Showing posts with label rumahtangga. Show all posts
Showing posts with label rumahtangga. Show all posts

Saturday, February 11, 2012

Ke mana nak lari dari gangguan suami dan anak?


۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Anita seorang wanita bekerjaya hebat yang amat sibuk. Dia juga amat bertanggungjawab terhadap tugas-tugas isteri dan ibu yang disandangnya di rumah. Ada masanya dia merasakan penderaan atas emosi dan fizikal jika terlalu letih, tertekan dan terdera oleh keadaan. Bukankah bagus jika duduk di rumah, menikmati harta suami dan cukup menjaga anak saja daripada hidup dengan beban tanggungjawab pekerjaan yang meletihkan.

Tetapi, bukankah sifat-sifat wanita yang sempurna itu ada pada mereka yang mandiri, kuat bekerja, berilmu dan bermuamalah dengan masyarakatnya? Kalau hanya duduk di rumah dan tidak berfungsi sebagai insan kamil pun tak guna juga bukan? Pasti timbul juga rasa bosan, jemu dan malas akibat persekitaran yang tak sihat.

Wanita bekerja dituntut bersikap cekap, cepat, cerdas dan cemerlang mengharungi rintangan kehidupan. Alahai kasihannya mereka yang kadang-kadang tidak dihargai oleh suami dan anak-anak. Hanya iman di dada yang mampu membangkitkan semangat mereka untuk terus berjuang sampai nafas yang terakhir. Oleh itu tidak salah apabila isteri mempunyai tempat-tempat rehat yang baik untuk menenangkan fikiran dan perasaannya. Di situlah dia mendaparkan kebebasan sebagai seorang insan secara bersendirian. Bukankah kita semua datang ke dunia ini sendirian dan akan pergi ke alam kubur pun sendiriab, dibangkitkan di akhirat sendirian dan disoal di hadapan Rabbul Jalil Allah sendirian?

Jadi tidaklah salah kalau kita berfikir tentang diri sendiri untuk meyelamatkan hidup di dunia dan di akhirat.

Bukankah ramai isteri dan ibu melalaikan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah kerana gangguan suami dan anak? Mereka terlalu sibuk dengn rumahtangga dan kerjaya sehingga tidak mampu beribadah kerana keletihan. Kalau dahulu sebelum berkahwin boleh salat dengan sempurna dan membaca Al-Quran menurut rutin, tetapi kini tak mampu lagi mengamalkan semua itu kerana sibuk menguruskan suami dan anak-anak. Tapi anehnya mengapa shopping pula sempat? Bercuti setiap tahun dan melabur duit untuk kecantikan pun sentiasa ada masa. Jika dibiarkan keadaan sebegini kita akan berasa kering rohani, hilang daya kawalan iman dan akhirnya tenggelam dalam arus dunia yang melalaikan. Kebahagiaan yang dirasa pun tidak lagi nikmat dan berkat, kerana Allah pasti akan mencabut rasa tenteram dari hati orang yang lalai.

Kepada isteri-isteri yang mengeluh tak bahagia, didera anak dan suami marilah kembali ke jalan Allah. Carilah tempat-tempat untuk anda melepaskan diri dari kongkongan suami, anak dan kerjaya yang menekan perasaan anda.
Tempat-tempat yang tenang itu adalah:

1. Di atas sajadah.

Ramai yang berdisiplin untuk dunia tetapi tidak untuk akhiratnya. Mengapa anda boleh menjaga diet atau menghadiri kelas-kelas senaman dengan disiplin sedangkan salat selalu tertinggal? Anda boleh berjaga semalaman untuk melayan suami tetapi tak ingat malam pertama di dalam kubur. Anda boleh mengikut apa saja kehendak anak tetapi tidak mahu ikut suruhan Allah. Bukankah anda seolah-olah hamba kepada suami dan anak-anak jika terlalu cintakan mereka melebihi diri sendiri? Bukankah diri andapun berhak mendapatkan kebebasan dan tidak boleh diperhamba oleh manusia lain? Jika anda rasa susah hati kerana suami dan anak sesungguhnya itu adalah balasan yang sangat berbaloi bagi sesiapa yang lupakan Allah. Lepaskanlah segala ikatan yang menghalang kita dari rahmat Allah. Bukan bermakna terus melupakan anak dan suami tetapi jadikanlah mereka sebagai pembangkit semangat untuk lebih mendekati Tuhan.

