Tuesday, July 26, 2011

Wanita tertekan


۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Dua tiga hari yang lepas, saya ada membaca tentang kedudukan Malaysia di tangga ke 16 "Wanita paling tertekan" di beberapa sumber seperti surat khabar, radio, blog dan FB. Ranking pertama ialah wanita di negara India. Ada pelbagai sebab yang disenaraikan kenapa wanita tertekan. Kita sebagai seorang wanita, isteri dan ibu tentu masing-masing tahu apa yang menyebabkan kita tertekan :). Kadang-kadang, soal anak pun kita boleh tertekan kerana semua ibu mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya. Jangan lupa pergantungan kita kepada Allah kerana sesuatu hal yang berlaku (kita suka atau tidak) adalah dengan izin dari Nya.

Masa yang Allah bagi kita hidup di dunia ini hanyalah singkat. Ada lah suatu pembaziran masa jika kita banyak hidup dalam tekanan hingga tidak berdaya melakukan amal kebaikan untuk bekalan di akhirat kelak.

"Jika kita fokus kepada masalah, kita akan sentiasa gelisah, sedih dan tertekan. Hidup kita menjadi negatif. Sebaliknya jika kita fokus kepada nikmat-nikmat yang telah begitu banyak Allah kurniakan kepada kita, kita akan merasa tenang, bahagia dan gembira. Hidup kita akan menjadi positif."


Fokus kepada nikmat menjadikan kita hamba Allah yang bersyukur. Bayangkan kita sekarang kadang-kadang terlebih makan dalam sehari. Di Afrika timur, rakyatnya sedang menderita dalam krisis kemarau yang panjang. Kanak-kanak di sana kekurangan makanan dan nutrisi dan esok belum tentu mereka dapat makan atau minum. Tidak seperti anak-anak kita. Makan, pakai serba cukup. Bersyukurlah selalu kerana sebenarnya nikmat yang Allah kurniakan kepada kita jauh lebih banyak berbanding dengan ujian yang Allah berikan.



Kadang-kadang, wanita suka berfikiran negatif kepada sesuatu hal yang belum tentu berlaku terutama dalam hal rumahtangga. Mudah curiga dengan suami dan cemburu yang berlebihan. Positif dalam hubungan yang kita dengan suami akan bahagia hingga ke akhir hayat insyaAllah. Marilah kita menjadi wanita yang suka berfikiran positif kerana Allah suka hambaNya yang berfikiran positif. Apa yang kita fikirkan, kaitkan dengan sangkaan yang baik pada Allah.

Dari Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda:

"Allah berfirman: Aku menurut dugaan (persangkaan) hambaKu terhadap Aku dan Aku bersama dengan dia, apabila dia mengingati (menyebut) Aku. Apabila dia menyebut Aku dalam hatinya, nescaya Aku menyebutnya pula sendiriKu. Dan kalau dia menyebutKu di hadapan orang banyak, nescaya Aku menyebutnya pula di hadapan orang banyak yang lebih baik. Kalau dia mendekatkan diri kepadaKu sejengkal, nescaya Aku mendekat kepadanya sehasta. Dan kalau dia mendekatkan diri kepadaKu sehasta, nescaya Aku mendekat kepadanya sedepa.Dan kalau dia datang kepadaKu berjalan biasa, nescaya Aku datang kepadanya berlari."(Terjemahan Hadis: Sahih Bukhari-1997, jilid 4)


Bersabarlah dengan ujian yang Allah timpakan. Sesungguhnya sabar itu adalah dhiya' iaitu sinar yang amat terang (HR Muslim 223 & Tirmidzi 3512). Dengan sabar, akan hilanglah seluruh kegelapan, kesulitan dan penderitaan. Semoga bermanfaat, jumpa lagi.

2 comments :

  1. assalamualaikum
    hanya Allah Sebagai teman sejati
    mendengar segala kesulitan hambaNYA

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumussalam wbt,

    Ummu, kita mengadu semua permasalahan kita kepada DIA. Benar Ummu, ALLAH lah teman sejati kita, jika kita sudi, ALLAH lebih2 lagi sudi :), Subhanallah!

    ReplyDelete

Komentar anda amat dihargai, terima kasih.