photo: credit to pakarhowto
۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞
Hari ini merupakan ulangtahun hari lahir saya. Bertambah lagi satu umur. Jadi, saya menulis satu entri khas untuk diri saya dan pembaca sekalian yang sudi membaca. Saya rasa sudah sangat tua. Bagi saya, baik merasa diri kita lebih tua daripada merasa diri kita lebih muda. Dalilnya, apabila kita rasa tua, kita lebih ingat mati. Kerana tua lebih dekat dengan mati barangkali. Namun begitu, mati tidak mengenal usia. Dari bayi hinggalah ke peringkat tua, Allah berkuasa mematikan sepertimana Allah berkuasa menghidupkan. Perkara yang diakui dengan yakin oleh semua orang termasuklah kaum musyrik. Tetapi tidak dalam bab rezeki dan kesihatan. Ramai yang mensyirikkan Allah dalam masalah rezeki dan kesihatan hingga Allah menegaskan dalam surah Asy-syuara' ayat 79&80.
Tentu sudah ramai sahabat-sahabat kita yang sudah dulu dijemput ilahi. Menemui Kekasih hati..Cinta Agung yang melebihi segala isi dunia. Seorang sahabat saya iaitu Almarhumah Siti Nordiana (berusia setahun lebih tua daripada saya) menemui ajal setelah terjatuh dalam tandas. Almarhum Mohd. Azzam Hussain pula (ex-classmate saya) meninggal akibat serangan jantung tahun lepas tatkala pernikahan masih merah dengan anak yang masih kecil. Dan ada juga di antara saudara mara serta orang-orang kampung yang berjumpa jarang-jarang sekali, tetapi ibu memberitahu mereka sudah kembali ke rahmatullah..pulang kepada Penciptanya. Begitulah realiti hidup ini. Sampai satu masa, tiba giliran kita pula insyaAllah. Maka, sudahkah kita persiapkan diri dengan bekalan iman dan amal sebanyak-banyaknya?
Di dalam As Shahih diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu’anhu bahwa Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda :
“Apabila seorang anak Adam meninggal, maka akan terputus amalannya kecuali tiga perkara : shadaqoh jariyah, atau ilmu yang bermanfaat, atau anak shalih yang mendoakan kepadanya”.
Orang yang paling cerdik?
Abdullah bin Umar radhiallahu’anhuma berkata, bahawa ketika dia sedang duduk-duduk di sisi Rasulullah SAW lalu datang seorang lelaki memberi salam dan bertanya kepada Rasulullah : “Siapakah yang lebih utama (lebih baik) di kalangan orang yang beriman?” Jawab Rasulullah SAW : “Orang yang lebih baik di kalangan orang beriman ialah mereka yang berakhlak mulia.”
Kemudian lelaki itu bertnaya lagi : “Siapakah orang yang paling cerdik di kalangan orang yang beriman?” Jawab Nabi SAW : “Orang yang paling cerdik ialah mereka yang banyak mengingati mati dan banyak membuat persiapan untuk menghadapai mati.”
"Mengingati mati tidak akan menimbulkan kesan yang pasif atau negatif, sebagaimana anggapan setengah golongan orang yang tidak memahami hikmah di sebalik zikrul maut itu. Ramai orang jahil berkata, jika asyik ingat mati nescaya tidak akan membangun. Anggapan itu amat keliru kerana pembangunan masyarakat manusia tidak hanya pembangunan benda, kerana pembangunan benda tanpa pembangunan jiwa atau rohani pasti akan hancur binasa."-Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat
Setiap insan akan sentiasa merindui kekasihnya. Jika kita mencintai Allah dengan sepenuh hati, kita juga akan rindu untuk bertemu dengan Allah. Yakin dengan janji-janji Allah dan setia dengan cinta kepada Allah. Tiada cinta sehebat cinta kepada Allah. Teruskan beramal dan beramal sampai nanti kita kembali kepada Kekasih kita. Maksud surah At-Taubah ayat 105:
Dan katakanlah:"Beramallah kamu,maka Allah akan melihat amalanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang mukmin dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu amalkan".
Semoga kita semua dipermudahkan Allah dalam melakukan setiap amalan. Jika terasa hati begitu lalai dan keras untuk beramal, lunakkanlah ia dengan mengingati mati sejenak. Orang kafir berfikir adalah perkara bodoh untuk mengingati mati kerana bagi mereka dunia ialah tempat untuk berseronok tetapi tidak bagi orang-orang yang beriman. Sentiasalah berhubungan dengan Allah kerana Dia lah Cintamu yang hakiki. Sebelum melabuhkan tirai, saya ingin kongsikan kata-kata dari sahabat saya:
Jika kamu ingin Allah berkata-kata denganmu, maka bacalah Al-Quran,
Jika kamu ingin berkata-kata dengan Allah, maka dirikanlah solat.
Sekian.
bestnya artikel ni.. :)
ReplyDeletesubhanallah...
ReplyDeletealhamdulillah kak, syukran atas perkongsian nie...dah lama x tinggalkan komen kat sini...
apa pun, selamat ulang tahun kelahiran kak...moga sentiasa dalam redha Allah s.w.t...(^_^)
Syukran ukhti :)
ReplyDelete