Sunday, January 31, 2010

Memenuhi Hajat Kaum Muslimin


۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞
Petang ini sungguh syahdu dan sayu seumpama perasaanku di kala ini...daerah Nilai kini sungguh hangat menanti hujan yang harapnya akan turun menyejukkan alam..langit kelihatan mendung seawal jam 6 petang menggelapkan suasana petang. Sambil menghirup kopi, saya turut dibuai alunan nasyid asma Allah..sayu..

Fikiran melayang ke suasana pertemuan petang semalam. Pertemuan rutin mingguan dengan sahabat tercinta dalam lingkaran cinta. Pertemuan semalam cukup singkat rasa tidak cukup untuk melepaskan rindu dan menyembang pelbagai topik. Terkadang pertemuan kami diganggu oleh tangisan dan jeritan si kembar yang sengaja ingin meraih perhatian dari ummi yang sibuk menyembang dengan amah-amah. Bila sahabat saya pulang, tangisan mereka reda serta merta. Jeles la tu..



Semalam kami membacakan sebuah hadith dari syarah riadhus shalihin dalam bab "Memenuhi hajat kaum muslimin". Hadith itu bermaksud:

""Dari Ibnu Umar Radhiyallahu Anhuma bahwa Rasulullah saw bersabda, 'Seorang muslim adalah saudara seorang muslim yang lain, maka tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh menyerahkan pada musuh. Barang siapa memenuhi hajat saudaranya maka Allah akan memenuhi hajatnya. Barang siapa memberikan jalan keluar bagi seorang muslim dari kesulitan maka Allah akan memberikan jalan keluar dari kesulitan di hari kiamat. Barangsiapa menutupi aib seorang muslim maka Allah akan menutupi aibnya di hari kiamat". (Muttafaq alaih)

Perbincangan hadith:
Hajat merupakan sesuatu keperluan yang diperlukan oleh seseorang untuk menyempurnakan urusannya. Darurat pula adalah keperluan manusia yang sangat terdesak untuk menolak bahaya. Jika hajat itu merupakan sesuatu yang darurat, maka wajib bagi seorang muslim yang lain untuk memenuhi hajat saudaranya itu. Sebagai contoh, jika ada seorang muslim terpaksa(darurat) kepada makanan atau minuman yang berada di tangan seorang muslim yang lain, sedangkan orang yang memiliki makanan/minuman itu tidak terdesak kepada makanan/minuman tersebut, dan jika dia tidak memberikan makanan/minuman itu apabila diminta oleh saudaranya yang dlm kondisi terdesak tadi sehingga saudaranya itu meninggal dunia, maka dia bertanggugjawab kerana telah memperlekehkan untuk memberi pertolongan sehingga menyebabkan kematian. Para pembaca, mungkin dalam negara kita, kita tidak melihat kondisi umat islam yang merana kelaparan dan hidup melarat, namun cuba kita lontarkan pandangan kita ke belahan bumi palestin yang kehidupan mereka selalu ditekan dan ditindas. Usahkan ingin menikmati makanan enak seperti kita, bekalan makanan pun belum tentu ada. Maka wajib bagi kita untuk menyalurkan sumbangan kepada mereka di sana mudah-mudahan sampai kepada mereka insyaAllah.



Jika seseorang muslim itu bukan dalam kondisi darurat, maka yang afdhal ialah hendaklah kita menolong menyempurnakan hajatnya seandainya hajat itu bukan menjurus kepada bahaya. Jika hajatnya itu adalah suatu yang membahayakan, maka kita tidak boleh menolongnya sebagaimana firman Allah swt

"....Dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran." (Al-Maidah:2)

Sebagai contoh, jika ada seorang hamba Allah yang sangat-sangat ingin merokok lalu ia meminta anda agar membayarkan harga rokok atau meminta kepada anda untuk membelikannya atau apa saja bentuk bantuan yang lain, maka tidak halal bagi anda untuk membantunya sekalipun ia sangat memerlukannya. Walaupun dia itu samada ayah, abang atau kawan2 anda, janganlah membantunya dalam hal ini sekalipun ia marah kepada anda kerana kemarahannya itu bukan pada tempatnya di mana ia harus marah. Bahkan dengan tidak membantunya membelikan rokok, anda telah berbakti kepadanya dengan tidak membahayakan kesihatannya. Perbuatan anda itu adalah ihsan.



