Saturday, September 26, 2009

Baitul Muslim


۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞
"Bait" merujuk kepada rumah. Baitul muslim bermaksud rumah tangga muslim. Tepatkah? Maaf, saya tidak arif bahasa arab jadi sila betulkan ya jika ada kesilapan. Namun di sini saya bukan hendak membicarakan mengenai b.arab tapi mengenai baitul muslim itu sendiri.

Ramai sahabat saya di luar sana sudah sedia untuk membina baitul muslim namun kata orang jodoh belum ketemu. Saya punya pengalaman membantu suami menguruskan baitul muslim ternyata ia di luar jangkaan. Saya menyangka ianya mudah, namun hakikatnya payah juga terutama jika "tiada jodoh". Pusing sana, pusing sini, akhirnya tidak jadi hasrat kami untuk menjodohkan sesetengah muslimin dan muslimat. Mencabar juga tugasan ini namun kami atas dasar tiada lain iaitu ingin membantu lillahi ta'ala. Baru-baru ini, kakak ipar saya memberitahu ada dua orang sahabatnya sudah bertemu jodoh hasil daripada sebuah perencanaan baitul muslim sebuah website islami namun tidak dinyatakan website tersebut.

Namun di sini, saya menjumpai pendaftaran baitul muslim. Sebelum ini saya memang tidak pernah dengar tentang baitul muslim dalam website. Apa yang saya harapkan, usaha mereka mendapat keberkatan dari Allah dan semoga semua yang menyertainya mendapat kebaikan dan bertemu kebahagiaan.

Saya teringat akan satu ceramah daripada seorang motivator terkenal Dato' Dr. Haji Fadzilah Kamsah, kata beliau, jika berdoa meminta jodoh, umumkan doa tersebut. Misalnya, jika kita meminta jodoh, sebutlah "jodohkan aku dengan lelaki soleh" bukan "jodohkan aku dengan si pulan (org yg kita idamkan)" sebab kita tidak tahu siapa jodoh kita yg sebenarnya. Lelaki soleh/wanita solehah ada di mana2, jangan "aim" sesiapa kerana seperti firman Allah yg bermaksud:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216).



Ia juga bertujuan untuk menjaga kesucian hati dari memikiri insan yang bukan muhrim. Saya tidak menujukan artikel ini kepada sesiapa, ia sekadar perkongsian dari hati ke hati. Kepada sahabat yang masih mencari-cari, insyaAllah jodoh mu akan tiba tepat pada masanya dan pertolongan Allah itu datang tepat di waktu kebutuhan hamba-Nya. Maksud surah at-Talaq:2-3,

"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan lepaskan ia dari masalah hidup Dan diberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan ( yang dikehendaki ) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

Wednesday, September 23, 2009

Masih dalam mood aidilfitri


۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞
Raya tahun ni kami beraya di kampung suami, Sekinchan. Penat jugalah beraya bersama kembar saya namun keindahan aidilfitri mengatasi kepenatan itu. Hari raya merupakan hari kemenangan umat Islam yg mesti kita raikan dengan suasana yg gembira dan penuh kesyukuran setelah sebulan kita berpuasa. Namun, perasaan ini bertamu sayu dan pilu pabila melihat keadaan insan di sekeliling dan melihat pelbagai kesusahan masyarakat yang dipaparkan di kaca tv menjelang hari raya. Kedhaifan mereka cukup menginsafkan diri ini yang serba kecukupan berbanding mereka. Semoga jiwa ini dilembutkan untuk sentiasa hidup dalam keadaan bersyukur kepada yang Maha Esa..

