Wednesday, September 23, 2009

Masih dalam mood aidilfitri


۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞
Raya tahun ni kami beraya di kampung suami, Sekinchan. Penat jugalah beraya bersama kembar saya namun keindahan aidilfitri mengatasi kepenatan itu. Hari raya merupakan hari kemenangan umat Islam yg mesti kita raikan dengan suasana yg gembira dan penuh kesyukuran setelah sebulan kita berpuasa. Namun, perasaan ini bertamu sayu dan pilu pabila melihat keadaan insan di sekeliling dan melihat pelbagai kesusahan masyarakat yang dipaparkan di kaca tv menjelang hari raya. Kedhaifan mereka cukup menginsafkan diri ini yang serba kecukupan berbanding mereka. Semoga jiwa ini dilembutkan untuk sentiasa hidup dalam keadaan bersyukur kepada yang Maha Esa..

Di hadapan rumah ibu mertua saya di Bukit Kapar, ada satu perumahan (rumah teres setingkat) yang tidak siap2 setelah sekian lama dibina. Di dalam salah sebuah rumah tersebut, ada seorang hamba Allah yang berlindung di dalam rumah yg tidak siap itu. Rumah itu tidak berpintu, tiada air dan elektrik. Menurut ibu mertua saya, hamba Allah itu memasak untuk makan setiap hari. Di waktu malam, dia hanya memasang lilin untuk menerangi tempat tinggalnya. Oleh kerana dia sedikit cacat pemikirannya, dia tiada pekerjaan dan mengharapkan makanan yang diberikan oleh masyarakat sekeliling. Saya merasa sungguh kesian akan nasibnya. Begitulah nasib hidupnya, mungkin akan sebatang kara sampai ke tua. Menurut ibu mertua saya lagi, dia berpuasa di bulan Ramadhan, alhamdulillah. Di pagi raya, kesian sungguh apabila melihat kelibatnya. Mungkin padanya, beraya atau tidak sama saja. Namun, saya pula menyambut lebaran tahun ini bersama suami dan anak-anak...dunia saya tidak sepi seperti hamba Allah itu tadi...syukur..

Begitu juga di tv, setiap kali menjelang raya, ada pelbagai kisah suka duka masyarakat yang dipaparkan. Mungkin saya pernah melalui hidup susah di waktu kecil dan pernah menjadi anak yatim, saya mudah tersentuh dengan cerita2 sedih tersebut. Saya pernah merasakan kehilangan seorang insan yang bergelar ayah di usia 11 tahun. Oleh kerana itu, saya amat memahami perasaan seorang anak kecil yang kehilangan ayah lebih2 lagi di kala menjelang syawal..memang meruntun kalbu. Hilang tempat bergantung. Kebanyakan kisah2 sedih yg dipaparkan adalah kisah kehilangan orang yang tersayang seperti kematian anak, suami, ibu, ayah dan lain2 lagi. Yang pergi tetap pergi, yang masih hidup ini juga akan menyusul mereka nanti namun kita harus meneruskan kehidupan selagi nyawa masih dipinjamkan Allah kepada kita. Syawal, oleh kerana kita harus menyambutnya dengan gembira dan penuh rasa kesyukuran, jadikanlah ia satu bulan yang menghidupkan jiwa dan menguatkan hati untuk meneruskan kehidupan hingga bertemu syawal tahun hadapan jika panjang umur, insyaAllah. Sentiasa ingat akan misi hidup kita yang sebenar agar kita tidak lalai dan alpa..Allahu ghoyatuna!

No comments :

Post a Comment

Komentar anda amat dihargai, terima kasih.