Showing posts with label Tarbiyah. Show all posts
Showing posts with label Tarbiyah. Show all posts

Monday, October 24, 2011

Dakwah kampus


۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

“Kita adalah da’i sebelum segala sesuatu”.

Ketika sesi berforum dalam program Simposium Kecemerlangan Cinta Dan Akademik (STAND) di USM P.Pinang, seorang peserta bertanyakan bagaimanakah cara terbaik mengimbangkan masa di antara keaktifan berdakwah di kampus dan dalam masa yang sama memperoleh keputusan yang cemerlang dalam akademik. Mengapa terdapat pelajar yang aktif dengan dakwah kampus namun beroleh keputusan peperiksaan yang rendah dan tidak cemerlang?

Pertamanya, kita perlu bertanya, benarkah terjadi sedemikian? Jika benar berapa peratuskah atau berapa ramai mahasiswa yang aktif dengan dakwah ini tidak cemerlang dalam belajar? Sebenarnya tidak ramai yang sedia mengorbankan masanya dengan dakwah kampus. Yang ramai adalah mahasiswa biasa yang menghabiskan masa dengan perkara-perkara kecil dan kerdil seperti melepak, bercanda, bercinta dan sebagainya. Yang ramai di kampus juga adalah mahasiswa yang hanya tertumpu di ruang legar akademik sehingga mengabaikan hak umat ke atas dirinya. Bagi mereka, dakwah tiada kaitan dengan kehidupan mereka sebagai mahasiswa. Setahu penulis, rakan-rakan penulis yang aktif dengan dakwah kampus, mereka ini terdiri dari kalangan pelajar yang cemerlang. Hari ini ramai kalangan mereka berjaya menjadi profesional da’i dan para ustaz ustazah da’i.

Berbalik kepada persoalan di atas, hanya segelintir sahaja aktivis dakwah yang terkadang Allah uji dirinya dengan kehilangan fokus dalam pelajaran. Mungkin kerana ada beberapa sebab terjadi sedemikian, antaranya ketidakjelasan matlamat mengapa kita terlibat dengan organisasi dakwah kampus, pengabaian disiplin masa dan belajar, gagal memahami konsep ”Alim Mujahid” dan Tarbiyah Dzatiyah yang longgar.

Ketidakjelasan Matlamat
Sebagai mahasiswa tugas dan peranan utama kita adalah belajar dan meletakkan diri kita di kalangan yang terbaik. Manakala tugas dakwah adalah tugas hakiki kita sebagai hamba kepada Allah SWT. Tiada pemisahan di antara belajar dan dakwah. Untuk menjadi hamba Allah SWT., seseorang perlu cemerlang dalam menuntut ilmu, cemerlang dalam ibadah, cemerlang dalam dakwah, cemerlang dalam akhlak dan cemerlang dalam tarbiyah imaniyah. Tiada pemisahan di antara kesemuanya.

Adakah anda kenal dengan Imam Hasan Al Banna, beliau seorang tokoh gerakan Islam yang hebat kurun ke 21. Pada saat beliau masih mahasiwa, beliau amat aktif dengan kegiatan dakwah kampus dan masyarakat, dan dalam masa yang sama cemerlang akademiknya, terkenal dengan keperibadian yang mulia. Dalam kitab Ahdats Shana’at-Tarikh Imam Al Banna bercerita: Di malam saat ada ujian peperiksaan, beliau melakukan solat tahajjud seperti biasanya, dan memohon serta mengadu kepada Allah SWT. Dalam doanya beliau berkata:

“Ya Allah! Sesungguhnya Engkau tahu betapa rindunya diriku kepada ilmu dan betapa cintaku kepada-Mu, tapi Engkau juga tahu betapa sibuknya diriku dalam mencari ma’isyah untuk mempertahankan hidup di kota ini, berilah jalan keluar bagiku”.