Antara perkara yang termasuk dalam membantu seseorang dalam kesulitan ialah memberi tangguh kepadanya (jika dia seorang penghutang) hingga sampai ia mampu membayar hutangnya. Para ulama Rahimahumullah telah mengatakan, "Barangsiapa memiliki penghutang dalam kesulitan, maka haram baginya untuk meminta wang atau menagihnya atau membawa perkara tersebut kepada hakim, tetapi wajib baginya memberikan tangguh" *(1). Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 280:

"Dan jika (orang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan."

Saya teringat akan pelajar-pelajar yang berhutang dengan pemiutang-pemiutang seperti PTPTN, MARA dan sebagainya. Amatlah tidak wajar jika pihak pemberi hutang mengutip hutang sekiranya bekas-bekas pelajar masih menganggur mencari pekerjaan kerana mereka masih belum mampu untuk membayar hutang. Namun sekiranya sudah mampu, eloklah diperjelaskan hutang tersebut secara beransur-ansur mengikut kemampuan diri kerana penangguhan pembayaran hutang oleh penghutang yang telah berkemampuan adalah tindakan yang zalim.


Sebagai kesimpulan, sesungguhnya jika kita menyulitkan saudara kita yang lain maka Allah akan sempitkan baginya di dunia atau di akhirat atau kedua-duanya sekali. Tetapi barangsiapa meringankan beban saudara semuslimnya yang lain, maka Allah swt akan meringankan hidupnya dan mempermudahkan urusannya di akhirat kelak. Ramai yang mengetahui akan kepentingan ukhuwwah namun berapa ramaikah yang mengaplikasikan maksud ukhuwwah itu dalam perhubungan kita sesama saudara seislam? Ramai kononnya bersahabat ukhuwwah fillah, namun sejauh manakah kita membantu sahabat kita dalam meringankan bebannya? Rukun ukhuwwah itu ada tiga *(2) iaitu (1) ta'aruf-saling mengenal, (2) tafahum-saling memahami (3) takaful-saling menanggung beban. Janganlah kita hidup dengan mementingkan diri sendiri, bertanyalah kondisi sahabat di sekeliling kita dan peka dengan kondisi umat islam yang lain. Peringatan untuk diri sendiri dan semoga beroleh manfaat. Sekian.

*rujukan:
(1) Syarah Riadhus Shalihin oleh Syeikh Muhammad Al-Utsaimin
(2) Memperbaharui Komitmen Dakwah oleh Muhammad Abduh

Saturday, January 16, 2010

Gerhana Matahari


sumber gambar:http://www.flickr.com/photos/lipanz/4275559021/

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞
Subhanallah, hari ini 15 Januari 2010 masyarakat dunia dapat menyaksikan fenomena gerhana matahari yang pertama bagi tahun 2010. Namun di Malaysia kita hanya dapat melihat gerhana matahari separa sahaja. Menurut laporan dari angkasa Malaysia, Pulau Langkawi mencapai tahap kegelapan yang paling maksima iaitu sebanyak 39.5%. Fenomena ini berlangsung lebih kurang 11 minit 8 saat di India. Saya tidak pula keluar untuk meneropong matahari, tapi sememangnya kelihatan mendung di luar rumah sebelah petang. Namun, fenomena gerhana matahari ini pernah saya lihat pada tahun 1992 sewaktu saya darjah 5. Kami satu sekolah bersama-sama dengan cikgu pakat melihat gerhana matahari menggunakan plastik dari ujian imbasan x-ray yg dipotong kecil2, dan dibahagi-bahagikan sebagai penapis cahaya matahari. Semasa fenomena itu berlaku, suasana menjadi gelap seperti waktu senja. Sungguh terasa kebesaran Allah swt yang mentadbir alam raya ini. Sebagai umat islam, kita dianjurkan untuk buat solat sunat kusuf (hilang cahaya matahari) sebanyak 2 rakaat sahaja. Fenomena gerhana ini tiada kaitan dengan malapetaka, kematian, kelahiran, bencana atau apa saja tetapi ia merupakan bukti akan kebesaran Allah swt.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الشَّمْسَ وَالقَمَر َ آيَتَانِ مِنْ ايَاتِ اللهِ لاَيَخْسِفَان ِ لِمَوت ِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ
ذلِكَ فَادْعُوا اللهَ وَكَبِّرُوا وَتَصَدَّقُوا وَصَلُّوا

Maksud: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersembahyanglah”

عن ابن مسعود الانصارقال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله. يخوف بهما عباده. وَاِنَّهُمَا لا ينكسفان لموتِ أحد مِنَ النَّاسِ. فإذا رأيتم منها شيئا. فصلوا وادعوا الله يكشف ما بكم.

