Friday, July 15, 2011

Kena layan suami macam pel***r?


۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Walaupun sebelum bernikah, kita sudah mendalami ilmu rumahtangga sedikit sebanyak, mengulangkaji berkenaan kewajipan-kewajipan seorang isteri, namun setelah bernikah, ilmu-ilmu itu harus di 'update' setiap masa. Juga perlu diulang baca semula agar kita tidak lupa dan memberi kesedaran dan semangat untuk kita menjadi isteri yang baik. Kita bukannya malaikat. Kita manusia yang mudah terdedah kepada pengaruh luar, mudah lupa dan alpa, dan suka mengikut perasaan. Kedudukan isteri ialah di samping suaminya, biarpun tindakan suami kadang-kadang tidak kena dengan citarasa kita tapi dalam islam kita wajib taat kepada suami selagi perintah suami tidak bertentangan dengan syariat Allah. Tiada hal yang remeh temeh dalam rumahtangga. Ingatlah, perkara-perkara yang kita pandang kecil dalam rumahtangga boleh menjadi isu besar bagi pasangan masing-masing dan boleh jadi menjadi modal semasa bertengkar. Sentiasa berbincang, bertolak ansur dan "give n take" perlu diamalkan selalu dalam perhubungan suami isteri. Janganlah kita asyik fikirkan kepentingan diri kita saja. Macam pakar motivasi lah pulak huhuhu. Saya nak kongsikan satu artikel panjang eloklah kita sebagai isteri membacanya.


Sumber: Ummu Abdillah

Bagaimana Sepatutnya Seorang Isteri Melayan Suami?


Saya tidak tahu tajuk apa yang patut saya letakkan pada artikel ini. Apa yang saya cuba sampaikan dalam penulisan ini adalah hasil reaksi daripada artikel yang disiarkan dalam surat khabar mengenai saranan untuk melayan suami seperti pe***** kelas pertama.

Pelbagai reaksi yang timbul, ada yang tidak bersetuju dan ada juga yang bersetuju. Adapun saya, pada mulanya saya terkejut membaca tajuk artikel tetapi akhirnya saya merasa insaf membaca artikel ini tatkala melihat petikan hadis Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam yang berbunyi : ”Jika seorang wanita itu solat lima waktu, berpuasa Ramadhan, memelihara kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah dia (ke dalam syurga) melalui mana-mana pintu yang dia kehendaki.” (Diriwayatkan oleh Ibn Hibban dalam Sahihnya). Selepas itu, saya seakan terlupa tujuan sebenar saya untuk menilai tajuk artikel yang menyentuh sensitiviti masyarakat itu, sebaliknya saya mula menilai diri saya.

Selesai membaca artikel ini, saya terus terbayangkan keadaan di mana isteri menolak hajat suami. Seorang kawan kepada suami saya sendiri pernah mengadu kepadanya, isteri yang kepenatan pulang bekerja selalu memberi bermacam alasan kerana tidak dapat memenuhi permintaan suami. Saya pernah terbaca fenomena di mana isteri tidak membenarkan dirinya digauli suami selama 7 bulan dalam tempoh mengandung; ditambah pula beberapa bulan selepas melahirkan. Adakah kita para isteri faham apa yang dirasai dan dilalui suami ketika ini? Saya tidak tahu samada fenomena-fenomena ini boleh menyebabkan suami cari makan luar atau tidak. Tapi yang pasti, ia mempunyai ancaman yang besar di sisi syara’. Oleh itu, marilah kita semua para isteri muhasabah dan menilai kembali bagaimanakah khidmat kita kepada suami, baik khidmat batin mahupun zahir.

