۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞
Hari ni sangat letih. Lepas anak-anak tido lepas maghrib tadi, letih tu tiba-tiba hilang hehe. Pergi dapur buat roti telur sebab tak ada selera makan nasi. Makin hari makin tak ada selera makan. Perjalanan masih jauh, masih berbaki 10 minggu.Semoga Allah memberi kekuatan dan kesihatan ameen.
Semalam, bawa anak-anak ke usrah. Murobbiyah bercerita mengenai Imam Hassan al-Banna. Biarpun sudah selalu mendengar cerita tentang beliau, saya selalu kagum setiap kali mendengar kisahnya. Keperibadian beliau sangat hebat. Bapanya sejak kecil lagi mendoakan Hassan al-Banna menjadi anak yang soleh. Imam Hassan al-Banna telah mengasaskan jemaah Ikhwan Muslimin ketika usianya baru 23 tahun. Muda lah sangat. Kita pada usia itu masih mentah. Masih mengharapkan keluarga. Bagaimana dengan anak-anak kita nanti? Harapan kita itu adalah doa kita sebenarnya.
Cerita yang terkesan di hati ialah mengenai ayah Hassan Al-Banna iaitu Sheikh Ahmed Abdul Rahman al-Banna. Beliau juga merupakan ilmuan islam. Semasa hayatnya, beliau menyaksikan kehidupan anaknya sejak ia dilahirkan hinggalah anaknya itu meninggal dunia. Imam Hassan al-Banna telah meninggal pada usia beliau 43 tahun dalam satu pembunuhan yang dirancang oleh pihak kerajaan. Pada malam beliau ditembak dengan 7 das tembakan, beliau masih boleh berjalan dan menghubungi hospital. Di hospital, beliau tidak dibenarkan menerima rawatan dan akibat tumpahan darah yang banyak, akhirnya beliau syahid.
Polis telah membawa jenazah as-syahid ke rumah bapanya dan meminta bapanya membuat pilihan samada memandikan jenazah anaknya tanpa sebarang perhimpunan atau polis sendiri yang menghantar anaknya ke perkuburan tanpa beliau melihat jenazah anaknya. Ayah asy-syahid memilih untuk memandikan sendiri jenazah anaknya. Beliau memandikannya seorang diri. Bolehkah anda bayangkan perasaan seorang ayah pada waktu itu? tak dapat saya bayangkan. Polis mengawal sekeliling rumah dan tiada siapa melihat jenazah di bawa masuk dan tiada siapa mengetahui bila jenazah dikebumikan. Pada ketika itu, usia ayah asy-syahid ialah 90 lebih. Beliau meminta polis mencari beberapa orang untuk mengusung jenazah tetapi polis menyuruh beberapa orang wanita yang ada di dalam rumah tersebut untuk mengusung jenazah. Jadi, ayah asy-syahid telah mengusung jenazah bersama dengan beberapa wanita yang ada ke masjid. Di masjid, ayah asy-syahid menunaikan solat jenazah ke atas anaknya itu seorang diri. Selepas itu, barulah jenazah diusung ke perkuburan untuk disemadikan.
Semua orang mahukan anak sendiri menjadi anak yang soleh, tetapi tidak ramai yang sanggup tahan melihat anak menderita kerana memperjuangkan agama. Sanggupkah kita melihat anak yang kita sayang ditatang dimanja hidupnya tidak seperti orang lain. Hidupnya penuh ujian kerana ummat seperti asy-syahid Imam Hassan Al-Banna. Pendek kata, asy-syahid Imam Hassan al-Banna hebat kerana beliau terbit dari sebuah keluarga yang juga hebat.
No comments :
Post a Comment
Komentar anda amat dihargai, terima kasih.