Wednesday, July 13, 2011

Hari paling sedih

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Hari ni merupakan hari yang paling sedih dalam hidup saya. Tapi saya yakin, setiap ujian yang Allah berikan tu, sebenarnya Allah nak tarbiyah kita agar menjadi hamba Nya yang lebih baik. Saya redha dengan masalah yang Allah berikan ini. Setiap orang ada dugaan hidup, semalam sahabat saya sms yang dia terkena sihir harimau. Tak tahu sihir tu bagaimana tapi habis badan nya sakit-sakit dan ada kesan seperti dicakar. Saya berdoa agar saya dan dia diberikan ketabahan hati yang kuat amiiin..

Thursday, July 07, 2011

Berperasaan sial

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Tathayyur ialah berfirasat buruk, berperasaan sial, yang menimbulkan perasaan pesimis, kerana pengaruh berbagai suara tertentu yang didengar atau sesuatu kejadian yang dilihat ataupun lain-lain seperti itu. Bila pengaruh-pengaruh tersebut telah mengakibatkan seseorang membatalkan niat seperti berpergian, melangsungkan pernikahan, atau tindakan lainnya, bererti dia telah terjerumus ke dalam perbuatan syirik. Kerana dia tidak sepenuhnya bertawakkal kepada Allah serta menajdikan firasat buruk (perasaan sial) tersebut lebih berpengaruh dari tawakkalnya kepada Allah swt.

Sabda Rasulullah saw:
"Barangsiapa membatalkan (mengurungkan) hajatnya (keperluannya) kerana tathayyur, maka sungguh dia telah berbuat syirik. Para sahabat bertanya kepada Rasulullah: Apakah kaffarah (denda) daripada perbuatan tersebut? Jawab baginda: "Agar engkau mengucapkan "Ya Allah, tidak ada sesuatu kebaikan kecuali kebaikanMu dan tidak ada tathayyur kecuali tathayyur yg datang dariMu, dan tidak ada Tuhan melainkan Engkau". (HR. Iman Ahmad)

Adapun tekanan-tekanan psikologis atau ketakutan mendapat bahaya dalam diri seseorang kerana pengaruh sesuatu itu, tidak akan terjadi manakala disaat melakukan hajatnya itu dia bertawakkal kepada Allah serta tidak membatalkan maksud tujuannya kerana pengaruh tathayyur tersebut:

Rasulullah saw bersabda:
"Tathayyur itu syirik, tathayyur itu syirik,apa kesalahan kita, kecuali...tetapi Allah akan menghilangkannya (tathayyur) itu dengan bertawakkal kepada Allah." (HR. Abu Daud dan Tarmidzi dr Ibnu Mas'ud).

Makna kalimat "Apa kesalahan kita, kecuali..." ialah apa dosa di antara kita, kerana setiap orang di antara kita ini ada perasaan-perasaan seperti itu sebagai tanda kelemahan manusia. Tapi ciri khas seorang mukmin ialah berkeyakinan bahawa sesungguhnya Allah akan menghilangkan semua perasaan tersebut dari dalam hatinya kerana pengaruh tawakkal kepada Allah.

Lawan dari tathayyur ialah pengharapan yang baik atau rasa optimis. Iaitu perkiraan seseorang akan terjadi kebaikan kerana pengaruh sesuatu ucapan yang didengar atau sesuatu yang dilihat. Rasulullah mencintai orang yang berjiwa optimis.

"Dan aku tertarik menyukai) pengharapan baik (optimis) iaitu ucapan yang baik". (HR. Muslim)

Contoh berpengharapan yang baik ialah apabila seseorang yang sedang menderita sesuatu penyakit, lalu mendengar ucapan orang lain yang mengatakan: "Hai orang yang sihat". Dengan ucapan itu timbullah rasa optimis untuk sembuh dan sihat kembali dalam diri si penderita. Itulah perbuatan yang baik untuk dilakukan, kerana mengajak kepada berpengharapan besar dan berperasangka baik kepada Allah berbeza dengan tathayyur yang mengandung sangkaan buruk terhadap Allah dan memperkirakan akan terjadi satu bencana atau bahaya tanpa ada sebab-sebab yang dapat menimbulkan bahaya tersebut.