Seorang wanita datang kepada Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam, dan Baginda shallallahu ’alayhi wa sallam berkata kepadanya : ”Adakah engkau mempunyai suami?” Kata wanita itu : Ya, ada. Baginda shallallahu ’alayhi wa sallam berkata kepadanya : ”Bagaimanakah engkau terhadapnya (iaitu redhanya, murkanya terhadapmu dan bagaimana pula khidmatmu kepadanya?)”. Kata wanita itu : Sesungguhnya aku tidak mengurangi apa-apa pun dari haknya kecuali apa yang benar-benar aku tidak mampu. Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam berkata lagi : ”Lihatlah di mana engkau di sisinya, sesungguhnya dia adalah syurgamu dan nerakamu.” (Diriwayatkan oleh Malik dalam al-Muwaththa’). Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam menyuruh para isteri supaya sentiasa menimbang, memuhasabah dan menilai, apakah suami redha atau murka kepadanya. Apakah suami berpuas hati dengan khidmatnya? Kerana redha atau murkanya suami boleh menjadi faktor samada si isteri tadi ke syurga atau ke neraka.

Apakah tuntutan Islam dalam hal ini; iaitu melayan dan memenuhi hajat suami? Apakah anjurannya? Apakah garis panduannya? Apa pula ancaman meninggalkannya? Apakah ada pantang larangnya? Mari belajar bagaimana melayan suami menurut al-Quran dan Sunnah.

Tujuan perkahwinan

Sebelum kita menjawab soalan-soalan di atas, mari kita sama-sama imbas kembali apakah tujuan sebenar disyariatkan perkahwinan. Dalam sebuah hadis, Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam ada berkata : ”Wahai para pemuda, barangsiapa di antara kamu yang mampu untuk bernikah, maka bernikahlah; sesungguhnya itu lebih menundukkan pandangan dan lebih memelihara kehormatan. Barangsiapa yang tidak mampu untuk bernikah, maka hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya ia dapat memadamkan syahwat.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Daripada hadis ini, jelas menunjukkan bahawa anjuran Baginda shallallahu ’alayhi wa sallam supaya para pemuda itu bernikah adalah untuk menjaga penglihatan mereka daripada melihat perkara-perkara yang haram. Begitu juga untuk memelihara syahwat mereka daripada disalurkan kepada yang haram. Sebaliknya, dengan pernikahan mereka dapat meleraikan gelojak syahwat dengan menyalurkannya ke jalan yang halal. Dan mereka boleh melihat sesuatu yang asalnya adalah haram, tetapi dengan pernikahan ianya menjadi halal.

Berkata al-Syaikh al-Albani rahimahullah dalam kitabnya Aadab al-Zifaaf : ”Hendaklah kedua-dua suami dan isteri itu meniatkan dengan pernikahan mereka itu untuk menyalurkan nafsu mereka ke jalan yang halal dan memelihara diri mereka daripada terjebak ke dalam perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah. Sesungguhnya persetubuhan mereka itu ditulis sebagai sedekah seperti yang disebut dalam hadis Abu Dzar radhiyallahu ’anhu : ”Apakah jika salah seorang daripada kami mendatangi syahwatnya, adakah pahala baginya? Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam menjawab : Katakanlah padaku, jika dia meletakkannya pada sesuatu yang haram, adakah dia mendapat dosa? Begitu jugalah sekiranya dia meletakkannya pada yang halal, maka dia akan mendapat pahala.” (Diriwayatkan oleh Muslim) [Aadab al-Zifaaf, 64]

Al-Imam al-Nawawi berkata : ’Hadis ini menjadi dalil bahawa suatu perkara yang mubah (harus) itu boleh menjadi suatu amal ketaatan dengan niat yang benar. Contohnya, jima’ boleh menjadi ibadah sekiranya ia diniatkan untuk menunaikan hak isteri / suami serta meniatkan untuk bergaul dengannya secara baik seperti yang diperintahkan oleh Allah, atau untuk mendapat anak yang soleh, atau menundukkan syahwat suami / isteri daripada mendatangi yang haram lantas menghalangnya daripada melihat, memikirkan atau menginginkan yang haram dan lain-lain niat yang baik’. (Syarh Sahih Muslim, 4/100)

Dalam satu hadis yang lain pula, Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam berkata : ”Tiga golongan yang pasti mendapat pertolongan dari Allah : orang yang berperang di jalan Allah, hamba yang hendak membayar al-mukatabah dan orang yang hendak bernikah kerana hendak memelihara kehormatan dirinya.” (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi; beliau berkata : Hadis hasan sahih)

Benar, tujuan perkahwinan itu ada banyak, tetapi salah satu antara yang terutama yang mana jelas sekali daripada hadis-hadis ini bahawa menikah untuk tujuan menyalurkan nafsu syahwat ke jalan yang halal bukanlah satu tujuan yang ’jijik’ atau ’tidak patut’. Bahkan ia adalah satu tujuan yang mulia demi untuk melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangannya.

