Saturday, July 16, 2011
Tersepit antara dua
۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞
Terasa lega sedikit perasaan saya setelah membaca artikel oleh Puan Suzana Ghazali di bawah ini. Beliau memang selalu keluar dalam tv merupakan seorang Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie. Alhamdulillah jumpa artikel yang dicari-cari. Dunia ini tidak ideal. Kita tak mampu nak puaskan hati semua orang. Back to al-quran dan sunnah. Di situ kita akan jumpa solusinya. Kita perlu celik 'hak dan kewajipan' kita masing-masing di sisi agama. Keutuhan prinsip kita untuk taat pada perintah suami lalu membelakangkan kemahuan ibu kita tidak menjadikan kita seorang anak derhaka. Suburkan sikap saling memahami dan saling menghormati antara suami, isteri dan ibubapa. Wallahu'alam.
source: Bersama Suzana Ghazali
Dilema wanita: ibu atau suami?
Seorang isteri tersepit di persimpangan dilema, mengikut kemahuan ibu supaya meneruskan kerjaya atau mengikut kehendak suami supaya berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Menurut pengadu, sebagai anak sulung, dia berasa bertanggungjawab untuk terus bekerja agar mempunyai pendapatan untuk diagihkan kepada ibu dan adik-adik. Sedangkan si suami berkeras agar dia berhenti kerja dan menumpukan sepenuh masa kepada pengurusan rumah tangga. Soalan pengadu: kehendak atau kemahuan siapa yang perlu diutamakan? Dalam satu kes yang lain, seorang isteri turut berada di dalam dilema apabila ibunya mengarahkan agar anaknya (cucu si ibu) dihantar pulang ke kampung pada waktu cuti sekolah dan kehendak si ibu itu tidak disukai oleh si suami. Si suami melarang si isteri menurut kehendak ibunya walau apa pun alasan yang diberi. Si isteri betul-betul tertekan kerana tidak pasti kehendak siapakah yang perlu diutamakan? Membantah kehendak ibu bererti menjadi anak yang derhaka. Melawan kehendak suami bererti menjadi isteri yang tidak taat.
Inilah antara beberapa kes yang boleh dikategorikan sebagai ‘diluah mati emak, ditelan mati bapa’. Memang sukar untuk membuat pilihan kan? Sebenarnya, situasi sebegini tidak wajar dihadapi oleh para isteri. Kenapa? Kerana setiap isteri adalah WAJIB MENGUTAMAKAN SUAMI WALAU DALAM APA JUGA KEADAAN DAN SITUASI SELAGI IANYA TIDAK BERCANGGAH DENGAN KEHENDAK SYARAK. Ini bukan kata saya, bukan juga kata mana-mana ahli psikologi atau pengamal undang-undang keluarga sebaliknya ini adalah HUKUM DAN KETENTUAN YANG DITETAPKAN OLEH SYARAK DAN AGAMA. Saya faham dan akui, setiap anak sama ada lelaki atau perempuan telah dididik dan ditanam dengan prinsip ‘syurga di bawah tapak kaki ibu’. Kata-kata ini menjadi pegangan setiap individu hatta ada para ibu yang menjadikan kata-kata ini sebagai senjata untuk mengikat anak-anak.
Sebenarnya, terdapat perbezaan yang jelas dan nyata antara anak lelaki dan anak perempuan. Setiap anak lelaki adalah wajib berpegang dengan kata dan hukum bahawa syurga mereka terletak di bawah tapak kaki ibu. Tak kiralah ketika masih memegang status bujang atau sudah berkahwin dan mempunyai anak cucu. Dalam kata mudah, REDHA ALLAH PADA SI ANAK LELAKI BERGANTUNG KEPADA REDHA SI IBU KEPADANYA. Namun masih terdapat pengecualian tertentu bergantung kepada beberapa terma dan syarat. Saya akan bincangkan mengenai terma dan syarat ini pada perbincangan yang akan datang. Bagi anak perempuan, syurganya hanya terletak di bawah tapak kaki ibu jika si anak masih belum berkahwin. Sebaliknya, jika si anak perempuan telah pun berkahwin makan syurga si anak akan berpindah ke bawah tapak kaki suami dengan erti kata lain REDHA SI ANAK PEREMPUAN YANG TELAH BERKAHWIN INI BERGANTUNG KEPADA REDHA SUAMINYA KEPADANYA.
Jelas sekali, dalam kedua-dua kes yang saya bentangkan di awal perbincangan tadi, kedua-dua isteri ini perlu mengutamakan kehendak suami masing-masing terlebih dahulu. Tak perlu rasa gusar, gundah atau gulana kerana si isteri tidak akan dinobatkan sebagai anak derhaka hanya kerana mengikut kehendak suami dan membelakangkan kemahuan si ibu. Namun, sama seperti ketaatan tanpa berbelah bahagi seorang anak lelaki kepada ibunya, seorang isteri juga mempunyai syarat-syarat tertentu di dalam mentaati si suami. Syarat yang mudah yang telah saya jelaskan di awal tadi iaitu kehendak suami tidak bercanggah dengan kehendak syariat. Sama juga dengan si ibu, tidak perlu malah tidak wajar mempunyai rasa sedih atau kecil hati dengan sikap anak perempuannya yang tidak mengikuti kemahuannya kerana sebagai seorang ibu yang juga seorang anak dan seorang isteri, setiap ibu wajib mengetahui bahawa ketaatan seorang isteri kepada suami adalah lebih utama daripada ketaatan kepada ibu dan bapanya. Sewajarnya seorang ibu berbangga jika anak perempuan yang dikandungkan, dilahirkan dan dididiknya mampu menjadi seorang isteri yang solehah dan disenangi oleh menantunya dan paling penting, diredhai Ilahi.
Namun, sama seperti ketaatan bersyarat seorang anak lelaki kepada kehendak dan kemahuan si ibu, ketaatan seorang isteri kepada suami juga bersyarat. Ketaatan bukanlah mutlak dan melampau. Selagi mana kehendak dan kemahuan suami tidak bertentangan dengan syarak, maka si isteri wajib menurut dan mengikutnya. Tidak bertentangan dengan kehendak syarak termasuklah apa juga perkara yang bertentangan dengan kehendak moral dan tatasusila masyarakat. Sebagai contoh, seorang suami melarang isteri daripada balik ke kampung menziarahi ibu atau ayahnya yang sakit maka si isteri wajib mentaati kehendak suami. Kenapa? Kerana larangan suami hanyalah bertentangan dengan kehendak moral dan tatasusila masyarakat, bukannya bertentangan dengan kehendak syariat dan syarak.
Lantaran itulah, setiap ibu bapa wajib memilih calon menantu yang bukan sahaja boleh diharapkan untuk menyayangi dan menjaga si anak tetapi boleh juga diharapkan untuk menyayangi mereka. Paling penting, setiap anak gadis dan wanita: jangan buta kerana cinta. Jangan tersilap pilih lelaki yang tidak dapat menerima ibu dan ayah anda. Nasihat saya kepada setiap suami dan juga isteri, jangan terlalu taasub dengan hukum hingga sanggup menyalahgunakan hukum untuk kepentingan diri sendiri. Fahamilah pasangan anda seperti mana anda ingin diri anda difahami. Ingat!! Bukan hanya anda mempunyai ibu dan bapa lantas, bertoleransi lah…. demi sebuah kebahagiaan di dalam rumahtangga.
****Siaran Jun 2007
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment
Komentar anda amat dihargai, terima kasih.