Di hadapan rumah ibu mertua saya di Bukit Kapar, ada satu perumahan (rumah teres setingkat) yang tidak siap2 setelah sekian lama dibina. Di dalam salah sebuah rumah tersebut, ada seorang hamba Allah yang berlindung di dalam rumah yg tidak siap itu. Rumah itu tidak berpintu, tiada air dan elektrik. Menurut ibu mertua saya, hamba Allah itu memasak untuk makan setiap hari. Di waktu malam, dia hanya memasang lilin untuk menerangi tempat tinggalnya. Oleh kerana dia sedikit cacat pemikirannya, dia tiada pekerjaan dan mengharapkan makanan yang diberikan oleh masyarakat sekeliling. Saya merasa sungguh kesian akan nasibnya. Begitulah nasib hidupnya, mungkin akan sebatang kara sampai ke tua. Menurut ibu mertua saya lagi, dia berpuasa di bulan Ramadhan, alhamdulillah. Di pagi raya, kesian sungguh apabila melihat kelibatnya. Mungkin padanya, beraya atau tidak sama saja. Namun, saya pula menyambut lebaran tahun ini bersama suami dan anak-anak...dunia saya tidak sepi seperti hamba Allah itu tadi...syukur..

Begitu juga di tv, setiap kali menjelang raya, ada pelbagai kisah suka duka masyarakat yang dipaparkan. Mungkin saya pernah melalui hidup susah di waktu kecil dan pernah menjadi anak yatim, saya mudah tersentuh dengan cerita2 sedih tersebut. Saya pernah merasakan kehilangan seorang insan yang bergelar ayah di usia 11 tahun. Oleh kerana itu, saya amat memahami perasaan seorang anak kecil yang kehilangan ayah lebih2 lagi di kala menjelang syawal..memang meruntun kalbu. Hilang tempat bergantung. Kebanyakan kisah2 sedih yg dipaparkan adalah kisah kehilangan orang yang tersayang seperti kematian anak, suami, ibu, ayah dan lain2 lagi. Yang pergi tetap pergi, yang masih hidup ini juga akan menyusul mereka nanti namun kita harus meneruskan kehidupan selagi nyawa masih dipinjamkan Allah kepada kita. Syawal, oleh kerana kita harus menyambutnya dengan gembira dan penuh rasa kesyukuran, jadikanlah ia satu bulan yang menghidupkan jiwa dan menguatkan hati untuk meneruskan kehidupan hingga bertemu syawal tahun hadapan jika panjang umur, insyaAllah. Sentiasa ingat akan misi hidup kita yang sebenar agar kita tidak lalai dan alpa..Allahu ghoyatuna!

Tuesday, September 15, 2009

Facebook: Antara Pro dan Kontra

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞
Artikel asal dari : Saifulislam.com

“Ustaz, do you have any networking account?” tanya Saeb kepada saya.

“You mean, like Friendster and Myspace?” saya meminta kepastian.

“Yes. But in the States we don’t use Friendster. We’re more into Facebook,” jelas Saeb kepada saya.

Beliau adalah anak kepada pensyarah saya, seorang warga Amerika Syarikat.

“Oh yeah. I have registered an account but completely forgot about it because there’s no one there,” saya memberitahu.

“Great. Probably Malaysians are still hanging around Friendster. But anyway you’ll find us there. I’m trying to bring Dad into Facebook, too!” gurau beliau.

PENYERTAAN AWAL KE FACEBOOK

Saya mendaftarkan akaun Facebook pada awal 2007 tetapi hanya mengaktifkan penggunaannya semula kira-kira enam bulan selepas itu bagi menguruskan jaringan sosial antara kami, AJK IYEP dengan peserta yang datang dari seluruh dunia.

Ketika itu, amat kecil bilangan pengguna Malaysia yang berada di dalam jaringan Facebook. Namun, saya berasa selesa menggunakannya berbanding dengan Friendster kerana suasana di dalam Facebook lebih teratur, kemas dan ‘tidak kebudak-budakan’. Di kala itu, memang sudah menjadi buah mulut orang menganggap pembabitan anak muda di dalam Friendster di negara kita amat mengundang mudarat. Perkongsian gambar-gambar tidak senonoh hingga membabitkan beberapa artis ketika itu, menyebabkan saya langsung tidak terfikir untuk mempertimbangkan soal menyertai Friendster, biar pun untuk tujuan dakwah khususnya pada mendekati golongan remaja.

Berbeza dengan Facebook, rakan-rakan yang lebih ’sekepala’ dan ’seusia’ bertambah dari semasa ke semasa melalui Facebook dan ia sangat berkesan dalam usaha ‘menjejak kasih’ teman-teman lama dari seluruh dunia.

Keadaan ini sedikit demi sedikit berubah apabila semakin ramai pengguna internet Malaysia menyertai Facebook.