Dari buku: Bagaimana terjadi syirik dan mencapai tauhidullah oleh Dr Yusuf Qardhawi

Pemimpin yang soleh


۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Semalam suami pulang kerja mengomel ada 'road block' sejak dari pagi hari hinggalah malam tadi masih ada sekatan jalan. Pagi ini suami yang berkursus tiga hari di Shah Alam menelefon kawannya yang masih belum tiba untuk ke tempat kursus bersama-sama. Kawannya itu rupanya terperangkap dalam trafik akibat 'road block' lagi. Kesian rakyat, kononnya sekatan jalan dibuat untuk 'psycho' rakyat untuk tidak ke perhimpunan hari sabtu ni. Entah lah nak cakap apa, tidak faham agaknya perhimpunan BERSIH sudah diluluskan untuk dibuat di stadium. Semalam sahabat-sahabat saya yang bekerja sebagai guru merungut tidak puas hati kerana mereka diwajibkan berada di sekolah pada hari sabtu ini. MasyaAllah, orang lain pun ada keluarga. Kenapa lah nak menyusahkan rakyat macam ni. Umpama pepatah "bodoh tak boleh diajar, cerdik tak boleh diikut". Apabila menggunakan akal dalam membuat tindakan tanpa dipandu dengan hati dan iman, orang bawahan lah yang menerima susah. Buat apa nak takut dengan BERSIH kalau pilihanraya selama ni betul-betul bersih?


TUNTUTAN BERSIH 2.0 :
1. BERSIH kan Senarai Undi (Daftar Pemilih)
2. Reformasikan Undi Pos
3. Gunakan Dakwat Kekal
4. Akses Media Yang Bebas & Adil
5. Tempoh Berkempen Minima 21 Hari
6. Kukuhkan Institusi Awam
7. Hentikan Rasuah
8. Hentikan Politik KotoR

(source:FB rakan)

Ok habis pasal BERSIH. Semalam saya menghadiri makan malam di Nilai Impian dan sempat berkenalan dengan kawan yang bekerja di Agensi Nuklear Malaysia. Dia bekerja di Jabatan Radiasi dan akan menyambung PhD di University of Manchester hujung tahun ni. Alang-alang tu, saya mengambil kesempatan untuk bertanya pasal kilang Lynas di Gebeng yang kononnya kata kerajaan 'selamat'. Kata kenalan baru saya ni "Mana ada selamat!" Ya ampun. Hurmmm dalam berita, bukan main lagi kata perojek ni selamat. Mungkin kesan radiasi bahan buangan ni bukan serta merta, tapi kesannya dilihat pada generasi cicit-micit 7-8 tahun akan datang. Semoga kerajaan boleh fikirkan semula sebelum meneruskan projek ini. Dengan rasuah di sana sini di bumi Malaysia ini, selamatkah projek-projek yang perlu kepada kepakaran yang tinggi? Karam di laut, asam di darat, jawab lah sendiri heh!

Saya ingin berkongsi sebuah kisah tentang pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Beliau hanya memerintah untuk tempoh yang pendek iaitu 2 tahun 5 bulan sahaja dan ada sumber yang lain mengatakan tidak melebihi dua tahun setengah sahaja. Beliau digelar dengan gelaran Khulafa' Ar-Rasyidin yang kelima kerana pemerintahan beliau sebagaimana pemerintahan Khulafa' AR-Rasyidin.

Malik bin Dinar berkata:
“Ketika Umar bin Abdul Aziz diangkat menjadi khalifah, para penggembala kambing di puncak gunung berkata: ‘Siapakah khalifah yang saleh yang sedang memerintah manusia sekarang ini ?’
Lalu orang-orang yang berasal dari kota bertanya kepada mereka: ‘Mengapa kalian mengetahui semua itu?’
Para penggembala menjawab: ‘Sesungguhnya pemerintahan apabila dipegang oleh seorang khalifah yang saleh, serigala dan singa tidak akan mengganggu kambing-kambing kami !’ “

Hasan al-Qashar berkata:
“Aku bekerja sebagai pemerah susu kambing pada pemerintahan Umar bin Abdul Aziz. Pada suatu ketika, aku melewati seorang penggembala, sedangkan di tengah-tengah gerombolan kambingnya ada tiga puluh serigala. Padahal sebelumnya aku mengira gerombolan anjing karena aku belum pernah melihat serigala.
Aku bertanya: ‘Wahai penggembala, untuk apa anjing sebanyak ini ?’
Dia menjawab: ‘Wahai anak muda, ini bukan kawanan anjing, melainkan serigala’.
Aku berkata: ‘Subhanallah, apakah serigala tidak membahayakan kambing-kambingmu ?’
Dia menjawab: ‘Wahai anak muda, apabila kepada sudah sehat maka badang tidak akan rusak’.
Pada masa itu adalah masa pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz “.