Ternyata Hasan Al Banna memiliki hubungan yang cukup intim dengan Allah SWT dalam memohon kekuatan. Tahajjud dan doa adalah amal rutin beliau. Kecintaan beliau terhadap ilmu amat tinggi. Jiwa beliau sentiasa bergelora dengan perjuangan dakwah Islamiyyah. Bagaimana dengan kita? Kecintaan beliau dengan dunia keilmuan dan keghairahan beliau membawa obor dakwah tidak ada pemisahan malahan keduanya adalah sedaging. Ramai ulama thiqah kepada beliau dan menghormati beliau, baik muda mahupun lebih tua dari beliau. Ketika ujian kelulusan dari Darul ‘Ulum, semasa ujian lisan, beliau membawa buku-buku syair kegemarannya. Salah satu dari dua orang penemuduga bertanya tentang apa yang dihafalnya dari syair-syair itu. Al Banna menjawab: “Semuanya aku hafal”. Yang satunya lagi bertanya: “Bait mana yang paling engkau senangi dari syair-syair itu? Al Banna mengatakan: “Bait Syair yang diucapkan oleh Thorfah bin Al ‘Abd, salah seorang penyair di zaman jahiliyyah.

????? ????????? ???????? ???? ?????? ?????? ????????? ???????? ?????? ???????? ?????? ???????????

Bila orang bertanya : “Siapa pemuda? Saya membayangkan akulah yang dimaksud, kerananya saya tidak bermalas-malas dan tidak membodohi diri. Mendengar jawaban itu, penemuduga itu mengatakan: “Wahai anakku, dengan demikian aku nyatakan engkau lulus dari Darul ‘Ulum, dan yang memiliki jawaban seperti ini hanya engkau dan Ustaz Muhammad Abduh. Aku melihat bahawa engkau akan memiliki masa depan yang gemilang”.

Begitulah tingginya kejelasan matlamat Al Banna, mencontohkan kepada kita di antara kesungguhan menguasai ilmu dan keghairahan beliau dengan kerja besar, ”dakwah dan tarbiyah”. Bukankah beliau yang mengasaskan gerakan tarbiyah dan dakwah terbesar pada abad ini? Dakwah beliau di sambut oleh segenap manusia yang bertemu dengannya, baik yang berpelajaran tinggi, bergelar ulama atau profesional dalam pelbagai bidang, mahupun kelompok marhaen biasa. Justeru luruskan kembali kefahaman kita tentang tanggungjawab sebagai pendakwah muda dan tanggungjawab sebagai mahasiswa rabbani. Firman Allah SWT:

“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu. Dan Allah itu Maha Berilmu terhadap segala sesuatu” [Al-Baqarah 2: 282]

Bangkit Dari Kesilapan
Kepada sababat dan akhwat yang diuji oleh Allah SWT dengan kelesuan akademik kerana kesibukan dengan dakwah kampus, anda harus segera memperbetulkan keseimbangan kehidupan anda. Masih belum terlambat untuk membangunkan kembali motivasi belajar anda. Ayuh, mari mulakan dengan langkah positif, langkah orang-orang yang hebat dan luarbiasa. Sejarah orang yang hebat dan luar biasa bermula dengan bangkit dari kelemahan dan kesilapan. Jangan persoal dan bimbang sebesar mana masalah dan kegagalan yang sedang anda hadapi, sebaliknya yang perlu kita bimbangkan, sudahkah kita bangkit dari ujian tersebut. Kata-kata hikmah ada berbunyi:

” Kita tidak upaya mengubah keadaan, tetapi kita mampu mengubah sikap kita menghadapinya. Kita tidak upaya mengubah arah angin, tetapi kita mampu mengubah arah sayap kita”

Aktif dalam berpersatuan tidak salah. Yang silapnya adalah bagaimana kita mengurus diri kita. Kepada yang aktif dengan dakwah kampus, anda telah berjaya membangunkan potensi diri anda dari seorang mahasiswa biasa kepada mahasiswa berjiwa pemimpin. Di atas pundak bahu anda sudah terpikul ”kerja tambah”, memastikan anda cemerlang akademik dan dalam masa yang sama memikul mas’uliyyah (tanggungjawab) kepimpinan mahasiswa. Bertambah besar lagi tugas anda, sekiranya keaktifan anda dengan organisasi kampus adalah dalam rangka melaksanakan tanggungjawab dakwah ilallah. Namun awas, jangan jadikan alasan demi dakwah Islam, maka akademik kita korbankan. Itu adalah pandangan songsang dan terkebelakang.