Saya tidak pasti apakah yang patut ditunding kesalahan. Apakah kerana kelompok yang membanjiri Facebook kebelakangan ini adalah remaja bermentaliti kebudak-budakan, atau mereka bekas pengguna Friendster, atau mereka mewakili suatu ngomelan tentang budaya kurang sihat di Malaysia yang disebut sebagai ‘First Class Facility with the Third Class Mentality’. Facebook mula comot dengan pelbagai aplikasi seperti kuiz, permainan dan pelbagai fungsi yang menghilangkan hemah Facebook selama ini.

Keadaan menjadi lebih merunsingkan apabila kita memiliki 5000 orang ‘rakan’ di dalam senarai jaringan kita. Apabila beberapa ratus daripada 5000 itu menyebarkan sampah sarap, ia sudah cukup untuk merosakkan fungsi asal Facebook yang menjadi asas tujuan kita memilih jaringan sosial ini.

BOLEH MENJADI HARAM

Keasyikan pengguna-pengguna Facebook melayan kuiz dan permainan, di samping sembang bual yang pada masa ini jumlah warga jaringan Malaysia mencecah lebih 800,000 orang, boleh menghasilkan suatu ketagihan seperti apa yang pernah menimpa pengguna perkhidmatan chatting MiRC suatu ketika dahulu. Tambahan lagi, dengan kemudahan akses Facebook melalui telefon bimbit, tahap ketagihan itu bisa jadi melampau dan merosakkan.

Dalam keadaan seperti ini, keharusan menggunakan Facebook boleh bertukar menjadi HARAM ke atas individu yang menyalahgunakan Facebook hingga berlaku kelalaian di tahap yang ekstrim.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

23_1-3“Telah nyatalah kejayaan para Mukmin. Iaitu mereka yang di dalam solat mereka, khusyu’ mendirikannya. Dan mereka itu terhadap perkara-perkara yang melalaikan, mereka menghindarkannya” [al-Mu'minun 23: 1-3]

Apa yang menjadi larangan bukanlah Facebook sebagai medium. Tetapi larangan itu terkena ke atas individu yang gagal mengawal dirinya hingga sesuatu yang asalnya begitu bermanfaat berubah menjadi mudarat akibat lemah daya mengawal dan membuat pilihan.

Dalam masa yang sama juga beberapa konsep akhlaq perlu diberikan penjelasan dalam konteks etika melayari internet serta menggunakan aplikasi yang kedapatan, termasuk email dan Facebook.

EMAIL

Saya tidak menyiarkan alamat email di tempat terbuka.

Antara tujuannya ialah untuk melindungi akaun email saya daripada kebanjiran email spam. Justeru untuk kemudahan perhubungan, saya sediakan borang email dan semua mesej yang dihantar di situ akan masuk terus ke akaun Gmail saya.

Akan tetapi, apabila mesej yang dikirim, saya balas dengan memberikan jawapan yang diminta, penerima email itu telah memasukkan email saya ke senarai email yang bakal menerima artikel-artikel yang beliau hantar dalam jumlah yang sangat mengganggu. Entah mengapa, ada sesetengah kita memiliki tabiat mengajukan rantaian-rantaian artikel melalui email dalam bentuk yang tidak terkawal. Tentu sahaja mengambil satu artikel lalu dikongsikan bersama rakan-rakan lain agar tersebar manfaat, adalah suatu perbuatan yang terpuji. Tetapi tatkala menerima satu email, dan kemudian terus menekan butang REPLY atau REPLY TO ALL dengan email yang sudah lima lapis diperlakukan sedemikian rupa, ia menampakkan bahawa email itu dihantar lebih kepada tabiat suka mengajukan email (Email Forwarding) berbanding menghantarnya dalam keadaan sedar akan apakah tujuan ia dilakukan.

Ada yang menyebarkan secara BULK hingga 20 email sehari.

Bagaimanakah anda menguruskan akaun email apabila seorang yang tidak anda kenali, menghantar 20 forwarded email sehari (sebahagiannya adalah artikel anda sendiri yang diajukan kembali kepada anda)?

Kaedah mudahnya ialah tandakan sahaja email itu dan penghantarnya sebagai SPAM.