Musa bin Ayyan berkata:
“Pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz , kami menggembalakan kambing bersama serigala pada suatu tempat, demi Allah. Pada suatu malam, serigala menyerang memangsa seekor kambing kami.
Aku berkata: ‘Dengan adanya peristiwa ini kami memperkirakan bahwa laki-laki saleh tersebut telah wafat.’
Hamad berkata: ‘Orang ini dan lainnya juga mengatakan kepadaku bahwa mereka hanya mengira, tetapi besoknya ternyata benar bahwa dia (Khalifah Umar bin Abdul Aziz ) telah wafat malam itu.’


Kisah ini menunjukkan bahawa kesolehan seorang pemimpin membawa keberkatan bukan sahaja kepada rakyat, malah kepada seluruh alam termasuk binatang. Apabila kepimpinan tidak adil, maka banyaklah berlaku kepincangan, penindasan, penentangan, rasuah, jenayah, dan lain2 lagi. Semoga kita dapat mengambil pengajaran daripada kisah ini. Pemimpin di sini bukan merujuk kepada pemimpin negara sahaja kerana setiap kita adalah pemimpin. Pemimpin kepada diri kita sendiri, pemimpin kepada anak-anak dan isteri, pengetua, ketua jabatan, ketua kampung, dll lagi. Sekian.


Jika kita memakai kasut, lihatlah kepada orang yang memakai selipar,
Jika kita memakai selipar, lihatlah kepada orang yang berkaki ayam,
Jika kita berkaki ayam, lihatlah kepada orang yang tidak mempunyai kaki...

Wednesday, June 22, 2011

Jangan Promosi Dosa Dalam Facebook & Blog

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Saya nak kongsikan note ustaz Zaharuddin Abd Rahman (UZAR) yang saya ambil dari FB beliau. Moga ustaz halalkan ilmunya ini :).



Jangan Promosi Dosa Dalam Facebook & Blog
by Zaharuddin.net on Wednesday, June 16, 2010 at 3:43pm


Iman seseorang telah disepakati oleh para ulama boleh menaik dan menurun berdasarkan pelakuan di dalam kehidupan sehariannya. Jika dosa memenuhkan ruang kehidupannya dengan dosa, keimanan akan menurun, memberi kesan kepada seluruh amalan. Solat menjadi tidak khusyu' dan berat, demikian amalan kebaikan dirasa membosankan dan teramat menjemukan. Perasaan kesal dan rasa bersalah atas pelakuan dosa pula akan semakin pudar, hasilnya, keimanan di dalam hati menjadi semakin malap tanpa sinar.

Dosa dan pahala boleh bercambah dengan mudah, tanpa kawalan dan kesedaran sebaiknya, catatan amalan seseorang mungkin mengejutkannya di hari pembalasan kelak, sama ada disebabkan dosa yang di luar jangkaan atau timbunan pahala yang tidak disangka. Jika ia pahala, Alhamdulillah, namun bagaimana jika dosa yang memenuhi buku catatan amalan?.

Melalui artikel ini, sekadar ingin mengingatkan kita semua agar lebih peka terhadap salah satu punca percambahan dosa. Malah dosa yang kecil boleh berubah wajah kepada Kabair (dosa besar) akibatnya. Tujuan tulisan ini tidak lain agar kita semua dapat lebih berhati-hati terhadap dosa yang tidak disedari sedang dipromosi dan disebarkan.