Momentum Keimanan
Kita perlu bijak mengurus diri dan masa kita. Persoalannya, bagaimana kita perlu mengurusi diri kita agar study terbela, dakwah kampus terlaksana, tarbiyah merentasi masa. Langkah pertama, memperbaharui kembali tekad dan momentum keimanan. Kekuatan keimanan membuatkan kita memiliki harga diri, perasaan bermaruah sehingga kita tidak rela mengaku kalah di hadapan nafsu yang suka melihat kita berputus asa, berselingkuh dengan jalan-jalan kegagalan dan kefuturan. Keimanan yang terbina pasti tidak mahu tunduk kepada bisikan syaitan yang terkadang muncul sebagai juru nasihat.

Penulis masih ingat, walaupun kami aktif dengan dakwah kampus, namun dalam halaqah atau pertemuan bersama murabbi, kami diperingatkan agar sentiasa fokus dengan disiplin ilmu. Disiplin ilmu ialah menguasai ilmu dan cemerlang dalam peperiksaan. Dalam dakwah, kita bukan sekadar mencontohkan peribadi dan akhlak sebagai mahasiswa rabbani, bahkan kecemerlangan akademik adalah juga merupakan unsur penting dalam qudwah berdakwah. Akademik kita adalah termasuk dalam qudwah peribadi mahasiswa rabbani, tiada pemisahan. Iman kita perlu berfungsi sebagai pencetus kecemerlangan kita dalam setiap bidang yang kita ceburi.

Sesungguhnya kekuatan keimanan akan mampu memberikan kita kesabaran lebih panjang, memberikan stamina perjuangan lebih lama, menggugah semangat jihad menjadi lebih membara, melahirkan thabat dan keteguhan hati menjadi lebih sempurna sehingga akhirnya membangkitkan rasa percaya diri yang tinggi. Mendorong kita untuk bangkit kembali kerana Islam memerlukan cerdik pandai dan kebijakan kepimpinan, justeru wahai mahasiswa, kuncinya adalah kepada kebangkitan kekuatan dalaman, kekuatan spiritual, kekuatan keimanan kita dan keyakinan kita kepada janji Allah swt. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Jika kalian menolong (agama) Allah, maka Allah pasti akan menolong kalian dan mengukuhkan pijakan kalian”. (Muhammad : 7)

Semoga kita semakin jelas dalam tindakan dan penglibatan kita sebagai anggota duah dalam organisasi dakwah. Sekiranya kita meneliti 10 Ciri Peribadi Mukmin yang kita jadikan sebagai panduan membangun 10 muwasafat tarbiyah pemuda pemudi Islam, kita akan mendapati Al Banna telah meletakkan beberapa kriteria utama untuk kita jadikan panduan sebagai mahasiswa yang bijak dan pandai mengurus kehidupan kampusnya, diantaranya adalah keupayaan mengurus waktu (Haarithun ala Waqtihi), tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi), fikiran yang berpengetahuan (Mutsaqqafal Fikri), mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi), mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi) dan bermanfaat untuk orang lain (Nafi’un li ghairihi).

Mulakan perubahan atas desakan Iman, dan jangan malu untuk memperbetulkan langkah semangat kita pada paksinya yang sebenar. Iman adalah kekuatan yang menggerakkan setiap mukmin. Iman yang menghadirkan kemenangan pasti akan melonjakan kita untuk sentiasa berfikir dan berfikir untuk bekerja dan bekerja, merangka strategi untuk cemerlang akademik, kebijakan dalam berdakwah dan sentiasa istiqamah dengan program tarbiyah.