Tetapi atas dasar menghargai sesama Mukmin yang berutusan email dengan maksud kebaikan, saya menghantar email peribadi kepada si pelaku ini memohon jasa baiknya agar email saya dikeluarkan daripada senarai penerima forwarded article beliau.

Permintaan saya itu telah menyebabkan beliau melenting. Saya ditegur kerana ‘tidak menghargai kebaikan’, ’sudah terlalu baik hingga tidak perlu ditegur oleh artikel-artikel yang baik’ dan macam-macam lagi. Saya cuba untuk terangkan kepada beliau bahawa sebahagian daripada artikel yang beliau hantar kepada saya adalah artikel tulisan saya sendiri. Ini menunjukkan beliau tidak meneliti apa yang dihantar dan kepada siapa ia dihantar. Semuanya dilakukan sebagai tabiat bahawa selepas email dibaca, terus ditekan butang Forward untuk membina rantaian email yang menyemakkan.

Dek tindak balas beliau yang agresif, saya mengambil langkah drastik membuat tapisan (filter) bahawa semua email daripadanya, terus dipadam dan dimasukkan ke tong sampah (bin).

Sehingga kini ada lebih 20 filter yang berada di dalam email saya untuk menangkis kelakuan sebegini.

TAGGING DI DALAM FACEBOOK

Fungsi tagging di dalam Facebook mempunyai manfaat yang banyak.

Disebabkan oleh adanya fungsi ini, saya sudah kurang menggunakan kamera sendiri untuk mengambil foto program yang saya hadiri atau kendali. Lazimnya jurukamera atau peserta yang bergambar akan memuatnaikkan fotonya dan tatkala saya ditanda dengan tagging, maka foto itu secara otomatik masuk ke koleksi foto saya.

Namun, terdapat sejumlah pengguna Facebook yang menggunakan fungsi tagging ini sebahagian daripada apa yang dilakukannya di dalam kuiz dan permainan. Mungkin hal ini lebih menjadi masalah apabila ia berlaku kepada pengguna Facebook yang memiliki 5000 orang ‘rakan’ di dalam senarai jaringannya.

Kemunculan aplikasi seperti PICKUPFRIENDS telah mengundang lambakan ratusan tagging berserta mesej balasan yang mengganggu ketenteraman penerimanya.

Tabiat-tabiat seperti ini tidak seharusnya berlaku. Ia menggambarkan betapa kita tidak menghargai ruang persahabatan yang wujud lantas mengisinya dengan benda-benda yang disangka lucu tetapi hakikatnya menyakiti orang lain. Cukuplah pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

hadith-salimalmuslimun

“Daripada Abdullah bin ‘Umar radhiyallaahu ‘anhuma beliau berkata, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Seorang Muslim itu ialah seorang yang kaum Muslimin lain terselamat daripada (kejahatan) lisan dan tangannya. Seorang muhajir pula ada orang yang berhijrah meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah kepadanya” [muttafaq 'alayh]

FACEBOOK DAN YAHUDI

Dalam sentimen kemarahan kita terhadap apa yang menimpa umat Islam di bumi Palestin, kemahuan untuk melakukan sesuatu yang berbalut emosi sering membuatkan kita keterlaluan dalam tindakan.

Suatu ketika, kempen boikot berlangsung secara aktif. Senarai panjang barangan dan perkhidmatan disebarkan untuk diboikot. Masyarakat terbahagi kepada beberapa kelompok dalam hal ini. Ada yang menolak sepenuhnya tindakan boikot, ada yang bertindak memboikot sepenuhnya apa sahaja yang berkaitan dengan Yahudi dan Amerika Syarikat, dan di celah kedua-dua aliran itu, ada yang bertindak memboikot secara selektif.

Tindakan memboikot secara selektif ini didorong oleh kesedaran bahawa mengharamkan secara mutlak urusniaga yang membabitkan Yahudi atau Nasrani semata-mata kerana dia itu Yahudi atau Nasrani, adalah suatu tindakan yang tidak menepati kehendak Syara’.

markzuckerberg

Di dalam Majalah al-Islam keluaran September 2009, terdapat sebuah artikel yang tajuknya amat serius berbunyi, “ZUCKERBERG GUNA FACEBOOK UNTUK BUNUH PENDUDUK PALESTIN”.