FILEM, DRAMA DAN DOSA

Perlu kita semua fahami, manusia selain Rasulullah s.a.w tidak akan dapat lari dari dosa. Paling kurang dosa-dosa kecil. Sebagai contoh, dosa-dosa kecil amat mudah diperolehi apabila kita menonton televisyen sama ada melalui tontonan aurat lelaki wanita di dalam siri drama, filem iklan, hatta berita. Dosa kecil juga boleh berlaku apabila kerananya sekiranya seseorang itu melalaikan tanggungjawab agama yang lain dan pelbagai lagi kekurangan kerananya.

Telah dibincang panjang lebar oleh ulama Islam, TV dan filem adalah neutral, jika digunakan untuk tujuan kebaikan, maka pahala diperolehi, jika keburukan, dosa tentunya.

Sudah menjadi norma hari ini, hampir semua keluarga mempunyai TV walau setinggi manapun tahap keilmuan agamanya. Jika tiada TV, internet juga turut memasuki kebanyakan rumah umat Islam hari ini, segala jenis filem dapat ditontoni melaluinya.

Di ketika saya bersetuju dan tertarik dengan seruan para ilmuan dan pendakwah agar kita memboikot Yahudi Zionis dengan memboikot segala jenis hiburan melalaikan di televisyen atau internet, kerana itu adalah antara agenda penting mereka dalam merosakkan umat Islam. Namun begitu, sebahagian pendakwah ini mungkin terlupa menyedarkan, bahawa filem-filem dan drama yang biasanya ‘box office' karya Hollywood juga adalah karya hedonimse Barat dan Yahudi Zionis. Itu juga sepatutnya diboikot.

Namun, desakan nafsu dan Syaitan kerap mendorong sebahagian kita untuk terus melihat kisah-kisah paparan kreativiti karyawan Barat ini. Walau kita tahu ia bercampur baur adegan dosa ( berpelukan, bercium dan sebagainya) dan pemaparan aurat tentulah amat pasti.

DOSA KECIL YANG MEMBESAR DAN BERGANDA

Benar, secara umumnya, ia mungkin masih dianggap dosa-dosa kecil. Dosa kecil disebut oleh Nabi s.a.w boleh terhapus dengan solat fardhu, solat Jumaat, zikir, istighfar dan pelbagai amalan lain. Namun demikian, dosa kecil seperti itu boleh berganda sehingga adakalanya amalan seseorang tidak lagi mampu memadamkan keseluruhannya.

Bilakah itu?

Ia adalah apabila tontonan kita itu dikongsikan kepada orang lain melalui pendedahan kita sendiri sama ada di ketika bercerita berkenaannya, mungkin dalam ulasan kita. Atau lebih teruk lagi dipamerkan di FACEBOOK sebagai filem (movies) yang diminati, drama TV disukai, buku didambai, muzik dikagumi dan sebagainya.

Bagi saya, tindakan mengisi ruang itu dengan sebarang filem yang majoritinya mendedahkan aurat dan bercampur baur pengajarannya adalah sama seperti mempromosikannya, memberikan iklan percuma kepadanya, memaklumkan keredhaan kita terhadapnya.

Mungkin terkecuali jika kita menyiarkan minat kita terhadap movie pengajaran seperti Kung Fu Panda, Toy Stories, Cars, Omar Mukhtar atau dokumentari dan keagamaan seperti National Geographic, Discovery Channel, Berita, Al-Kuliyyah, Tanyalah Ustaz, Halaqah, Akademi al-Quran dan sebagainya.

Memaparkan minat kita rancangan TV atau Movie yang jelas bercampur aduk dosa dalam majoriti adegannya seperti ‘Desparate Housewives', ‘Friends', ‘Pretty Women', ‘Notting Hill', ‘Kuch Kuch Hota Hai', ‘HEROES' dan jutaan lagi filem sepertinya.

Walaupun seseorang itu memang meminati dan menontonnya, namun sedarilah tontonan itu mengakibatkan banyak dosa-dosa kecil. Tontontan itu tanda akibat kelemahan diri kita sehingga terjebak dalam dosa sebegitu.

Memaklumkannya kepada orang lain akan minat kita terhadap filem itu adalah dosa gandaan yang lain. Ia adalah sebuah promosi iklan secara percuma. Malah mendedahkan sokongan kita terhadap movie dan drama bermaksiat. Bukan sekadar movies sahaja malah hal yang sama terpakai buat promosi buku, novel, muzik dan public figure atau artis (khususnya di facebook).