“Sesungguhnya kami Telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka), Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh; Maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.” (At-Tiin: 4-6)

Bersambung…InsyaAllah

By Abu Ridhwan
Yaab

(copy paste from here :http://blog.mystar-ab.com/2011/07/study-terbela-dakwah-kampus-terlaksana-tarbiyah-merentasi-masa-248th-edition/)

Friday, September 03, 2010

Cinta rumahtangga


۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Hadis dari Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda :

“Sesiapa pun tidak akan merasakan manisnya iman, sehingga ia mencintai seseorang hanya kerana Allah semata.” (HR. Bukhari).

Satu sms masuk ke inbox hp saya. Dari seorang teman yang berada di sebuah perkampungan yang jauh. Suatu ketika dulu, di masa remaja kami akrab. Sampai satu ketika, apabila saya menjejakkan kaki ke menara gading, dia memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran. Dia tidak mengenal dunia tarbiyah seperti saya. Tidak tahu apa itu usrah. Dia sering menghantar pesanan ringkas kepada saya dan kebanyakkannya berbaur kesedihan yang menggambarkan ketidaksejahteraan rumahtangganya. Sebagai seorang teman, saya cuba memberi masukan secara santai yang mungkin. Ternyata pada saya lebih mudah memberikan nasihat kepada seorang ukhti yang memahami tarbiyah berbanding memberi nasihat kepada sahabat yang tiada fikrah. Namun itulah dakwah yang sebenarnya..ia tidak mengira kepada siapa asalkan kita ingin mendekatkan seorang hamba Allah itu kepada Penciptanya. Seseorang yang tidak tahu apa tujuan hidupnya akan sesat di perjalanan dan harus dibimbing ke jalan yang benar. Itu baru dakwah kepada seorang sahabat. Bagaimana pula untuk berdakwah kepada adik beradik, saudara mara, rakan sekerja, ibu bapa dan non muslim? Oh terasa sungguh berat, bagaikan terkunci mulut ini. Namun keberatan itu akan menjadi mudah andai kita selalu menjaga hubungan 'cinta' dengan Allah...insyaAllah.

Berjuanglah kamu samaada ringan atau berat dan berkorbanlah dengan harta dan jiwa kamu di jalan Allah yang sedemikian itu adalah terlebih baik (kemenangan ) bagi kamu jika sekiranya kamu mengerti. (At-taubah:41)


Adakah rumahtangga saya bahagia? Tanya sahabat saya itu lagi. Hati saya tersenyum kerana mengenangkan usia perkahwinan mereka masih agak baru. Saya bersyukur dengan apa yang saya miliki sekarang. Jika pernikahan kita dibina dengan asas keimanan kepada Allah, insyaAllah masalah-masalah yang timbul dalam rumahtangga itu hanyalah masalah yang dilihat sebagai kecil sahaja jika mahu dibandingkan dengan masalah dalam dakwah. Namun bukan itu jawapan yang saya berikan kepadanya :). Jiwa ini harus sentiasa dididik untuk redha dan bersyukur. Kadang-kadang kita selalu mengandaikan apabila kita memperolehi kesenangan dari segi wang dan material maka barulah kita akan mengecap bahagia. Itulah yang selalu dikejar oleh kebanyakan orang. Malah ibu bapa sibuk bekerja keras di siang hari adakalanya sampai ke malam untuk memberi kesenangan kepada anak-anak. Namun mereka semakin buntu apabila dunia ini semakin dikejar, kebahagiaan yang dicari itu tidak muncul-muncul. Wang dan harta yang banyak bukanlah jaminan untuk bahagia. Lihat saja rumahtangga Putera Charles dan Princess Diana yang suatu ketika dulu musnah kerana tidak menemui kebahagiaan sedangkan mereka hidup dalam limpahan kemewahan. Begitu juga pernikahan orang-orang kenamaan yang selalunya nikah-cerai beberapa kali.