Di atas sajadah, di situlah ketenangan. Kerana hanya dengan melepaskan segala ikatan dunia kita boleh melupakan rasa sedih, kecewa, benci, takut dan risau yang diwariskan oleh dunia kepada kita. Berhentilah berfikir tentang dunia yang suka mendera kita, alihkan tumpuan kepada alam akhirat dan janji-janji Allah kepada hamba-Nya yang beriman. Berfikirlah tentang kemanisan syurga dan kasih sayang Allah yang melimpah dalam kehidupan kita.

2. Di rumah yang terdapat anak-anak yatim, orang sakit yang terlantar dan orang yang mengalami sakaratulmaut.

Ketenangan hanya hadir di hati yang insaf. Betapa beruntungnya kita yang masih diberi peluang dan kekuatan untuk merasai kehidupan sebagai hamba yang diberi cukup nikmat. Jika anda seorang isteri yang memiliki rumah, kerjaya, suami dan anak-anak yang sihat, maka apalagi nikmat yang belum anda rasai, apakah ada lagi nikmat Allah yang tidak cukup untuk anda? Tidak cukupkah Allah menyayangi anda? Tidak cukupkah Allah memaafkan dan berlembut kepada anda? Mengapa anda membalas kenikmatan dan kasih sayang Allah dengan kelalaian dan maksiat? Bukankah suami dan anak, harta dan pangkat itu datangnya dari Allah, mengapa anda membalas jasa-jasa Allah dengan melupakan-Nya? Lihatlah mereka yang miskin, sakit dan terlantar. Tidak cukupkah tayangan kisah benar sebegini menyedarkan hati kita?

3. Di atas Kubur

Kubur merupakan tempat yang tenang dan boleh memberikan kesedaran pada jiwa manusia. Di situ manusia ingat dari mana dia datang dan ke mana dia akan pergi. Kita melalui alam rahim, alam dunia, alam kubur dan alam akhirat. Dunia menjadi tempat penentuan adakah kita akan selamat untuk perjalanan ke destinasi seterusnya. Anak dan suami adalah dunia anda, adakah mereka boleh menyelamatkan anda dari siksa kubur atau mungkin merekalah sebenarnya yang menjadi penyebab anda mendapat seksa kubur dan akhirat yang abadi?

sorce: http://drjuanda.com/?p=834

Lemas Dikongkong Suami


۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Anda mesti rasa tersiksa jika hidup asyik mengikut kehendak orang lain yang bertentangan dengan kemahuan anda. Walaupun dia adalah suami yang anda cintai, bukan bererti segala sesuatu mesti mengikut katanya dan mengorbankan perasaan anda. Perkahwinan dalam Islam tiada sistem manipulasi sama sekali. Suami dan isteri dituntut untuk mengambil jalan tengah dan adil dalam setiap masalah yang dihadapi. Perkara ini pernah dinyatakan dalam hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim.

Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab beliau berkata: “Demi Allah, ketika zaman jahiliyah kami tidak pedulikan hak wanita sedikitpun, sehingga Allah menurunkan ketentuan tentang mereka dan hak mereka. Ketika aku memikirkan suatu urusan yang sulit, isteriku berkata: Apa pandanganmu jika kamu melakukan begini dan begini? Aku berkata: Mengapa kamu mencampuri urusanku? Dia menjawab: Betapa peliknya engkau wahai Ibnul Khattab! Kamu tidak mahu saya memberi pandangan! Padahal puterimu (Ummul Mukminin Hafsah binti Umar) pernah memberi pandangan kepada suaminya (Rasulullah SAW).”

Betapa indahnya syariat Islam. Suami dan isteri saling berbagi, namun tak semua mimpi indah menjadi realiti. Tak kira lelaki muslim atau bukan muslim, ramai di kalangan suami menganggap isteri mesti ikut, tunduk dan taat arahan suami tanpa kompromi. Dari manakah datangnya ajaran ini? Yang jelas ia bukan dari ajaran Islam. Mungkin disebabkan pengaruh faktor budaya sebagai orang timur yang membentuk perilaku sebegitu.

Padahal Rasulullah SAW adalah selembut-lembut lelaki yang bergelar suami. Hal ini dapat kita sandarkan pada hadis baginda SAW yang suatu ketika berbicara untuk kaum wanita, yang bermaksud; “Janganlah kamu melarang para wanita mendatangi masjid-masjid Allah.” (Riwayat Al-Bukhari). Apakah wujud kongkongan terhadap wanita dalam ajaran Islam setelah kita mendengar hadis sebegini?

