibawaan mereka dari segi ekonomi di dalam menjaga pasangan mereka setelah berkahwin nanti.

– ISMAIL HASHIM,

Seremban. Negeri Sembilan.
sumber:http://motivasiminda.wordpress.com/2007/05/08/wang-hantaran-bukan-suatu-beban/

No comments :

Post a Comment

Komentar anda amat dihargai, terima kasih.