Miskin harta masih tidak mengapa namun janganlah kita miskin hati. Miskin harta kita boleh berusaha bekerja untuk menampung keperluan hidup namun jika miskin hati, kita akan terpedaya dengan kepalsuan dunia yang boleh menghantarkan kita ke api neraka. Na'uzubillahi minzalik. Jagalah Allah nescaya Allah akan menjaga rumahtanggamu :). Bukan saya ingin mengata artis, tetapi ingin kita mengambil iktibar. Ramai artis yang mengaku tidak menjaga solat maka tidak mustahillah jika kita selalu mendengar cerita-ceriti perceraian rumahtangga mereka. Jika kita benar sayang pada Allah, cinta pada Allah maka tunjukkan buktinya. Cinta memerlukan pembuktian. Jika kita mencintai suami, kita perlu buktikan cinta itu dengan menjaga makan minumnya, memelihara kesihatannya, menjaga maruah dan hartanyanya dan lain-lain. Andai berani mulut kita mengaku cinta kepada Allah maka ikutlah perintah-Nya dan jauhilah larangan-Nya. Jika tidak, pengakuan cinta itu hanyalah dusta semata. Marilah kita membuktikan cinta kita kepada Allah swt yang telah menjadikan kita makhluk-Nya dengan rasa cinta juga. Semoga kita semua mendapat rahmat dari Ilahi, wassalam.

Nota kaki: 1)Semoga saya dan kita semua istiqamah di jalan yang Allah redha.
2)Minta sahabat doakan keistiqamahan saya di atas jalan tarbiyah. Syukran.

Thursday, July 22, 2010

Jiwa besar


۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Mengikut Muhammad Quthb dalam Manhaj Tarbiyah Islamiyah, tarbiyah adalah "Seni membentuk manusia". Tarbiyah bisa merubah sikap seseorang. Jikalau dulu sebelum tarbiyah kita lebih bersikap kurang perhatian terhadap masalah-masalah umat islam tapi setelah tarbiyah, kita menjadi lebih sensitif dengan isu-isu semasa umat islam. Jika dulu kita agak sombong, pendiam, susah menguntumkan senyum, bakhil, tinggi diri, pemboros dan sebagainya namun setelah tarbiyah menyerap ke dalam diri kita, sikap kita makin berubah ke arah yang positif hingga melahirkan sosok individu yang berjiwa besar. Individu dan jamaah yang berjiwa beginilah yang mampu untuk bersatu. Suasana jiwa yang kacau tidak memungkinkan kita untuk bersatu sedangkan umat islam sering dibantai dek kerana kelemahan kita untuk bersatu.

Jiwa yang dapat bersatu adalah jiwa yang memiliki watak 'permaidani'. Ia dapat diduduki oleh yang kecil dan besar, alim dan awam, remaja atau dewasa. Ia adalah jiwa yang besar yang dapat 'merangkul' dan 'menerima' semua jenis watak manusia. Ia adalah jiwa yang yang digejolaki oleh keinginan yang kuat untuk memberi, memperhatikan, merawat, mengembangkan, membahagiakan dan mencintai.-Anis Matta


Jiwa seperti ini adalah bebas dari bersifat mementingkan diri sendiri atau mementingkan kelompok masing-masing. Ini bermaksud seseorang itu tidak mengukur kebaikan orang lain/kelompok pada kadar manfaat yang ia dapat dari seseorang yang lain. Tetapi ia lebih melihat manfaat apakah yang dapat ia berikan kepada orang/kelompok itu. Apabila sampai pada suatu tahap, seharusnya kita memikirkan bahawa masuknya kita ke dalam dakwah ini adalah untuk memberi sumbangan pada dakwah. Janganlah kita hanya akan hadir ke sesebuah program setelah kita merasakan akan mendapat keuntungan daripada program tersebut. Namun jika kita merasakan kehadiran kita hanya akan merugikan duit, menghabiskan masa dan minyak kereta, maka kita mencari alasan untuk tidak turut menyertai. Wallahu'alam.