Saya bimbang, keghairahan berkongsi segala-galanya di dalam facebook, blog dan forum akan tanpa sedar mempergandakan dosa seseorang.

Kecuali jika diyakini dengan ilmu dan iman bahawa pengajaran BAIK dari filem yang ingin dikongsi tersebut atau ditanda sebagai ‘like' itu MELEBIHI UNSUR DOSA DAN BURUK. Sebagaimana drama-drama bermesej islam, penuh pengajaran tetapi masih dilakonkan oleh pelakon mendedah aurat. Jika diyakini unsur positifnya melebihi dan negatif, tatkala itu mungkin wujudnya sedikit justifikasi untuk dipapar dan ditonjolkan dalam senarai drama diminati. Dengan niat agar orang lain turut mendapat pengajarannya.

Selain berkongsi minat terhadap hal yang disebut di atas, ada juga yang mendedahkan dosanya melalui gambar. Gambar seperti :

* ketika sedang minum arak,
* hadiri parti penuh maksiat,
* hadiri majlis dosa,
* sedang berpelukan lelaki wanita
* atau bersentuhan wanita dan lelaki yang bukan mahram (walaupun bagi seorang doktor kerana keperluan, tetapi gambar sedemikian PATUT disembunyikan)
* dan sebagainya,

Sekiranya semua yang disebut tadi dikongsi di facebook dan blog, kita bimbang individu terbabit tergolong di dalam kategori penyebar dosa dan pembuka aib diri sendiri. Nabi s.a.w memberi ingatan :-

كل أمتي معافى إلا المجاهرين، وإن من المجاهرة أن يعمل الرجل بالليل عملا، ثم يصبح وقد ستره الله عليه، فيقول: يا فلان عملت البارحة كذا وكذا، وقد بات يستره ربه، ويصبح يكشف ستر الله عليه

Ertinya : Setiap umatku (boleh) diampunkan kecuali mereka yang mendedahkan (dosanya), ada di kalangan yang mendedahakn ini , melakukan suatu dosa di waktu malam, berpagi-pagi sedang Allah menutup keaiban dosa itu, namun tiba-tiba dia mendedahkan seraya berkata :" Wahai fulan, semalam aku lakukan itu dan ini" maka terhapuslah tutupan Tuhannya dan jadilah ia membuka (rahmat) Allah yang menutup keaibannya.( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Justeru itu, jadikanlah dosa peribadi disebabkan menonton filem bercampur maksiat, atau menyukai musik hedonisme, ata melakukan maksiat secara fizikal kerana zina, curi, tidak solat dan sebagainya, sama ada kecil atau besar yang dilakukan di rumah, tersembunyi adalah antara individu terbabit dengan Allah SWT. Tujuannya agar seseorang itu beroleh rahmat Allah dan diberi hidayah untuk bertaubat sebelum maut menjelma.

Mungkin disebabkan pendedahannya, apabila ia ingin atau telah bertaubat, sukar untuknya untuk memaklumkan kepada semua yang pernah mendengar atau mengetahui pendedahannya agar bertaubat sama, malah taubatnya juga mungkin diragui orang lain atau paling kurang, membawa masalah dalam hati seperti boleh menumbulkan riya' dan sum'ah.

Justeru jalan terbaik atas apa jua bentuk dosa yang telah atau pernah dilakukan adalah senyap dan sembunyikan. Ia bukan hipokrit ! tetapi ia dituntut oleh Allah dan RasulNya dan usahakan bertaubat. Hiprokrit adalah bagi mereka yang berpura-pura baik, tetapi dalam hal ini, si pelaku dosa hanyalah menyembunyikan dosanya. Tidak timbul persoalan dia cuba mengabui mata orang ramai dan berpura-pura baik. Rasulullah bersabda :

اجْتَنِبُوا هَذِهِ الْقَاذُورَةِ الَّتِي نَهَى الله عَنْهَا فَمَنْ أَلَمَّ فَلْيَسْتَتِرْ بِسَتْرِ الله وَلْيَتُبْ إِلَى الله. فَإِنَّهُ مَنْ يُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ عَلَيْهِ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ.

