Saturday, February 11, 2012

Lemas Dikongkong Suami


۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Anda mesti rasa tersiksa jika hidup asyik mengikut kehendak orang lain yang bertentangan dengan kemahuan anda. Walaupun dia adalah suami yang anda cintai, bukan bererti segala sesuatu mesti mengikut katanya dan mengorbankan perasaan anda. Perkahwinan dalam Islam tiada sistem manipulasi sama sekali. Suami dan isteri dituntut untuk mengambil jalan tengah dan adil dalam setiap masalah yang dihadapi. Perkara ini pernah dinyatakan dalam hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim.

Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab beliau berkata: “Demi Allah, ketika zaman jahiliyah kami tidak pedulikan hak wanita sedikitpun, sehingga Allah menurunkan ketentuan tentang mereka dan hak mereka. Ketika aku memikirkan suatu urusan yang sulit, isteriku berkata: Apa pandanganmu jika kamu melakukan begini dan begini? Aku berkata: Mengapa kamu mencampuri urusanku? Dia menjawab: Betapa peliknya engkau wahai Ibnul Khattab! Kamu tidak mahu saya memberi pandangan! Padahal puterimu (Ummul Mukminin Hafsah binti Umar) pernah memberi pandangan kepada suaminya (Rasulullah SAW).”

Betapa indahnya syariat Islam. Suami dan isteri saling berbagi, namun tak semua mimpi indah menjadi realiti. Tak kira lelaki muslim atau bukan muslim, ramai di kalangan suami menganggap isteri mesti ikut, tunduk dan taat arahan suami tanpa kompromi. Dari manakah datangnya ajaran ini? Yang jelas ia bukan dari ajaran Islam. Mungkin disebabkan pengaruh faktor budaya sebagai orang timur yang membentuk perilaku sebegitu.

Padahal Rasulullah SAW adalah selembut-lembut lelaki yang bergelar suami. Hal ini dapat kita sandarkan pada hadis baginda SAW yang suatu ketika berbicara untuk kaum wanita, yang bermaksud; “Janganlah kamu melarang para wanita mendatangi masjid-masjid Allah.” (Riwayat Al-Bukhari). Apakah wujud kongkongan terhadap wanita dalam ajaran Islam setelah kita mendengar hadis sebegini?

Kemudian hadis Rasulullah SAW yang memberikan kelonggaran untuk wanita keluar bekerja. Ummul Mukminin Aisyah RA berkata: “Wanita yang paling pemurah tangannya antara kami ialah Zainab, kerana dia bekerja dengan tangannya sendiri dan bersedekah.” (Hadis riwayat Muslim)

Isu kongkong mengongkong ini turut dialami oleh lelaki. Mereka yang memiliki isteri bersifat queen control! Suami takut isteri atau isteri takut suami, apa bezanya? Kedua-dua keadaan ini adalah salah menurut ajaran Islam. Biarlah perkahwinan itu ditegakkan dengan prinsip keadilan, kesaksamaan, tahu dan melaksanakan hak dan kewajipan masing-masing. Komunikasi dibina dengan telus dan cerdas. Suami dan isteri mesti memiliki kemahiran seni pengurusan hati dan perasaan untuk menjamin komunikasi itu berkesan.

Ada tiga petua untuk mengatasi tabiat suka mengongkong.

1. Percaya kepada pasangan anda.
Anda boleh menguasai isteri dari sisi zahirnya sahaja namun hatinya tidak, akal fikirannya apatah lagi. Jadi jangan terkejut bila di depan anda dia OK, namun di belakang lain. Di sinilah perlunya sikap saling percaya mempercayai. Percaya bahawa baik buruk datang dari Allah Taala. Siapalah kita yang mahu ‘menguasai’ isteri atau suami. Itu kerja Allah Taala, Yang Maha Berkuasa atas setiap makhluk. Suami hanya boleh memberi pandangan dan nasihat yang membina bukan dengan memaksakan kehendaknya. Jadilah seperti seorang dokter yang mengubat bukan sebagai hakim yang mengadili. Sifat saling mempercayai dibina dengan kejujuran, keterbukaan dan mahu menerima pasangan dengan segala kelebihan dan kekurangannya.

2. Hormati pandangannya.
Sepertimana anda suka dihormati orang lain, begitu juga isteri yang mahukan pengiktirafan daripada suami. Manusia dilahirkan membawa sifat dan cara yang berbeza, namun demikian perbezaan itu tidak membuktikan bahawa mereka tidak boleh bersatu. Dengan perbezaan pendapat dan cara berfikir sebenarnya membuka ruang kepada suami dan isteri untuk berinteraksi secara intim. Seandainya isteri takut dan tutup mulut, kemudian ikut saja kehendak suami maka keadaan ini akan memberi impak negatif dalam perhubungan mereka dalam jangka masa panjang. Tak akan ada rasa intim jika asyik mengalah dan memendam perasaan yang berhujung dengan virus dendam. Hormatilah isteri sebagai seorang manusia yang boleh memilih, menimbang, mengkaji dan meneliti. Sepatutnya, suami pintar, isteri pula bijak.

3. Ubati emosi anda.
Suami yang suka mengongkong isteri atau sebaliknya, memiliki emosi yang tidak stabil. Bayang-bayang ketakutan, cemburu dan ego bercampur menjadi satu, lantas melahirkan rasa tidak selamat dan gelisah apabila isteri tidak berada di depan mata. Latarbelakang keluarga yang mengamalkan disiplin yang terlalu mengongkong juga mempengaruhi watak dan karakter suami pengongkong. Terlalu idealis dan perfectionis juga menyumbang kepada sikap mahu menguasai orang lain agar mengikut di bawah telunjuknya. Semua itu adalah penyakit mental yang mesti diubati. Di sinilah peranan orang di sekeliling khasnya isteri amat penting untuk membuka mata suami bahawa dia mesti berubah, sebelum segalanya akan berakhir dengan kehancuran rumahtangga.

source:http://drjuanda.com/?p=353

No comments :

Post a Comment

Komentar anda amat dihargai, terima kasih.