Monday, May 17, 2010

Tarbiyah


pic source

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞
Tatkala ini, saya demam. Berjangkit dengan anak dan juga sebagai penghapus dosa-dosa saya yang terlalu banyak. Alhamdulillah anak-anak nampak sudah makin ceria. Mohon teman-teman sudi mendoakan kesihatan saya ^_^. Jazakillahu khairan..

Apabila badan rasa tidak sihat, rasa lemah tidak bermaya. Tekak pun sakit, tiada selera makan. Biasalah demam, tadi saya makan paracetamol 2 biji dan ubat selesema clarinase sebiji. Makan ubat sebagai penawar bagi jasadiah yang tidak sihat, namun pada hakikatnya Allah lah yang menyembuhkan. Itu perihal jasad, bagaimana pula jika ruhaniah yang sakit? Penawar apakah yang harus diberi supaya rohani kita kembali sihat atau jiwa yang futur kembali bersemangat?

Hampir semua daripada kita tahu merawat tubuh badan dengan baik. Kita makan makanan yang bergizi, membersihkan tubuh badan, memakai minyak wangi supaya harum, ada yang mengambil vitamin tambahan, muka ditepek bedak dibubuh make up supaya bertambah comel lote, pakai ubat jerawat, pakai krim muka, baju dalam almari bertambah koleksi setiap bulan dan pelbagai lagi usaha kita untuk penampilan lahiriah yang mantap. Namun berapa ramai daripada kita adik kakak sekalian yang bekerja keras untuk menjaga hal ehwal rohani kita? Membaca buku-buku tambahan untuk melaksanakan solat sesempurna mungkin, membaca al-Quran sehingga hadirnya lazat dalam hati, bersungguh-sungguh untuk mengikut sunnah nabi, menginfakkan harta di jalan dakwah, dan bermacam-macam cara lagi untuk memantapkan iman kita. Apabila rohani kita tidak dijaga dengan baik hingga sampai ke suatu masa ia menjadi sakit dan futur..ia meronta-ronta sakit dan menangis supaya diberikan ubat iaitu tarbiyah. Tarbiyah itu ubat dan nikmat, bila sudah didapatinya..iman kita akan bertambah cergas lalu amalan-amalan kita akan berganda-ganda. Awas, hati yang kotor itu tidak boleh dibiarkan lama-lama, kerana ia akan sukar dicuci sekalipun disental dengan chlorox, bekasnya tidak mahu hilang!

Tarbiyah itu proses yang berterusan dan berpanjangan sehingga ke akhir hayat kita. Ujar murobbi saya, keperluan kita kepada tarbiyah itu umpama keperluan kita untuk harus menggosok gigi. Tarbiyah = gosok gigi. Sejak kita kecil hingga ke akhir hayat kita perlu menggosok gigi. Di kala waktu lapang kita menggosok gigi dan di kala waktu sibuk pun kita tetap menggosok gigi. Student tetap menggosok gigi biarpun sibuk bergelumang dengan exam. Tak ada yang tak gosok gigi. Kalau ada tak tahu la hihi. Sebelum berkahwin gosok gigi, setelah kahwin tangungjawab kita makin banyak namun kita tetap menggosok gigi. Begitulah keperluan tarbiyah. Sesibuk mana pun kita, biar status apapun kita, tak kisah dari lubuk mana pun kita..kita memerlukan tarbiyah secara berterusan dan istiqamah. Kerana sesungguhnya tarbiyah itu penting bak kata da'i yang tersohor Mustafa Masyhur, "tarbiyah bukanlah segala-galanya, namun tanpa tarbiyah segala-galanya takkan berlaku". Mendapat tarbiyah bererti kita mendapat kekuatan untuk terus beramal..semoga kita semua diberikan hidayah untuk terus berada di jalan dakwah dan tarbiyah..Sekian.