Apa yang tidak wajar berlaku ialah, makalah tersebut hanya mendedahkan aktiviti biasa pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, sebagai seorang Yahudi yang ‘multazim’ (mempraktikkan agama Yahudi dalam kehidupan seharian). Tetapi justifikasi terhadap kebenaran dakwaan bahawa Zuckerberg menggunakan Facebook untuk membunuh penduduk Palestin, hanya ditulis dalam sebuah perenggan ringkas berbunyi:

“… Pun begitu sebelum pengharaman oleh dua buah negara tersebut dibuat, wujud desas-desus yang mengaitkan penglibatan laman web tersebut dalam membiayai peperangan di Gaza”

Itu sahaja kenyataan yang wujud di sepanjang artikel berkenaan dalam mengaitkan Facebook dengan jenayah perang di Palestin. Ada pun isi kandungan lain, kesemuanya menceritakan tentang betapa Yahudinya seorang anak muda bernama Mark Zuckerberg, sesuatu yang tidak pernah diputuskan oleh Islam sebagai sebab untuk produk atau perkhidmatannya diharamkan.

ASAL KEHARUSAN MUAMALAH BERSAMA YAHUDI

Terdapat begitu banyak keterangan daripada Sunnah bahawa berurusniaga dengan kaum Musyrikin dan Yahudi itu adalah harus. Misalnya di dalam sepotong hadith:

“Sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh dan mencagarkan baju besi baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.” [Hadith riwayat al-Bukhari nombor 2326, 2/841]

Al-Imam al-Bukhari juga memberikan tajuk kepada salah satu bab di dalam Sahih beliau, yang mendatangkan hadith di atas sebagai, “BAB BERJUAL BELI DENGAN KAUM MUSYRIK DAN YAHUDI”.

Dalam mengulas hal ini, al-Imam al-Nawawi membuat kesimpulannya di dalam syarahan beliau kepada Sahih Muslim dengan berkata:

“Telah ijma’ seluruh umat Islam pada keharusan urusan dengan Ahli Zimmah dan lain-lain orang Kafir selagi mana urus niaga itu tidak jatuh di dalam perkara yang haram. Akan tetapi umat Islam tidak boleh ( haram) menjual senjata kepada musuh Islam yang sedang memerangi Islam, dan tidak boleh juga membantu mereka dalam menegakkan agama mereka” [Sharah Sahih Muslim oleh al-Nawawi, 11/40]

Keharusan ini hanya berubah dengan adanya dalil lain yang mengubah keharusan itu, atau berlakunya sesuatu yang mengubah konteks hadith ini. Di dalam kes Facebook, adalah sangat penting untuk didatangkan bukti bahawa Mack Zuckerberg membiayai regim Zionis di Palestin, dan artikel di Majalah al-Islam September 2009 itu gagal mendatangkannya.

Di hujung artikel tersebut, satu lagi dakwaan dibuat pada menyatakan bahawa, “dengan klik sahaja pada Facebook kita juga turut sama menjadi pembunuh orang Palestin di Gaza“

Namun sama juga seperti sebelumnya, tiada sebarang bukti diketengahkan pada menunjukkan bagaimanakah penjanaan keuntungan Facebook disalurkan kepada regim Zionis yang menjajah bumi Palestin”.

Kita tidak mahu wujudnya satu budaya paranoid umat Islam yang melatah dengan mudah tatkala didatangi oleh kenyataan-kenyataan seperti ini. Orang Islam sangat cepat dimanipulasi sebagai agen merosakkan produk dan perkhidmatan melalui penyebaran email yang mendakwa ada benda tidak halal, ada campuran beracun dan lain-lain yang mana sebahagaiannya adalah palsu. Ia hanya membuktikan bahawa orang Islam banyak kerisauan tetapi tidak banyak berusaha untuk menyelidik bagi menghilangkan kerisauan tersebut.