Kemudian hadis Rasulullah SAW yang memberikan kelonggaran untuk wanita keluar bekerja. Ummul Mukminin Aisyah RA berkata: “Wanita yang paling pemurah tangannya antara kami ialah Zainab, kerana dia bekerja dengan tangannya sendiri dan bersedekah.” (Hadis riwayat Muslim)

Isu kongkong mengongkong ini turut dialami oleh lelaki. Mereka yang memiliki isteri bersifat queen control! Suami takut isteri atau isteri takut suami, apa bezanya? Kedua-dua keadaan ini adalah salah menurut ajaran Islam. Biarlah perkahwinan itu ditegakkan dengan prinsip keadilan, kesaksamaan, tahu dan melaksanakan hak dan kewajipan masing-masing. Komunikasi dibina dengan telus dan cerdas. Suami dan isteri mesti memiliki kemahiran seni pengurusan hati dan perasaan untuk menjamin komunikasi itu berkesan.

Ada tiga petua untuk mengatasi tabiat suka mengongkong.

1. Percaya kepada pasangan anda.
Anda boleh menguasai isteri dari sisi zahirnya sahaja namun hatinya tidak, akal fikirannya apatah lagi. Jadi jangan terkejut bila di depan anda dia OK, namun di belakang lain. Di sinilah perlunya sikap saling percaya mempercayai. Percaya bahawa baik buruk datang dari Allah Taala. Siapalah kita yang mahu ‘menguasai’ isteri atau suami. Itu kerja Allah Taala, Yang Maha Berkuasa atas setiap makhluk. Suami hanya boleh memberi pandangan dan nasihat yang membina bukan dengan memaksakan kehendaknya. Jadilah seperti seorang dokter yang mengubat bukan sebagai hakim yang mengadili. Sifat saling mempercayai dibina dengan kejujuran, keterbukaan dan mahu menerima pasangan dengan segala kelebihan dan kekurangannya.

2. Hormati pandangannya.
Sepertimana anda suka dihormati orang lain, begitu juga isteri yang mahukan pengiktirafan daripada suami. Manusia dilahirkan membawa sifat dan cara yang berbeza, namun demikian perbezaan itu tidak membuktikan bahawa mereka tidak boleh bersatu. Dengan perbezaan pendapat dan cara berfikir sebenarnya membuka ruang kepada suami dan isteri untuk berinteraksi secara intim. Seandainya isteri takut dan tutup mulut, kemudian ikut saja kehendak suami maka keadaan ini akan memberi impak negatif dalam perhubungan mereka dalam jangka masa panjang. Tak akan ada rasa intim jika asyik mengalah dan memendam perasaan yang berhujung dengan virus dendam. Hormatilah isteri sebagai seorang manusia yang boleh memilih, menimbang, mengkaji dan meneliti. Sepatutnya, suami pintar, isteri pula bijak.

3. Ubati emosi anda.
Suami yang suka mengongkong isteri atau sebaliknya, memiliki emosi yang tidak stabil. Bayang-bayang ketakutan, cemburu dan ego bercampur menjadi satu, lantas melahirkan rasa tidak selamat dan gelisah apabila isteri tidak berada di depan mata. Latarbelakang keluarga yang mengamalkan disiplin yang terlalu mengongkong juga mempengaruhi watak dan karakter suami pengongkong. Terlalu idealis dan perfectionis juga menyumbang kepada sikap mahu menguasai orang lain agar mengikut di bawah telunjuknya. Semua itu adalah penyakit mental yang mesti diubati. Di sinilah peranan orang di sekeliling khasnya isteri amat penting untuk membuka mata suami bahawa dia mesti berubah, sebelum segalanya akan berakhir dengan kehancuran rumahtangga.

source:http://drjuanda.com/?p=353

Friday, September 03, 2010

Cinta rumahtangga


۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Hadis dari Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda :

“Sesiapa pun tidak akan merasakan manisnya iman, sehingga ia mencintai seseorang hanya kerana Allah semata.” (HR. Bukhari).