Jima’ : menurut al-Quran dan Sunnah

Adakah saya terlalu terbuka dalam masalah ini? Perkara ini telah direkodkan oleh para ulama’ beratus tahun dahulu. Mereka –rahimahumullah- telah mentafsirkan ayat dan mensyarahkan hadis-hadis Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam yang menyentuh cara berjima’ serta the do’s and dont’s. Mari kita olah semula isu ini dalam bahasa yang mudah untuk kita fahami.

Dalam ayat 223 surah al-Baqarah, Allah menyebut yang maksudnya : ”Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.”

Isteri itu diumpamakan dengan kebun kerana kebun / ladang / bumi jika ditanam benih padanya, maka akan tumbuhlah pokok / tumbuhan. Begitu jugalah dengan isteri, jika disetubuhi / diberi benih si suami, maka akan terhasillah anak dengan izin Allah [Lihat : Aysar at-Tafaasir, Abu Bakar al-Jazaa-iri, 35]

Dalam ayat ini juga Allah mengajar manusia bagaimana untuk mendatangi isteri. Suami boleh mendatangi isteri dengan apa jua cara yang dia mahu, samada dari hadapan atau belakang tetapi hanya melalui qubul dan bukan dubur. Dari Jabir radhiyallahu ’anhu berkata : Orang Yahudi berkata : Jika seorang suami itu menyetubuhi isterinya dari belakang (melalui qubul), maka anak yang terhasil akan menjadi juling. Maka turunlah ayat : ”Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai..” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud).

Abdullah bin Saabith datang menemui Hafsah bint AbdirRahman bin Abi Bakr, dia berkata : Aku hendak bertanya satu soalan kepadamu tetapi aku malu. Hafsah berkata : Janganlah engkau malu wahai anak saudaraku. Dia berkata : Bagaimana hukum mendatangi isteri melalui dubur? Hafsah berkata : Ummu Salamah memberitahuku bahawa orang Ansar tidak mendatangi isteri mereka dari belakang. Orang Yahudi mengatakan siapa yang mendatangi isteri mereka dari belakang, anak yang terhasil akan menjadi juling. Apabila kaum Muhajiruun datang ke Madinah dan menikahi wanita-wanita Ansar, mereka mendatangi para isteri dari belakang. Si isteri enggan mentaati suami mereka dan berkata : Janganlah kamu lakukan sebegitu sehingga aku berjumpa Rasulullah shallallahu ’alayhi wa sallam. Wanita tadi berjumpa dengan Ummu Salamah dan mengkhabarkannya mengenai perkara itu. Wanita itu malu untuk bertanya kepada Rasulullah shallallahu ’alayhi wa sallam. Baginda shallallahu ’alayhi wa sallam menyuruh Ummu Salamah memanggil wanita itu dan Baginda shallallahu ’alayhi wa sallam membacakan ayat : ” Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai..”, dan kata Baginda shallallahu ’alayhi wa sallam : ”Asalkan melalui qubul.” (Diriwayatkan oleh Ahmad; Syu’aib al-Arna-uth berkata : Isnadnya hasan)

Para wanita Ansar enggan didatangi dari belakang kerana telah terbiasa dengan cara Yahudi yang mana para wanita mereka didatangi dari tepi / sisi, kerana menurut mereka cara ini lebih tertutup bagi isteri. Ini disebut dalam sebuah athar oleh Ibn Umar radhiyallahu ’anhu [lihat : Tafsir Ibn Kathir, 1/273]. Tetapi Islam datang menyatakan bahawa suami boleh mendatangi isteri dengan cara mana pun asalkan melalui qubul (pantang larang lain akan disebut kemudian insha Allah).

