۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞
Membesarkan dan mendidik anak-anak adalah merupakan satu cabaran bagi ibu bapa lebih-lebih lagi dalam zaman yang serba serbi canggih seperti sekarang. Anak-anak bukan robot yang boleh kita programkannya untuk melakukan apa yang diarahkan. Ketika anak-anak masih kecil, kita melakukan segala yang termampu untuk memastikan mereka dapat yang terbaik bagi membantu mereka membesar menjadi manusia yang bertanggung jawab. Kadang-kadang proses membesarkan dan mendidik itu tidak menjadi selancar yang kita harapkan. Ibu bapa akan berasa kecewa apabila memikirkan anak-anak seperti tidak mendengar arahan. Lain yang disuruh, lain pulak yang mereka lakukan sedangkan sudah berkali-kali kita mengingatkan mereka tentang perkara yang sama. Ibu bapa kadang-kala hilang kesabaran apabila anak-anak tetap mengamuk walaupun sudah dididik bahawa mereka tidak akan mendapat apa yang mereka inginkan dengan mengamuk begitu.
Ibu bapa menjadi gusar namun kita harus cuba sedaya upaya agar tidak berasa kecewa dan berputus asa. Adalah normal apabila anak-anak perlu diberi peringatan berulang kali (mungkin berjuta kali) sebelum didikan itu meresap masuk dan menjadi sebati di dalam jiwa mereka. Ada dua analogi yang boleh membantu kita dalam memahami bahawa pentingnya kesabaran dalam membesarkan dan mendidik anak-anak.
Analogi pertama ialah analogi bahasa. Di dalam proses kita belajar bahasa asing, kesabaran dan pengulangan adalah dua elemen yang penting. Kita tidak akan menjadi mahir berbahasa asing tersebut jika hanya menghadiri kelas dua atau tiga kali sahaja. Ia akan mengambil masa bertahun sebelum kita mahir bercakap menggunakan bahasa tersebut. Walaupun cuma sepatah perkataan, ia tidak akan meresap masuk ke dalam ingatan jika kita mendengar sebutan perkataan itu cuma sekali sahaja. Ia perlu diulang berkali-kali, perlu didengar penggunaannya dalam perbualan dan kita perlu menggunakan perkataan itu dalam kehidupan seharian kita. Itu barulah dianggap kita betul-betul belajar bahasa asing tersebut.
Analogi kedua ialah analogi pokok. Membesarkan dan mendidik anak adalah seperti menanam sebatang pokok bermula daripada biji benih. Apabila biji benih disemai, ia perlu dijaga dengan teliti. Air dan cahaya matahari yang cukup perlu diperhatikan untuk memastikan biji benih itu bercambah. Apabila anak benih telah tumbuh, penjagaan harus diteruskan. Ia perlu disiram setiap hari dan diberi baja yang cukup bagi memastikan kesuburannya. Jika tidak, anak pokok tidak boleh hidup atau kalau hidup pun, pembesarannya mungkin terbantut. Sama juga dengan anak-anak kita. Mereka perlu disiram dengan tunjuk ajar dan dibaja dengan kasih sayang berulang kali untuk memastikan mereka membesar menjadi individu yang positif.
Kedua-dua analogi ini diharapkan dapat membantu kita melihat dan memahami bahawa tidak ada sebab untuk kita merasa gusar, terganggu dan tidak bersemangat jika anak-anak kelihatan seperti lambat belajar. Proses pembelajaran dan perkembangan memerlukan masa dan praktis. Seorang anak mungkin berkemampuan untuk memahami kenapa tantrum itu tidak positif tetapi dia memerlukan peringatan dan penjelasan yang berulang-ulang sebelum ia meresap masuk dan sebati dalam jiwanya.
Mungkin payah untuk kita menerima, memahami dan memaafkan apabila anak-anak membuat tingkah laku negatif yang sama berulang kali. Pergelutan ini adalah normal dan dilalui oleh hampir semua ibu bapa. Sama seperti anak-anak kita yang perlu belajar berkelakuan positif dengan praktis yang berulang-ulang, ibu bapa juga perlu belajar sacara praktis agar tidak menjadi terganggu apabila anak-anak membuat tingkah laku yang negatif. Ibu bapa yang mempunyai kefahaman dan kesabaran sertai tidak jemu-jemu mengajar dan mendidik anak-anak, di akhirnya akan menikmati segala usaha, ketelitian, titik peluh mereka terbayar apabila anak-anak membesar menjadi seorang insan yang berkualiti. In shaa Allah.
source: http://ibubapacemerlang2012.blogspot.com/2012/12/analogi-mendidik-anakmotivasi-buat-ibu.html
No comments :
Post a Comment
Komentar anda amat dihargai, terima kasih.