Satu sms masuk ke inbox hp saya. Dari seorang teman yang berada di sebuah perkampungan yang jauh. Suatu ketika dulu, di masa remaja kami akrab. Sampai satu ketika, apabila saya menjejakkan kaki ke menara gading, dia memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran. Dia tidak mengenal dunia tarbiyah seperti saya. Tidak tahu apa itu usrah. Dia sering menghantar pesanan ringkas kepada saya dan kebanyakkannya berbaur kesedihan yang menggambarkan ketidaksejahteraan rumahtangganya. Sebagai seorang teman, saya cuba memberi masukan secara santai yang mungkin. Ternyata pada saya lebih mudah memberikan nasihat kepada seorang ukhti yang memahami tarbiyah berbanding memberi nasihat kepada sahabat yang tiada fikrah. Namun itulah dakwah yang sebenarnya..ia tidak mengira kepada siapa asalkan kita ingin mendekatkan seorang hamba Allah itu kepada Penciptanya. Seseorang yang tidak tahu apa tujuan hidupnya akan sesat di perjalanan dan harus dibimbing ke jalan yang benar. Itu baru dakwah kepada seorang sahabat. Bagaimana pula untuk berdakwah kepada adik beradik, saudara mara, rakan sekerja, ibu bapa dan non muslim? Oh terasa sungguh berat, bagaikan terkunci mulut ini. Namun keberatan itu akan menjadi mudah andai kita selalu menjaga hubungan 'cinta' dengan Allah...insyaAllah.

Berjuanglah kamu samaada ringan atau berat dan berkorbanlah dengan harta dan jiwa kamu di jalan Allah yang sedemikian itu adalah terlebih baik (kemenangan ) bagi kamu jika sekiranya kamu mengerti. (At-taubah:41)


Adakah rumahtangga saya bahagia? Tanya sahabat saya itu lagi. Hati saya tersenyum kerana mengenangkan usia perkahwinan mereka masih agak baru. Saya bersyukur dengan apa yang saya miliki sekarang. Jika pernikahan kita dibina dengan asas keimanan kepada Allah, insyaAllah masalah-masalah yang timbul dalam rumahtangga itu hanyalah masalah yang dilihat sebagai kecil sahaja jika mahu dibandingkan dengan masalah dalam dakwah. Namun bukan itu jawapan yang saya berikan kepadanya :). Jiwa ini harus sentiasa dididik untuk redha dan bersyukur. Kadang-kadang kita selalu mengandaikan apabila kita memperolehi kesenangan dari segi wang dan material maka barulah kita akan mengecap bahagia. Itulah yang selalu dikejar oleh kebanyakan orang. Malah ibu bapa sibuk bekerja keras di siang hari adakalanya sampai ke malam untuk memberi kesenangan kepada anak-anak. Namun mereka semakin buntu apabila dunia ini semakin dikejar, kebahagiaan yang dicari itu tidak muncul-muncul. Wang dan harta yang banyak bukanlah jaminan untuk bahagia. Lihat saja rumahtangga Putera Charles dan Princess Diana yang suatu ketika dulu musnah kerana tidak menemui kebahagiaan sedangkan mereka hidup dalam limpahan kemewahan. Begitu juga pernikahan orang-orang kenamaan yang selalunya nikah-cerai beberapa kali.

Miskin harta masih tidak mengapa namun janganlah kita miskin hati. Miskin harta kita boleh berusaha bekerja untuk menampung keperluan hidup namun jika miskin hati, kita akan terpedaya dengan kepalsuan dunia yang boleh menghantarkan kita ke api neraka. Na'uzubillahi minzalik. Jagalah Allah nescaya Allah akan menjaga rumahtanggamu :). Bukan saya ingin mengata artis, tetapi ingin kita mengambil iktibar. Ramai artis yang mengaku tidak menjaga solat maka tidak mustahillah jika kita selalu mendengar cerita-ceriti perceraian rumahtangga mereka. Jika kita benar sayang pada Allah, cinta pada Allah maka tunjukkan buktinya. Cinta memerlukan pembuktian. Jika kita mencintai suami, kita perlu buktikan cinta itu dengan menjaga makan minumnya, memelihara kesihatannya, menjaga maruah dan hartanyanya dan lain-lain. Andai berani mulut kita mengaku cinta kepada Allah maka ikutlah perintah-Nya dan jauhilah larangan-Nya. Jika tidak, pengakuan cinta itu hanyalah dusta semata. Marilah kita membuktikan cinta kita kepada Allah swt yang telah menjadikan kita makhluk-Nya dengan rasa cinta juga. Semoga kita semua mendapat rahmat dari Ilahi, wassalam.

Nota kaki: 1)Semoga saya dan kita semua istiqamah di jalan yang Allah redha.
2)Minta sahabat doakan keistiqamahan saya di atas jalan tarbiyah. Syukran.