Maksud: Dari Abu Mas’ud Al Ansari beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya matahari dan rembulan (bulan) adalah dua di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya (kalau sedang gerhana) oleh Allah digunakan untuk menakuti para hambaNya. Dan keduanya tidaklah gerhana lantaran kematian seseorang di antara manusia. Kerana itu, apabila kalian melihatnya, maka lakukanlah solat dan berdoalah kepada Allah sampai hal yang menakutkan itu hilang”

Wujudnya pelbagai fenomena alam di muka bumi ini adalah membuktikan kekuasaan Allah swt yang harus kita hayati yang selanjutnya akan meningkatkan keimanan kita kepada Allah swt. Kita dikurniakan akal untuk memikirkan kebesaran Allah yang menciptakan alam maya ini dengan cukup teratur dan sistematik tanpa ada cacat celanya. Bayangkan jika kepanasan matahari melangkaui batas kepanasan yang sepatutnya? Pasti makhluk di bumi ini akan cair bukan? Dan bayangkan jika cahaya matahari itu mengurang dari darjah kepanasan yang sepatutnya? Kita semua pasti akan mati kesejukan...hebatnya kuasa Allah swt!!!

Maksud surah Az-Zariyat ayat 20-21:

“Dan di bumi terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang yakin, dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memerhatikan?

Di dalam surah Al-A’raf ayat 179 pula, Allah swt mencela orang-orang yang tidak mahu menggunakan akal untuk memikirkan kebesaran Allah swt.

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”

Orang yang lalai di dunia ialah orang yang rugi di akhirat. Marilah kita lebih peka dengan apa yang berlaku di sekeliling kita kerana apa yang berlaku kita bisa mengambil pelajaran darinya. Berjalan, melihat dan mentafsir. Apakah fenomena gerhana matahari hari ini bisa menambah gerun dan keimanan anda kepada Allah swt? Semoga kita menjadi orang-orang yang mahu menggunakan akal fikiran. Wallahua’lam.

Monday, January 11, 2010

Baby kucing


۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞
Malam semalam suami saya tiada di rumah, keluar berprogram. Sedang kami tiga beranak duduk melepak-lepak, tiba-tiba saya terdengar bunyi sesuatu di ruang belakang rumah tepi dapur. Hati saya bergetar. Takut untuk mengintai bunyi apakah itu. Tangan saya pantas menaip sms kepada suami. Hehe, dasar penakut. Balas suami, "kena check jugak". Saya beranikan diri, pasang lampu dan mengintai ikut tingkap. Tiada apa-apa...lega.

Pagi tadi, saya cuba buka pintu belakang dan keluarlah bunyi begini.."miowwww"..hehe kucing rupanya. Tapi dengar suaranya saja. Kucingnya tak nampak. Tak lama selepas itu, suami sampai di rumah. Saya mula mengadu macam-macam cerita termasuklah cerita terdengar bunyi semalam...."rasanya kucing nak beranak kot".saya mengomel. Bila suami cek, "laaa..dah beranak rupanya" kata suami saya. Saya menjenguk ibu kucing dan babies nya. 4 ekor anak kucing yang bulunya masih basah. Saya geli geleman. Ibu kucing pasti lapar, tapi di rumah saya masa tu takde makanan untuk bagi pada ibu kucing. Kesian padanya. Lepas tu, saya lupa pasal keluarga kucing tu...

Menjelang malam, saya terdengar anak-anak kucing menangis. Saya cuba melihat mereka.sekor nampak macam tak bergerak. Rupa-rupanya ibu kucing sudah tiada. Anak kucing mesti kelaparan..ya Allah kesiannya. Anak kucing mesti mahu menyusu. Saya tak pasti samada ibu kucing tu keluar sekejap untuk mencari makanan atau ditinggalkan terus anak-anaknya. Ya Allah, kesiannya. Saya tak mahu anak-anak kucing tu mati di situ. Sekarang ni saya masih mendengar decitan-decitan suara si anak kucing yang sungguh kesian..apa yang boleh saya buat? Huhu..sudah lah tengok saja pun sudah geli apatah lagi mahu dipegang untuk diletak dalam kotak. Perasaan bersalah timbul dalam diri kerana membiarkan anak kucing itu menangis...tapi apa yang saya boleh buat. Ya Allah ampunilah hamba-Mu ini..saya berdoa agar ibu kucing cepat-cepat pulang kembali kepada anak-anaknya..ameen..semoga ibu kucing tidak tinggalkan anaknya seperti mana segelintir manusia yang sanggup meninggalkan anaknya di tempat pembuangan sampah..yang akhirnya mati kesejukan dan kelaparan..dasyatnya manusia..