Islam tidak pernah mengharamkan Muslim membeli atau menggunakan apa-apa produk dan perkhidmatan daripada non Muslim termasuk Yahudi. Mengharamkan pembelian atau penggunaan sesuatu produk atau perkhidmatan hanya dengan alasan ia milik Yahudi, boleh mengheret kita terjebak kepada perbuatan MENGHARAMKAN APA YANG HALAL, yang mana perbuatan itu sama buruknya dengan MENGHALALKAN APA YANG HARAM.

Malah perbuatan anti Yahudi secara semberono begitu adalah bersifat perkauman yang dibenci oleh Islam.

Facebook terbuka sebagai satu ruang untuk dimanfaatkan sebagai medium perhubungan dan penyebaran maklumat. Ia boleh berfungsi sebagai alat dakwah serta penyebaran maklumat, sebagaimana ia juga boleh berfungsi sebagai alat pemasaran. Seandainya di Facebook ada kempen yang memburuk-burukkan Islam, maka gunakanlah ruang yang ada untuk kempen memburuk-burukkan Islam itu ditukar kepada suatu bentuk promosi yang menimbulkan rasa ingin tahu manusia kepada Islam, seperti yang banyak berlaku pasca 11 September 2001.

Namun, jika umat Islam menghabiskan masa di Facebook dengan aplikasi yang melalaikan tanpa sebarang tujuan, penggunaan Facebook boleh menjadi haram ke atas golongan seperti ini, sama seperti pembabitannya dalam aktiviti kosong yang lain.

PANDUAN MENGATASI KETAGIHAN

Sedikit nasihat buat mereka yang mengalami ketagihan Facebook, buangkan segala aplikasi third party seperti kuiz, permainan dan yang seumpama dengannya. Gunakan Facebook sebagai alat komunikasi bersama rakan-rakan, isikan ia dengan perbincangan, perbualan yang merapatkan ukhuwwah dan menambah pengetahuan secara berhemah.

Andaikata langkah mudah ini pun gagal mengurangkan tahap ketagihan berkenaan, tamatkan akaun Facebook dan carilah kehidupan yang lebih bermakna di luar sana.

Tepuk dada, tanyalah Iman!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Tuesday, September 08, 2009

Pembaziran di kala walimah

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Pembaziran di kala walimah
Written by Ummi Munaliza on 04 Ogos, 2009, 05:55:14 am


Ini berkaitan dengan hadiah iringan. Sebab masa ini yang meyebabkan lelaki lewat untuk berkahwin sedangkan hati telah bersedia ialah masalah kewangan. Ada hantaran, mahar dan hadiah iringan yang sebenarnya jauh dari mengikuti syariat. Cuablah lihat , hantaran tinggi menggunung, mahar tu tak kisah la, sebab tak membebankan tapi hadiah iringan tu juga kadang jadi beban. Dah la berdulang-dulang, dihiasi dengan entah apa-apa bagi menunjukkan kreativiti kedua-dua pihak. Terus terang ummi katakan, memhiasi hadiah iringan itu semada simple atau hebat, semua tu adalah pembaziran. Bukan banrangnya yang membazir, tapi cara hiasan tu. Dengan manik,labuci, renda, ropol dan macam-macam benda lagi yang mana akhirnya semua tu tidak dapat dimanafaatkn, ia hanya sekadar hiasan.

Kadang tu kos untuk menghiasi barang hadiah iringan itu lebih mahal dari barang yang nak diberikan. Dan satu kesilapan besar ialah mempertontonkan kepada orang ramai. Untuk apa di hiasi dan diletak di dalam dulang? Ok, jika kata hadiah tu cuma sebagai buah tangan, tak perlu di hiasi begitu rupa, cukup sekadar masukkan dalam kotak,jangan beri orang tengok apa barangnya, kotak tu bungkuslah seadanya dengan pembungkus hadiah sudah la, kemudian ikat riben. Lepas majlis riben tu boleh guna buat ikat langsir rumah pula. Maka adalah faedahnya.

Ummi ingin memberikan pandangan, hadiah yang ingin dibawa sebagia buah tangan tu sebaiknya, barang yang akan digunakan selepas walimah, contohnya telekung, sejadah dan sebagainya. Tak payah banyak2 dulang. Ini kasut pun letak atas dulang, sama taraf dengan Al-Quran. Lepas tu masa letak untuk pameran sebelah meyebelah kasut dengan Al_Quran, dengan songkok, ada ke patut? Cukplah bawa sebakul buah, 4 lagi barang keperluan untuk digunakan selepas walimah. Kalau bukan kita yang mahu mengubah tradisi ini, siapa lagi?

