Saturday, April 16, 2011

Meraih taqwa

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Hari ini hari Sabtu yang sejuk. Gerimis dari pagi dan mendung. Cuaca yang muram, suami pula demam. Ujian sakit datang dari Allah, dan Allah jualah yang berkuasa menyembuhkan kita. Hadapinya dengan tabah dan redha..begitu juga jika kita mendapat ujian atau musibah yang lain..hayati, nikmati dan tempuhinya dengan sabar..

"Sungguh mengagumkan perihal mukmin. Sesungguhnya semua hal yang dialaminya adalah baik. Sifat itu tidak dimiliki siapapun kecuali oleh seorang mukmin. Jika ia mendapatkan hal yang menyenangkan, ia bersyukur. Maka hal itu menjadi suatu kebaikan baginya. Jika ia ditimpa hal yang menyakitkan, ia bersabar. Maka hal itu menjadi suatu kebaikan baginya."(HR. Muslim)

Jika kita renung-renungkan sejenak, sebenarnya kenikmatan yang Allah kurniakan kepada kita jauh lebih banyak daripada ujian yang menimpa. Bersyukurkah kita dengan segala kenikmatan yang Allah berikan itu? Sepasang mata yang dapat melihat, kaki serta tangan yang tidak cacat, mulut yang tidak bisu, telinga yang tidak tuli, oksigen yg Allah berikan secara percuma, dan begitu banyak lagi nikmat-nikmat yang Allah berikan. Dan jika datang ujian sesekali itu, bila kita muhasabah...terdapat ramai insan yang menerima ujian yang lebih teruk daripada ujian yang kita alami. Kuncinya ialah sentiasa bersyukur dengan apa yang Allah berikan, dan apabila datang ujian, kita bersabar dan redha.


انْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْكُمْ ، وَلاَ تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقِكُمْ ، فَإِنَّهُ أَجْدَرُ أَنْ لاَ تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اللهِ عَلَيْكُمْ

“Lihatlah kepada orang yang lebih rendah dari kalian, jangan melihat orang yang lebih tinggi dari kalian. Kerana hal itu lebih pantas agar kalian tidak meremehkan nikmat Allah atas kalian.” [Diriwayatkan oleh Muslim (2963)]


Sepertimana yang kita tahu, Nabi Allah Ayyub juga diberikan ujian penyakit selama 18 tahun sehingga seluruh keluarga yang dekat mahupun yang jauh menghindarkan diri daripadanya kecuali dua orang lelaki yang masih ada termasuk teman rapatnya. Nabi Ayyub a.s bersabar terhadap ujian berat itu dan akhirnya Allah telah menyembuhkan penyakit baginda. Sebagai seorang muslim, seharusnya kita mencontohi kesabaran Nabi Ayyub ini dalam menempuh ujian yang Allah berikan.

Setiap muslim itu diberikan ujian oleh Allah dalam bentuk yang berbeza-beza. Ada ujian yang tidak kena dengan selera kita contohnya ditimpa penyakit, anak meninggal, kemalangan, kemiskinan, tidak mendapat anak setelah lama berkahwin, hilang pekerjaan dan sebagainya.

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: (Innalillahi wa inna ilahirajiun) “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya. – (Al-Baqarah:157)


Dan ada pula ujian dalam bentuk kenikmatan yang kena dengan hawa nafsu manusia iaitu kemewahan yang melimpah ruah, naik pangkat, anak yang ramai, harta yang bertimbun dan pelbagai lagi. Kekayaan juga suatu bentuk ujian. Jika manusia leka dalam kemewahan yang diperolehi, ia akan menjadi semakin jauh dengan Allah swt.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. – (Al-Munaafiquun:11)

Sentiasalah menjadi hamba Allah yang bersyukur dan tidak berkeluh kesah dengan ujian. Saya teringat kisah seorang siak yang bergaji kecil tetapi mempunyai enam orang anak. Hidup pula di tengah kota. Tetapi oleh kerana dia bersifat qana'ah, Allah sentiasa mencukupkan keperluan mereka sekeluarga. Itulah rezeki yang berkat dan rahsia kebahagiaan orang-orang yang bertaqwa. Kisah Siti Hajar yang ditinggalkan bersama anaknya Ismail oleh suaminya Nabi Ibrahim sentiasa menjadi sumber inspirasi saya. Ibrahnya cukup banyak. Orang yang bertaqwa, Allah akan janjikan bantuan dan kemenangan. Yakinlah dengan Allah.,selagi kita meletakkan Allah sentiasa nombor satu di hati..Allah takkan mengecewakan orang-orang yang dikasihi-Nya..

Allah yang paling dicintai
Allah yang paling ditaati
Allah yang paling ditakuti
Allah yang paling diharapkan


Cumanya, untuk meraih piala Taqwa..ia bukan suatu yang mudah..perlu mujahadah..perlu keazaman yang tinggi. kerana untuk menjadi orang yang bertqwa..ia bertentangan dengan nafsu serakah manusiawi..dunia umpama magnet..semakin kita ingin menghampiri kecintaan kepada akhirat, magnet dunia akan menarik-narik kita untuk dekat kepadanya..semoga kita semua terus bermujahadah, istiqamah dan berjaya insyaAllah.

No comments :

Post a Comment

Komentar anda amat dihargai, terima kasih.