Jima’ dibolehkan pada bila-bila masa, oleh itu isteri wajib mentaati suami dalam hal ini tidak kira siang atau malam. Tidak ada hari-hari tertentu yang dimakruhkan jima’ padanya.

Pantang larang dalam perhubungan intim antara suami dan isteri

Apakah keadaan yang diharamkan jima’?

1- puasa fardhu

2- i’tikaf

3- dalam keadaan ihram – haji atau umrah

4- haid dan nifas

dan beberapa keadaan lain yang melibatkan iila’, zihar dan talaq.

Diharamkan melakukan persetubuhan melalui jalan dubur. Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam berkata : ”Sesungguhnya Allah tidak malu dengan kebenaran, janganlah datangi isteri kamu melalui dubur.” (Diriwayatkan oleh al-Nasa’ie, Ibn Majah dan al-Baihaqi)

Kewajipan isteri memenuhi hajat suami

Isteri wajib mentaati suami kerana hak qawwamah (kepimpinan) yang telah diberi oleh Allah kepada suami seperti yang disebut dalam surah al-Nisa’ ayat 34. Tidak ada maknanya hak qawwamah ini jika tidak disertai dengan hak ketaatan. Terdapat beberapa cabang perkara yang perlu diberi ketaatan oleh isteri; antaranya ketaatan dalam memenuhi hajat suami, ketaatan dalam urusan taharah, ketaatan dalam urusan kebersihan tubuh badan dan perhiasan, ketaatan untuk tetap di rumah, ketaatan untuk memelihara harta suami dan lain-lain lagi dalam semua hal. Walaubagaimana pun, perlu diingatkan di sini, walaupun hak ketaatan itu sangat besar bagi suami namun isteri tidak boleh taat jika suami menyuruh sesuatu yang bertentangan dengan perintah Allah. Dalam sebuah hadis Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam menyebut : ”Mendengar dan patuh pada seseorang Muslim itu dalam hal yang dia sukai atau pun yang dibenci adalah selagi mana dia tidak disuruh melakukan maksiat. Jika dia menyuruh sesuatu yang maksiat, maka janganlah dengar dan patuh padanya.” (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi; beliau berkata : Hadis hasan sahih)

Tulisan akan membincangkan secara khususnya mengenai ketaatan dalam memenuhi hajat suami.

Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam berkata : ”Seorang isteri itu belum menunaikan hak Allah selagi dia tidak menunaikan hak suaminya, jika suami berhajat kepadanya sedangkan dia berada di belakang tunggangan, maka janganlah dia menolak.” (Diriwayatkan oleh al-Thabarani dengan isnad yang baik. Berkata al-Haithami : Perawi hadis ini adalah perawi al-Sahih kecuali al-Mughirah bin Muslim, beliau adalah thiqah)

Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam berkata lagi : ”Jika seorang suami itu memanggil isterinya kerana berhajat kepadanya, maka pergilah kepadanya walaupun ketika itu dia sedang membakar roti.” (Diriwayatkan oleh Ahmad, al-Nasa-ie dan al-Tirmizi ; beliau berkata : hadis hasan sahih)

Dalam hadis yang lain pula, Nabi shallallahu ’alayhi wa sallam berkata : ”Demi jiwaku yang ditanganNya, tiada seorang lelaki yang memanggil isterinya untuk bersama, lalu dia menolak, dan suami tidur dalam keadaan marah (tidak redha) maka malaikat akan melaknatnya hingga ke subuh.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Dalam sirah Ummahatul Mukminin radhiyallahu ’anhunna pula, kita dapat lihat dalam sebuah hadis, ’Aisyah radhiyallahu ’anha berkata : ”Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha : ‘Aku perlu melangsaikan beberapa hari puasa Ramadhan (yang ditinggalkan), dan tidaklah aku mengqadha’nya melainkan dalam bulan Sya’aban (kerana menyediakan diri untuk Rasulullah shallallahu ’alayhi wa sallam).” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim]