Ertinya : "Jauhilah perkara-perkara keji (maksiat) yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan (yang diberikan) Allah dan bertaubat kepada Allah SWT. Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla." [Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: "Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya." Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.]

Pengecualiannya hanyalah apabila kes melibatkan aib dan dosa ini diajukan di mahkamah untuk menangani sesuatu kes, atau ketika merujuk kepada kaunselor diyakini untuk membantu dan ilmuan Islam untuk mengetahui hukum dan kaedah pemulihan.

Allah itu maha pengampun dan sentiasa menginginkan kita bertaubat dan beristighfar, maka antara ciri taubat yang mudah diterima adalah apabila dosa tidak didedahkan. Di dalam sebuah lagi hadis sohih disebutkan :-

أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : يدني الله عبده المؤمن ، فيضع عليه كنفه ويستره ، فيقول : أتعرف ذنب كذا ؟ أتعرف ذنب كذا ؟ فيقول : نعم ، أي ربِّ ، حتى إذا قرره بذنوبه ، ورأى في نفسه أنه قد هلك ، قال : سترتها عليك في الدنيا ، وأنا أغفرها لك اليوم

Ertinya : Nabi bersabda : (Di akhirat kelak) Allah akan menghampiri seorang hambanya yang mukmin lalu melindunginya lalu berkata : Adakah kamu tahu dosa kamu ini? Adakah kamu sedar akan dosa ini? Lalu jawab lelaki itu Ya Wahai Tuhan dan sehingga dia mengakui dosanya dan merasakan dia akan binasa (dihukum), Allah berkata : Aku telah menutupinya di dunia dahulu ( dari pengetahuan manusia), dan hari ini aku akan mengampunkannya ( Riwayat Al-Bukhari)

Jelas dari hadis di atas, dosa yang dilakukan dan tidak didedahkan berpeluang mendapat belas kasihan Allah di akhirat untuk diampuni. Namun bagi mereka yang telah lebih dahulu berbangga bercerita, mengiklan, promosi dan sebegainya sejak di dunia lagi, dibimbangi tidak cukup layak mendapat belas kasihan dan rahmat Allah serta pengampunannya.

KESIMPULAN

Segeralah memadam paparan minat dan keterlibatan terhadap apa jua aktiviti, tayangan, muzik, bacaan selain untuk Allah, Rasul dan apa yang mendekatkan diri kepada keredhaan Allah. Walau sebanyak, sedalam manapun minat, sejauh manapun keterlibatan, sembunyikan ia, bukan bertujuan untuk menipu manusia lain, tetapi agar dia tidak tergolong dalam kalangan berbangga dengan dosanya, mempromosi, membuka aib sendiri dan mengiklan kejahatan kepada orang lain.

Semaklah facebook anda, blog, website, forum dan sembangan harian agar tidak tersalah dan mempergandakan dosa.

Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

ORIGINAL ARTICLE : http://www.zaharuddin.net/content/view/937/72/

Thursday, June 16, 2011

Susu

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Perlukah Anak Kita Minum Susu Selepas Putus Susu Ibu?
by Mommy Lyna (source: HERE)

Banyak perbincangan tentang perkara ini – susu selepas usia 2 tahun, atau selepas putus susu ibu. Perlukah seorang anak tu minum susu lagi?

Sesetengah pihak berpendapat tak perlu lagi nak minum susu, kerana khasiat susu (mostly mentioned calcium) boleh diperolehi dari sumber kalsium yang lain.

Saya agak against dengan pendapat ini. Kenapa?


1. Susu bukan calang-calang minuman. Ia ada disebut dalam al-Quran.

“Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya” (an-Nahl:66)

“Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu kamu beroleh punca-punca yang menyedarkan tentang kemurahan dan kebijaksanaan Allah penciptanya; Kami beri kamu minum dari susu yang ada dalam perutnya dan kamu beroleh banyak faedah lagi padanya dan daripadanya juga kamu beroleh rezeki penghidupan kamu” (al-Mu’minuun:21)
2. Susu adalah minuman kegemaran Rasulullah SAW (susu kambing)

Dalam peristiwa israk Mikraj, Rasulullah dihidangkan 3 benda; arak, madu dan susu kambing. Baginda memilih susu kambing dan meminumnya.
3. Susu sangat banyak khasiatnya (bukan setakat kalsium aje). Rasulullah menerangkan bahawa susu boleh menguatkan akal, menajamkan akal, menguatkan badan dan membaiki pengelihatan.