Ini ummi belum bercerita bab sirih junjung. Nanti kalau ummi kata bawa sirih tu, tak betul banyak pula yang menentang. Entahla..
Apa yang ada di sirih junjung ini. ummi pun tak faham, Terus terang masa ummi kahwin, tak ada sirih walaupun sehelai, dan begitu juga anak-anak yang ummi kahwinkan. Kami tak buat apa bentuk sirih.


Sekadar hiasan , ummi letak gambar sirih junjung di sini,ada manafaat ke untuk pengantin selepas walimah?

Kita ni sebenarnya dah banyak menyumbang kemaksiatan terutama untuk walimah inilah. Kita cuma nampak bersanding tu haram, yang lain-lain kita tak nampak. Dengan adanya majlis perkahwinan ini, sampaikan ia boleh jadi sumber pendapatan sesetengah orang. Andaman, pelamin, pakaian majlis nikah, resepsi, hiasan katil, cenderahti dan sebagainya. Makan beradap, dengan lauk pauk berbeza denagn tetamu yang hadir, kemudian dihiasi dengan macam-macam rupa, sampai ada udang memanjat nanas. Apa sebenarnya yang kita mahu dari makan beradap ini?

Maka fikir-fikirkan lah...siapa lagi yang mahu mengubah semua ini, kalau bukan kita? Bukan ummi menentang pemberian hadiah iringan, cuma cara dan kaedah hadiah itu dihias sahaja yang ummi tak berkenan sebab ada pembaziran dan ingin mempertontonkan pada orang ramai. Begitu juga dengan makan beradap....

artikel asal dr sini: http://halaqah.net/v10/index.php?article=20.2

Friday, September 04, 2009

TV


۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Televisyen merupakan antara senjata utama musuh-musuh islam. TV itu tidak salah, tapi para musuh islam menggunakan media elektronik untuk meracun minda dan jiwa umat islam secara halus melalui iklan, drama bersiri serta filem yg terutamanya diimport dari barat.

Melalui iklan, para wanita dieksploitasi secara meluas bagi melariskan produk2 mereka. Contohnya iklan kereta. Kereta tidak ada kena mengena dengan wanita, tapi setiap kali pelancaran kereta diadakan, ada wanita seksi yang menempel di tepi kereta tersebut. Apa perlunya wanita seksi itu? lakonan Iklan di kaca tv juga berlaku percampuran bebas antara lelaki dan wanita. Ini tentunya bahaya bagi anak-anak yang baru ingin mengenal erti kehidupan dunia, bimbang kalau mereka terpengaruh dengan pergaulan bebas antara lelaki dgn perempuan. Iklan2 di tv juga adakalanya memaparkan wanita2 yang seksi yang tidak sepatutnya dilihat oleh para suami, abang dan ayah kita. Sungguh memalukan. Kita seolah2 menjadi "tidak apa" dengan tayangan iklan. Betul lah kata orang, mula2 rasa malu, lama2 jadi tak apa dan tak rasa berdosa bila tengok.

ITu belum masuk bab filem lagi. Cerita kartun pun, kalau sudah namanya dari barat, kelucahan pasti ada. Contohnya cerita spongebob yang membayangkan wanita bila sebut pasal seluar dalam. Apa yang spongebob itu ajar kepada anak2 kita? Cerita kartun dari barat juga penuh dengan aksi bercium hero dan heroin, itu mengajar anak kita apa? Kartun sekrang pun dilakar dengan seksi macam cerita ikan duyung tu, maaf tajuknya tak ingat.

Filem dari barat pula, yang wajib ada ialah pendamping hero tu, iaitu heroin yang seksi. Spiderman, superman, batman, dan entah apa2 man lagi. Unsur2 true love antara hero n heroin ini meracun jiwa pemudi dan pemuda islam untuk bercouple, untuk melakukan maksiat mata dan hati. Memang adakalanya banyak unsur baik dari jalan cerita nya, namun yang adegan selit menyelit itulah yang merbahaya dan menjadi agenda sebenarnya musuh2 islam yang ingin melihat pemuda pemudi islam hancur secara tidak kita sedari.