Wednesday, January 06, 2010

Azam tahun baru

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞
Salam. Sudah lama juga saya tidak update blog ni. Sampai sudah masuk ke tahun baru. Semoga selepas ni saya tidak jadi seperti biskut chipsmore lagi sebagaimana azam tahun baru saya pada kali ini ialah ingin istiqamah dalam amal ibadah..


sumber gambar:http://spatialpengembara.files.wordpress.com/2008/08/istiqomah2bs7.jpg

Rasulullah s.a.w. bersabda : Amalan yang paling disukai Allah adalah amalan yang berkekalan (berterusan) walaupun amalan itu dilakukan sedikit-sedikit. (Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim daripada Saidatina Aisyah ra)

Istiqamah adalah bererti berdiri tegak di suatu tempat tanpa pernah bergeser, kerana akar kata Istiqamah dari kata iqaama yang bererti berdiri. Jadi dari segi bahasa ia boleh diertikan sebagai sikap teguh pendirian dan berterusan. Masalah sukar untuk istiqamah dalam amalan mungkin menjadi masalah sebahagian daripada kita termasuk saya. Mudah benar iman di hati ini turun naik lantaran godaan dunia yang sungguh melalaikan dan akhirnya kita tewas. Daripada kita selalu buat tapi akhirnya kita tinggalkan terus. Contohnya solat sunat dhuha. Seringkali sungguh diri ini disibukkan dengan anak-anak namun biarlah tidak melakukannya setiap hari pun tapi kalau dapat diusahakan untuk buat sekali seminggu pun sudah memadai bagi ibu seperti saya. Setiap perkara lebih-lebih lagi dalam ibadah memerlukan kesungguhan yang jitu sebagaimana maksud istiqamah itu sendiri(sikap teguh pendirian). Istiqamah bukan suatu perkara yang ringan kerana dengan istiqamah lah hati kita sentiasa berhubung dengan Allah swt dan menghindarkan diri kita dari perkara-perkara maksiat.

Saya tertarik dengan seorang kakak yang jauh lebih tua daripada usia saya namun dia berazam untuk istiqamah bangun solat malam. "Wah bagusnya kakak ni" detik hati saya. Membaca kisahnya membuatkan saya tersedar agar betapa saya juga harus istiqamah dalam setiap amalan yang saya lakukan termasuklah istiqamah untuk berusaha menjadi isteri yang solehah dan ibu yang mithali. Misi ini sungguh sukar kerana bagi saya untuk seorang wanita meraih 'title solehah' dan untuk 'maintain solehah' merupakan suatu cabaran yang getir dan memerlukan kesabaran dan pengorbanan lantaran dunia kita pada hari ini begitu banyak godaan. Kadang-kadang, kawan-kawan yang "kurang islamik" di sekeliling kita juga boleh menjadi suatu cabaran. Sebagai contoh, bila kita suatu hari berjumpa dengan rakan-rakan sekerja dan membincangkan topik fesyen terkini, gaya tudung dan baju terkini, koleksi kasut dan beg tangan, lama-lama kita juga sedikit sebanyak akan terpengaruh jika tiada perisai yang ampuh. Iklan di kaca tv dan majalah2 juga mampu menggoda dan menjerat wanita islam dengan penampilan imej yang kononya muslimah.

Pada suatu hari di sebuah masjid di bangi pada tahun lepas, saya terserempak dengan seorang makcik yang sungguh solehah dan menyejukkan mata memandang. Penampilannya sederhana, bertudung labuh lengkap berstokin. Terdetik di hati saya, mampukah saya seistiqamah itu? Mampukah saya mengekalkan imej bertudung labuh/bulat/besar serta berstokin sehinggalah ke usia lanjut yang mana pada ketika itu wanita diberi kelonggaran dalam batas auratnya? Semoga Allah membimbing diri ini dengan adanya suami di sisi yang sentiasa memberi didikan dan sokongan. Semoga kita semua juga istiqamah dan tsabat di jalan kebenaran yang kita berada tatkala ini..ameen..

"Kemudian kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan)dari urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui".(QS Al-Jaatsiyah: 18)