Dan ada satu perkara lagi yang saya baru jumpa, semasa mengulangkaji bab sinaps yang saya belajar dalam Seminar Early Childhood Education di Genius Baby on Board minggu lepas.

Susu penting untuk menjadi bijak!

Susu (tak kira susu ibu, susu lembu, susu kambing) mengandungi sejenis asid lemak yang dinamakan Gangliosida. Gangliosida ni penting untuk otak. Ia membantu otak untuk menyambungkan sel-selnya. Umpama fungsi pensel nak sambungan titik-titik pada lukisan dot-dot tu…

Semakin banyak sel-sel otak bersambung, semakin cepat pembelajaran berlaku ;)

Itulah hikmahnya bayi disarankan diberi minum susu badan sehingga usianya sekurang-kurang 2 tahun. Semasa usia ini, sel-sel otak giat berkembang. Sel otak berkembang dengan pesat di awal usia (0-3 tahun). Jadi tugas ibu bapa ialah menyambungkan sel-sel yang dah terbina tu. Itulah antaranya dengan memberi nutrisi terbaik untuk otak, yakni Gangliosida.

Jadi anak kita memang perlu minum susu. Selain susu penting untuk perkembangan otak mereka (biasa kan orang kata susu ni untuk tulang dan gigi aje), ia juga sebagai penggalak kepada mereka menggemari minuman sunnah.

Al-Quran menyuruh ibu menyusukan anaknya sehingga umur 2 tahun, dan al-Quran juga suruh minum susu dari binatang (lembu, kambing, unta) iaitu selepas usia itulah. Jadi dalam menggalakkan penyusuan ibu perlu jelas, usia 0-2 tahun -> minum susu ibu; usia 2-XXX tahun -> minum susu haiwan ternakan. Susu yang segar tenyata lebih berkhasiat dari susu tepung (susu formula). Jadi cuba dapatkan susu lembu/kambing/unta/etc segar untuk anak-anak.

Tiada kompromi untuk tidak minum susu ibu semasa usia di bawah 2 tahun. Nabi SAW sendiri mempunyai ibu susuan. Sekarang ni ada satu jaringan komuniti yang menggalakkan ‘pendermaan susu’ kepada bayi-bayi yang memerlukan. Ia adalah Eats on Feets.

eat on feet

Eats of Feets (EOF) adalah pertubuhan global yang menyokong usaha ini. Jadi, jika sesiapa nak cari ibu susuan, atau menjadi ibu susuan, boleh lah ke Fan Pafe EOF di FaceBook (klik sini) dan LIKE page tersebut. Apabila ada pengumuman terbaru, anda akan terima tentangnya di Wall anda.

Galakkan anak-anak menyukai susu, sekurang-kurangnya mengikut salah satu langkah sunnah. Untuk bayi, usahakan untuk memberinya susu ibu. Susu ibu adalah makanan yang paling sesuai buat mereka.

Bagaimana dengan susu soya? Pastikan ia adalah soya non-GMO (genetically modified organism).

Oh, haruslah saya pastikan stok susu sentiasa ada di rumah, saya pun nak jadi pandai juga!

TAMAT

(p/s: Sudah 6 hari Fathul tidak minum susu kegemarannya...smg Allah memberi petunjuk amin)

Friday, June 03, 2011

Belenggu dosa



۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Al-Hasan AL-Bashri mengkategorikan orang yang tidak qiamullail sebagai orang miskin, sebab ia gagal mendapatkan banyak sekali kebaikan. Malam hari saat terindah bermunajat (berdoa) kepada Allah Ta'ala, bukti kemenangan seseorang atas jiwanya, dan pesta kemenangan diri atas daya tarik 'tanah'. Al-Hasan AL-Bashri berkata, "Jika anda tidak dapat qiamullail dan berpuasa di siang hari, ketahuilah anda orang miskin, terbelenggu oleh dosa dan kesalahan.

