Thursday, May 31, 2012

Sifat Zuhud

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Oleh : Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

Apakah makna zuhud itu membenci dunia dan meninggalkan urusannya? Ataupun suka menahan lapar dan sakit, beribadat sepanjang masa sehingga tidak boleh menanggung kos hidup sendiri dan akhirnya meminta-minta sedekah untuk tujuan itu? Ada yang beranggapan bahawa zuhud ialah menampakkan kemiskinan dan menyembunyikan kekayaan. Benarkah semua pengertian itu?

Pada hakikatnya sifat zuhud telah digambarkan oleh Al-Quran dan Sunah Rasulullah SAW.

1. Zuhud dengan harta benda.
Di dalam surah Al-Hadiid ayat: 23 yang bermaksud: ”Supaya kalian jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kalian dan supaya kalian jangan.terlalu bergembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepada kalian.”

Harta yang kita dapat sebenarnya telah tertulis di lauh mahfuz dan begitu pula sebaliknya, apa-apa yang terlepas dari tangan kita adalah ketentuan Allah yang kalamNya telah pun kering. Bagaimana mungkin seseorang itu menahan rezeki saudaranya jika Allah telah memutuskan dia berhak menerimanya. Jika demikian pengetahuan dan keimanan kita ke atas qada dan qadarNya maka jiwa kita telah merasai zuhud terhadap nikmat harta.

2. Zuhud dengan pangkat dan kedudukan.
Manusia sering lupa jika berada di atas, padahal ia bermula dari bawah. Hanya mereka yang diselamatkan Allah sahaja yang mampu menghadapi fitnah kekuasaan yang berada di tangannya. Pada kebiasaannya manusia amat suka pujian, yang kecil memuji orang besar dan yang miskin memuji si kaya. Hamba yang zuhud tidak mudah lupa diri ketika menerima pujian ataupun celaan. Kerana hatinya berada sangat dekat kepada Allah, hanya Dialah yang layak menerima pujian. Begitu pula jika celaan yang didengar maka bertambah waspada ia mengenali aib dirinya dan mengambil manfaat daripada celaan orang yang mencela. Hamba Allah seperti ini digelari Al-Quran sebagai Ibadur Rahman.

3. Zuhud terhadap amal saleh yang dilakukan.
Penyakit orang yang beramal ialah memandang suci dirinya sedangkan orang lain kotor. Begitu juga orang alim yang tertipu dengan ilmu menyangka orang lain rendah dan bodoh. Padahal syurga hanya dapat dimiliki bukan kerana amal dan ilmunya tetapi kerana rahmat Allah Taala. Rasulullah SAW telah bersabda: Tidak sekali-kali amal salah seorang diantara kamu boleh memasukkannya ke syurga. Mereka bertanya: Tidak pula engkau, wahai Rasulullah? Beliau bersabda: Tidak pula aku, kecuali jika Allah melimpahiku dengan rahmat dan kurniaNya.” (Hadis riwayat Bukhari Muslim)

4. Zuhud dengan menyembunyikan zuhud.
Ada orang yang sengaja menunjuk-nunjuk kezuhudan dengan berpakaian yang lusuh dan kotor, berjalan lambat dan lemah, bercakap dengan cara yang merendah diri tetapi bermaksud menyindir orang yang mendengar, merasa diri sendiri baik dalam hal ibadat dan orang lain salah. Menganggap rendah kedudukan orang kaya seakan-akan mereka ahli neraka dan merasa hebat menjadi si miskin yang pasti akan mendapat syurga. Ibnul Mubarak mengatakan: ”Zuhud yang utama ialah menyembunyikan zuhud”.

Pada suatu hari Aisyah Ra pernah melihat sekumpulan pemuda yang berjalan longlai dan berwajah kusut, pakaian mereka lusuh. Beliau bertanya: Siapakah para pemuda itu? Dikatakan kepadanya: ”Mereka adalah ahli ibadat.” Aisyah berkata: Demi Allah tiada orang yang paling takwa selain Umar al-Khattab tetapi apabila ia berjalan gagah, jika bercakap menunjukkan ketegasan dan ia menghukum menggunakan kekuatannya menegakkan keadilan.”

5.Zuhud dengan memandang akhirat pada harga yang mahal.
Dunia adalah jalan untuk mendapatkan akhirat. Sedetik yang dipergunakan untuk beribadat lebih berharga dari dunia dan seisinya. Berasa rugi jika menghabiskan masa di dunia hanya untuk permainan dan hiburan. Rasulullah SAW bersabda: ”Dunia itu dibandingan akhirat hanyalah seperti seseorang yang mencelupkan jarinya ke laut, hendaklah ia melihat air yang menempel di jarinya setelah diangkat daripadanya.” (Muslim, Tirmizi dan Ibnu Majah)
Ibnu Taimiyah mengatakan bahawa: zuhud ialah meninggalkan apa-apa yang tidak bermanfaat untuk akhirat kamu.”

Kaitan Zuhud dan kemiskinan.

Zuhud tidak bermakna miskin, hidup merempat dan menyusahkan orang lain. Bagaimana mungkin orang yang dirinya masih dibelenggu oleh kemiskinan boleh beribadat dan membela agamanya dengan keadaan sedemikian. Ibadat memerlukan sokongan kewangan, jika seseorang sibuk memikirkan wang untuk makan sahaja dan tiada masa untuk memikirkan ibadat maka kemiskinannya itu nyata amat mengganggu imannya. Miskin akan menguji tahap keimanan seseorang, adakah ia amanah dan jujur walaupun tidak berduit atau sebaliknya dengan alasan miskin ia tidak takut memakan harta yang haram.

Miskin pula menjadi punca kerosakan agama, bangsa dan negara. Negara-negara kaya di dunia adalah negara kafir dan komunis, sementara umat Islam jatuh dibawah kawalan mereka disebabkan kemiskinan, bagaimana mungkin Islam boleh berdaulat di bumi Allah ini jika umatnya masih dibelenggu kemiskinan?

Harta adalah kekuatan seorang hamba jika dimanfaatkan demi kepentingan imannya. Tetapi ramai pula yang tertipu dengan fitnah harta. Padahal ia hanya pinjaman sementara. Rasulullah SAW bersabda: ”Sesiapa yang hasratnya adalah dunia, Allah menceraikan urusannya, membuatnya takut terhadap hartanya, menjadikan kefakiran nampak di depannya dan sebahagian dari dunia tidak datang kepadanya melainkan yang telah ditetapkan baginya. Sesiapa yang hasratnya adalah akhirat naka Allah menghipun hasratnya, menjaga hartanya, menjadikan kekayaan berada pada hatinya dan dunia datang kepadanya dalam keadaan hina.” (Hadis riwayat Ahmad, Al-Darimi, Ibnu Hibban dan Ibnu Majah)

Boleh jadi orang kaya yang dunia berada ditangannya dan akhirat di hatinya lebih zuhud daripada si miskin yang diancam kekufuran.

Sumber :- DrJuanda.com

No comments :

Post a Comment

Komentar anda amat dihargai, terima kasih.