Lihatlah bagaimana bersungguhnya para isteri Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam dalam menyediakan diri mereka untuk Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam sehingga mereka ini menangguhkan puasa qadha’ mereka ke bulan Sya’aban kerana bimbang Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam mungkin menghajati diri mereka pada bila-bila waktu. Ini juga menunjukkan ketinggian adab mereka terhadap Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam. Beginilah sepatutnya kita para isteri berusaha untuk menyediakan diri untuk para suami dan memasukkan kegembiraan dan keredhaan ke dalam hati mereka pada setiap masa. (Lihat : Sahih al-Bukhari, tahqiq Mustafa al-Bugha, 2/689)

Nusyuz

Mengapa isteri berhak mendapat nafkah? Atau dalam erti kata lain mengapa suami wajib memberi nafkah kepada isteri?

Para fuqaha’ menyebut beberapa sebab antaranya :

- Kerana hak yang dimiliki suami untuk ’menahan’ isteri di rumah. Oleh itu, dia tidak dapat keluar mencari rezeki, maka rezekinya mestilah ditanggung oleh suami. Manfaat tetapnya isteri di rumah pula berbalik kepada suami iaitu isteri sentiasa dalam keadaan sedia apabila suami memerlukannya dan ini memelihara suami daripada terjerumus ke dalam perkara haram.

- Kerana penyerahan diri isteri kepada suami, dan membolehkan suami untuk bersama dan berseronok dengan isteri tanpa sebarang halangan. Saya berpendapat Bahasa Arab lebih jelas dan mendalam maknanya dalam menyampaikan maksud ini : وتمكينه تمكينا تاما من الاستمتاع بها

- Ada juga ulama’ yang mengatakan bahawa sebab wajibnya nafkah adalah akad nikah samada isteri memberi khidmat atau tidak. [Lihat : al-Mufassal, Abdul Karim Zaidan, 7/156]

Makna nusyuz : Ingkarnya seorang isteri terhadap suaminya dalam menjalankan tanggungjawab seperti : menolak untuk bersama, keluar dari rumah tanpa izin, enggan duduk serumah dengan suami, enggan musafir bersama suami dan lain-lain [lihat : al-Mughni, Ibn Qudamah, 8/163].

Apakah seorang isteri dikira nusyuz jika menolak permintaan suami tanpa alasan yang diterima syarak?

Di sisi al-Syafi’iyah : seorang isteri itu dikira nusyuz sekiranya menolak permintaan suami untuk bersama atau menolak muqaddimah jimak seperti meraba, memegang dan mencium. Dengan ini gugur kewajipan suami untuk memberinya nafkah kerana nusyuznya isteri dalam hal ini. Jika isteri mempunyai alasan yang diterima syarak seperti sakit, haid, puasa Ramadhan dan lain-lain, maka dia tidak dikira nusyuz dan tidak gugur hak nafkahnya. [Lihat : al-Mufassal, Abdul Karim Zaidan, 7/163].

Begitu juga jawapan Ibn Taimiyah apabila ditanya mengenai isteri yang menolak permintaan suaminya untuk bersama, kata beliau rahimahullah, isteri ini nusyuz dan gugur hak nafkah daripadanya [Lihat : Majmu’ al-Fatawa, 32/175]

Dan akhirnya, beginilah sepatutnya penyerahan diri seorang isteri kepada suami menurut al-Quran dan Sunnah. Solehahnya seorang isteri bukan semata-mata dinilai dari luaran, sopan santun, lemah gemalainya dia, pakaiannya, ibadahnya, tapi antara karakter terbesar yang menjadi ukuran adalah taatnya dia kepada suami. Walau sekuat mana ibadah, walau selabuh mana hijabnya, jika dia tidak mentaati suaminya dalam urusan yang bukan maksiat, bermakna dia telah mengingkari perintah Allah dan RasulNya. Allahu’alam.

