Wednesday, January 06, 2010

Azam tahun baru

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞
Salam. Sudah lama juga saya tidak update blog ni. Sampai sudah masuk ke tahun baru. Semoga selepas ni saya tidak jadi seperti biskut chipsmore lagi sebagaimana azam tahun baru saya pada kali ini ialah ingin istiqamah dalam amal ibadah..


sumber gambar:http://spatialpengembara.files.wordpress.com/2008/08/istiqomah2bs7.jpg

Rasulullah s.a.w. bersabda : Amalan yang paling disukai Allah adalah amalan yang berkekalan (berterusan) walaupun amalan itu dilakukan sedikit-sedikit. (Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim daripada Saidatina Aisyah ra)

Istiqamah adalah bererti berdiri tegak di suatu tempat tanpa pernah bergeser, kerana akar kata Istiqamah dari kata iqaama yang bererti berdiri. Jadi dari segi bahasa ia boleh diertikan sebagai sikap teguh pendirian dan berterusan. Masalah sukar untuk istiqamah dalam amalan mungkin menjadi masalah sebahagian daripada kita termasuk saya. Mudah benar iman di hati ini turun naik lantaran godaan dunia yang sungguh melalaikan dan akhirnya kita tewas. Daripada kita selalu buat tapi akhirnya kita tinggalkan terus. Contohnya solat sunat dhuha. Seringkali sungguh diri ini disibukkan dengan anak-anak namun biarlah tidak melakukannya setiap hari pun tapi kalau dapat diusahakan untuk buat sekali seminggu pun sudah memadai bagi ibu seperti saya. Setiap perkara lebih-lebih lagi dalam ibadah memerlukan kesungguhan yang jitu sebagaimana maksud istiqamah itu sendiri(sikap teguh pendirian). Istiqamah bukan suatu perkara yang ringan kerana dengan istiqamah lah hati kita sentiasa berhubung dengan Allah swt dan menghindarkan diri kita dari perkara-perkara maksiat.

Saya tertarik dengan seorang kakak yang jauh lebih tua daripada usia saya namun dia berazam untuk istiqamah bangun solat malam. "Wah bagusnya kakak ni" detik hati saya. Membaca kisahnya membuatkan saya tersedar agar betapa saya juga harus istiqamah dalam setiap amalan yang saya lakukan termasuklah istiqamah untuk berusaha menjadi isteri yang solehah dan ibu yang mithali. Misi ini sungguh sukar kerana bagi saya untuk seorang wanita meraih 'title solehah' dan untuk 'maintain solehah' merupakan suatu cabaran yang getir dan memerlukan kesabaran dan pengorbanan lantaran dunia kita pada hari ini begitu banyak godaan. Kadang-kadang, kawan-kawan yang "kurang islamik" di sekeliling kita juga boleh menjadi suatu cabaran. Sebagai contoh, bila kita suatu hari berjumpa dengan rakan-rakan sekerja dan membincangkan topik fesyen terkini, gaya tudung dan baju terkini, koleksi kasut dan beg tangan, lama-lama kita juga sedikit sebanyak akan terpengaruh jika tiada perisai yang ampuh. Iklan di kaca tv dan majalah2 juga mampu menggoda dan menjerat wanita islam dengan penampilan imej yang kononya muslimah.

Pada suatu hari di sebuah masjid di bangi pada tahun lepas, saya terserempak dengan seorang makcik yang sungguh solehah dan menyejukkan mata memandang. Penampilannya sederhana, bertudung labuh lengkap berstokin. Terdetik di hati saya, mampukah saya seistiqamah itu? Mampukah saya mengekalkan imej bertudung labuh/bulat/besar serta berstokin sehinggalah ke usia lanjut yang mana pada ketika itu wanita diberi kelonggaran dalam batas auratnya? Semoga Allah membimbing diri ini dengan adanya suami di sisi yang sentiasa memberi didikan dan sokongan. Semoga kita semua juga istiqamah dan tsabat di jalan kebenaran yang kita berada tatkala ini..ameen..

"Kemudian kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan)dari urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui".(QS Al-Jaatsiyah: 18)

No comments :

Post a Comment

Komentar anda amat dihargai, terima kasih.