Jadi kesimpulannya, bukan saya mengatakan tv itu haram, tapi tidak dinafikan ia boleh membawa kepada kehancuran jika ibubapa tidak mengawal rancangan tv yang sepatutnya dilihat oleh anak2. Bukan semua cerita kartun itu baik, sebagai alternatif, ada baiknya kita mencari cd2 yg tiada unsur negatif untuk hiburan anak2. Jiwa anak2 itu suci murni, jangan kita hitamkan hati mereka yang putih bersih itu. Peringatan untuk diri ini juga..

Allah sebagai Pemberi rezeki


۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Salam hari jumaat yang indah. Semoga kita semua mendapat keberkatan dalam bulan Ramadhan yang penuh barokah ini. Alhamdulillah, semoga semangat beribadah semuanya masih di tahap yang maksima. Saya bertarawih di rumah saja, bertemankan anak2 yg masih kecil, mgkin bila besar sikit, boleh lah bawa mereka bersama ke surau pada Ramadhan akan datang, itupun kalau umur masih panjang, insyaAllah. Kita ini, dengan mengingati mati, ia dapat menindas keinginan yang tidak2 dalam diri.

Alhamdulillah, usia perkahwinan saya dan suami sudah mencecah 4 tahun. Semoga dilimpahi keberkatan dari Allah ke atas rumah tangga yang dibina ini,ameen. Namun, terasa sedih juga mengenangkan ada sahabat yang masih belum berumahtangga kerana dibelenggu dengan syarat2 khas ibu bapa mereka. Antaranya, calon suami anaknya itu harus bekerja kerajaan. Apa kerja swasta tidak ada gajikah untuk memberi nafkah kepada anak isteri? Ibubapa tersebut rela "menyimpan" anak gadisnya sehingga usia meningkat dari setahun ke setahun daripada menjodohkan anaknya dengan lelaki yg bekerja swasta.Kesian kepada sahabat saya itu.

Kenapa kerja kerajaan? Ada ibubapa yang lebih suka jika anak mereka bekerja makan gaji dengan kerajaan. Alasannya, bila sudah pencen, kerajaan ada bagi duit pencen setiap bulan. Tak payah susah2 nak cari kerja lain dan tak payah pikir dah nak buat apa. "Kalau kerja swasta, susah nanti, kalau dah pencen, siapa nak bagi duit tiap2 bulan? Itulah persoalan2 yg dibangkitkan. Bukan saya anti kerja kerajaan, bukan saya kisah kerja swasta atau kerja kerajaan. Tapi pemikiran begini bukankah tidak yakin pada Allah sebagai raziqan atau pemberi rezeki? Jika kita bertaqwa, Allah pasti memberikan rezeki kepada hambanya seperti firman Allah dlm surah at-Talaq ayat 2-3 yg bermaksud:

"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan lepaskan ia dari masalah hidup Dan diberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."


Jadi yang memberi kita rezeki semacam pakaian untuk menutup aurat, kereta untuk naik pergi ke sana ke mari, duit untuk beli itu dan ini, bukanlah hasil pemberian majikan kita, bos kita, syarikat kita dan kerajaan kita, tapi semua itu adalah rezeki yang datangnya dari Allah swt. Adalah salah dan syirik jika kita mengatakan yang bagi rezeki itu adalah selain Allah.

Sebenarnya, ada banyak masalah lagi untuk ibubapa membenarkan anak2 mereka bernikah, bahkan meletakkan syarat yg tidak2 seperti calon suami atau isteri perlu dari satu negeri dan dekat dengan rumah, calon isteri perlu bekerja, dan calon menantu harus datang dari keluarga yg setaraf dengan keluarga mereka. Tentu ini menyulitkan usaha untuk menikah di atas jalan dakwah, namun anak2 lah yang perlu memulakan usaha dakwah kepada ibubapa, biar pun susah, namun semuanya demi kebaikan diri sendiri, untuk ibubapa dan yg penting untuk islam itu sendiri.

Sekian.