7 comments :

  1. assalamualaikum,

    saya bersyukur kerana diberi keizinan (oleh suami) utk bekerja dari rumah. membuat perkara yg saya minati sbg punca rezeki, sambil menguruskan rumahtangga & anak2. sesetengah wanita tidak mampu membuat keputusan begitu. syg dgn pekerjaan bergaji tetap. sy dulunya sebelum berkahwin adalah seorg pekerja mkn gaji yg workaholic. tak tahu la apa akan jadi dgn anak2 sy jika ummi masih bekerja selepas mempunyai anak2..

    sy seronok menjadi "pelacur kelas pertama" utk suami saya. boleh ke slogan mcm tu? hehe..

    p/s: apa khabar awak? :)

    ReplyDelete
  2. Saya dan kawan 2 berulang ke tempat kerja yang perjalanannya 280km setiap hari. saya tidak pernah terlintas untuk menolak permintaan suami, tetapi dek kerana keletihan, saya sering tidak tersedar langsung apabila di kejut oleh suami. apakah saya dikira nusyuz. saya pernah mengusulkan utk berhenti kerja, tapi suami tidak mengizinka.

    bagaimana pula hukum bagi isteri yang menolak kerana sakit apabila bersama kerana sihir?adakah mereka juga berdosa?

    ReplyDelete
  3. Wa'alaikumussalam,

    Lama xdengar cerite Lynn :). BAgi wanita yg sudah merasa gaji tetap masuk setiap bulan, mmg susah untuk membuat keputusan utk brhenti bekerja, perlu kekuatan hati untuk melakukannya. Namun ada yang sanggup berkorban demi anak macam Lynn. Baguslah Lynn ada kemahiran untuk buat bisnes dari rumah. Suami saya pun izinkan tapi saya takde kemahiran :). Nak keluar berkursus kemahiran yg saya minat pun susah dgn anak2. Jadi, redha aje lah dengan kehidupan sekarang.

    Heheh, bagi saya slogan tu tak sesuai, sebab seorang isteri tak sesuai di samakan dengan pelacur. Pelacur tu penzina. Isteri tu sangat mulia statusnya :). Pendapat saya 20 sen hehe.

    ReplyDelete
  4. Anonymous, jauhnya awak bekerja. Letih tu drive jauh2x. Pd pendapat saya, tak dikira nusyuz sebab awak takde niat kan, tertido keletihan. Suami kenalah consider dengan keadaan awak yg keletihan sebab dia tak izinkan awak berhenti tapi kan saya sendiri musykil, maaf yer sebab saya bukan ambil bidang agama tp saya akan cuba cari, berkenaan boleh ke suami tak benarkan untuk isteri untuk tidak bekerja. Setahu saya lah kan, keluar mencari nafkah ni t/jawab suami bukan t/jawab isteri. Suami tak boleh paksa isteri keluar bekerja. Awak boleh baca dekat sini http://zaharuddin.net/lelaki-&-wanita/582-hukum-wanita-bekerja-dengan-keputusan-fiqh-dunia.html. Apa2 pun perlu berbincang dgn suami dengan baik. Saya cuma nak kita sama2 sedar tentang hak kita sebagai isteri, adapun akan kerelaan awak sendiri untuk keluar bekerja tu hal yg kedua.

    Tentang isteri yang kena sihir tu, pada endapat saya tak dikira nusyuz sebab dia tidak menyedari akan pebuatannya. Suami perlulah membawa isterinya untuk menerima rawatan agar isterinya pulih seperti sedia kala. Wallahu'alam.

    ReplyDelete
  5. Lynn, saya sihat walafiat :). Terima kasih ya datang jenguk saya di sini :) .

    ReplyDelete
  6. UmmuFarhan,

    haha..betul la, tak sesuai la kan isteri digelar mcm tu walau utk suami sendiri..walau atas dasar 'layanan'.

    bg sy, bila dah nikah ni, kena la ada tolak ansur. kalau dah isteri tak larat..uzur..apa la yg nk suami besar2kan. redha aje la ngan isteri tu :D ~itu dua posen saya pula

    p/s: nnti sy jenguk betul2 di rumah, boleh? hihi ^^

    ReplyDelete
  7. Lynn, you are almost welcome! Datang lah ke sini, nanti boleh shopping di Nilai 3 (hehe itu je yang ada).

    ReplyDelete

Komentar anda amat dihargai, terima kasih.