Al-Hasan AL-Bashri menganggap dosa dan kesalahan sebagai belenggu yang membuat seseorang gagal mengerjakan kebaikan. Harus ada taubat nasuha dan istighfar serius, agar hati tergerak mengerjakan qiamullail. Seseorang datang kepada Al-Hasan AL-Bashri,lalu bertanya kepadanya, "Hai Abu Said, qiamullail membuatku kelelahan dan aku tidak sanggup lagi mengerjakannya." Al-Hasan AL-Bashri berkata kepada orang itu, "Saudaraku beristighfarlah kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya, kerana sikap mu seperti itu petanda jelek (buruk).

Al-Hasan AL-Bashri berkata, "Jika seseorang mengerjakan dosa, ia tidak dapat mengerjakan qiamullail, gara-gara dosanya itu".

Siapa yang ingin namanya terukir di jajaran "biarawan-biarawan malam", maka tidak ada jalan lain baginya, kecuali menjauhkan diri dari dosa-dosa dan menang atas jiwanya...


-Dari buku "Taujih Ruhiyah", penulis Abdul Hamid Al-Bilali

Sunday, May 08, 2011

Thursday, May 05, 2011

Detik waktu sebagai seorang hamba dan ibu

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Too many works, too little time. Masa seperti tidak cukup 24 jam sehari. Tapi dalam kesibukan, perlu ada sedikit masa untuk bersosial kerana Allah menyukai hamba-hambaNya yang berkasih sayang kerana Allah. Masa yang ada hampir kesemuanya dicurahkan kepada menguruskan keluarga terutamanya anak-anak. Setiap detik masa seorang ibu bersama anak insyaAllah tidak sia-sia. Sentiasa berkualiti kerana ia bernilai ibadah. Tidak sia-sia kita letih mengemas rumah, pening kepala dengan karenah anak, letih memasak dan lain-lain kerana itu semua amal kebajikan yang bernilai di sisi Allah swt.

Sekarang ini badan masih kuat dan sihat. Masa sihat ni lah kita boleh buat macam-macam perkara. Sia-sia je kita tak gunakan kekuatan di kala muda ni untuk beramal kerana bila usia dah meningkat, badan sakit situ sakit sini..nak buat ibadah yang wajib pun tak larat apatah lagi nak buat ibadah yang sunat. Di tempat kediaman saya ni, banyak orang muda. Jadi selalunya nampak orang yang sihat dan cergas pergi dan balik kerja setiap hari. Tapi sesekali kalau saya balik kampung, saya jumpa dengan orang kampung yang hampir saya tidak cam mereka kerana wajah mereka sudah dimamah usia. Jika di surau pula, ada makcik yang berjemaah di surau, apabila mereka sujud, untuk bangun semula begitu sukar sekali kerana sakit lutut, sakit pinggan dan macam-macam sakit lagilah. Jika dalam usrah pula, akhwat-akhwat yang berusia 40-an, masing-masing perlu ada kaca mata untuk tilawah dan membaca hadith, jika tidak mereka tidak nampak tulisan untuk membaca. Masa tu saya insaf, saya fikir begitulah saya nanti bila usia di kala 40 an. Allah sudah mula menarik sikit-sikit nikmat untuk melihat. Jadi masa muda inilah kita kena lipatgandakan solat sunat, puasa sunat , tilawah al-quran dll. Hadith nabi yang selalu saya ingat ialah tentang lima perkara tu. Ia menjadi motivasi untuk kita beramal sebenarnya.

“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara lain, iaitu masa muda engkau sebelum datangnya hari tua, masa sehat engkau sebelum dilanda sakit, masa kaya engkau sebelum masa miskinmu, masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk, dan masa hidup engkau sebelum datangnya saat kematian.”
(Hadith Riwayat Muslim dan Tirmizi dari Amru bin Maimun r.a.)


Sebelum melabuhkan tirai penutup saya mengucapkan selamat hari ibu kepada semua pembaca yang bergelar ibu. Namun begitu, saya menganggap setiap hari ialah hari ibu, tiada istilah satu hari saja untuk hari ibu dalam hidup kita. Semoga Allah merahmati ibu-ibu kita juga kerana jasa mereka yang tidak mampu kita balas :(. Terimalah lagu yang saya gemari untuk ibu-ibu semua, IBU nyanyian SAKHA.